KelabMama

Tindik Telinga Anak: Usia, Risiko dan Penjagaan Yang Betul!

tindik telinga anak

Lebih-lebih lagi bila ada anak perempuan, kita jadi teruja nak pakaikan anak perempuan subang atau anting-anting.

Demi merealisasikannya, anak perlu tindik telinga untuk memakaikan subang. Dalam artikel ini, Mama Siti kongsikan usia terbaik tindik telinga, risiko yang mungkin dihadapi dan tips penjagaan selepas tindik telinga.

Ikuti terus perkongsian kali ini.

Waktu Paling Sesuai Untuk Tindik Telinga Bayi?

Sebenarnya keputusan menindik telinga bayi bergantung kepada Mama dan Papa untuk melakukannya. 

Tiada garis panduan usia bagi yang ingin melakukannya. Namun begitu, umum diketahui bahawa semakin meningkat usia anak maka semakin meningkat juga kemahiran motor mereka. 

Oleh itu, waktu yang paling sesuai untuk tindik telinga ialah 6 bulan ke atas menurut Wendy Sue Swanson yang merupakan pakar pediatrik di Seattle Children’s Hospital, Amerika Syarikat.  

5 Risiko Tindik Telinga Bayi

#1 Menyakitkan & Tidak Selesa

Tindik telinga akan meninggalkan rasa sakit kepada orang dewasa dan anak-anak. Tetapi kesannya lebih ketara terhadap anak-anak disebabkan faktor usia. 

Diambil dari portal Parents.com, ubat bius boleh diberikan namun rasa sakitnya masih boleh dirasai. Kesan dari ubat pelali itu tidak menghilangkan rasa sakit secara keseluruhan. 

#2 Isu Kebersihan

Kredit gambar: Mingguan Wanita

Dalam perkara kebersihan, prinsip ‘asal jadi’ tidak terpakai untuk diaplikasikan dalam mana-mana kaedah tindik telinga. 

Tindik telinga tidak cukup dengan asal boleh buat atau asal ada alat. Prosedur steril perlu dititikberatkan agar telinga anak-anak tidak terdedah kepada masalah kesihatan lain. 

Pastikan premis yang menjalankan perkhidmatan tindik telinga menggunakan alat yang betul dan bersih. 

#3 Jangkitan Kuman

Kredit gambar: Facebook/  Sri Patmawati Sariman

Kesan luka tindik yang tidak dirawat dengan betul berisiko untuk dijangkiti kuman tetanus. 

Jika dibiarkan, telinga anak Mama boleh mencetuskan kegatalan, jangkitan kuman dan akhirnya mengakibatkan kulit bernanah. 

#4 Alahan (Allergic)

Jenis bahan juga mempengaruhi kesan terhadap kulit anak Mama. barang kemas seperti subang selalunya diperbuat daripada emas, platinum dan titanium. 

Malahan bagi emas yang bukan 100% tulen contohnya emas dengan saduran kromium (emas putih) akan mudah berkarat dan boleh menyebabkan alahan.

Dalam kes lain, terdapat kanak-kanak yang mempunyai reaksi alahan terhadap jarum yang menyentuh kulit. 

Perkara ini hanya boleh diketahui ketika anak tindik telinga melainkan Mama dan Papa sudah pun melakukan ujian alahan (allergy test) terhadap anak masing-masing. 

#5 Aktiviti Terbatas

Anak kecil terutamanya bayi akan banyak bergerak dengan seluruh anggota badannya. 

Mereka masih belum dapat mengawal atau mengagak sama ada sesuatu aktiviti itu memberikan kesan terhadap tindik telinga. 

Antara lain risiko tindik telinga bayi ialah pendarahan dan setelah luka kering, ia berkemungkinan membentuk parut atau keloid. 

Tips Penjagaan Selepas Tindik Telinga Bayi

Kredit gambar: ThePeachBox

Sebaik sahaja proses telinga bayi selesai, Mama dan Papa perlu memastikan penjagaan rapi kepada anak untuk mengelakkan sebarang masalah nanti. 

Berikut Mama Siti kongsikan tips penjagaan selepas tindik telinga bayi sebagai panduan Mama dan Papa. 

Pertama sekali, elakkan terkena produk-produk seperti minyak rambut, syampu dan lain-lain produk daripada cuping telinga.

Lebih-lebih lagi jika luka itu masih baru kerana dikhuatiri akan mengakibatkan kerengsaan dan bernanah. 

Seterusnya, pilih pakaian yang tidak mengganggu bahagian subang atau anting-anting. 

Ini kerana tempat tindik telinga masih belum kering sepenuhnya dan jika tertarik dengan benang daripada pakaian, ia akan menyakitkan si anak. 

Tips penjagaan yang ketiga ialah mengelakkan anak daripada bermandi manda di kolam renang, laut atau sungai selama dua minggu dari hari mula tindik telinga. 

Tempat-tempat tersebut berisiko untuk mendapat jangkitan kuman di bahagian telinga sekiranya terkena luka tindik telinga. 

Jika didapati luka sudah mulai kering, anting-anting sudah boleh dibuka perlahan-lahan jika perlu menggunakan topi keledar. 

Kesan pemakaian topi keledar memberikan tekanan di bahagian telinga anak-anak. Jadi, keputusan membuka anting-anting boleh dipertimbangkan demi keselamatan dan keselesaan anak. 

Kredit gambar: surabaya.tribunnews.com

Bagi Mama dan Papa yang pertama kali nak tindik telinga anak perempuan masing-masing, Mama Siti harap artikel ini membantu kalian sebelum, semasa dan selepas proses tindik telinga anak.

Beri perhatian kepada usia, risiko dan tips penjagaan yang sepatutnya agar tidak melarat di kemudian hari. Paling penting, keselamatan dan kesihatan anak kita yang perlu diutamakan.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak tips dan nasihat keibubapaan di SINI!