KelabMama

Tertinggal Dalam Kereta, Bayi 9 Bulan Maut

Innalillahiwainnailaihirojiun. Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut kerana tertinggal dalam kereta. Kejadian berlaku selepas bapanya terlupa mangsa berada dalam kereta semasa keluar bekerja di Kompleks Tun Abdul Razak, Kuantan, pada Isnin. Allahu…macam mana boleh terlupa anak sendiri?

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali, mangsa ditemukan bapanya yang berusia 38 tahun dalam keadaan terbaring di kerusi bayi di tempat duduk belakang kereta semasa hendak keluar makan tengah hari.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik (semuanya perempuan), dipercayai telah berada dalam kereta jenis Perodua Alza dari 9 pagi hingga 1 tengah hari. Allahu. Kesiannya mangsa.

“Siasatan awal mendapati bapa mangsa seharusnya menghantarnya ke sebuah taska di Indera Mahkota 15 selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berhampiran, namun terlupa untuk berbuat demikian.”

“Bapa mangsa sebelum itu turut menghantar anak sulungnya ke sebuah sekolah rendah pada 7.20 pagi dan kembali ke rumah untuk mengambil isteri, anak kedua dan mangsa sebelum keluar semula pada 8.25 pagi,”

Mohamad Noor berkata anak kedua mangsa juga dihantar ke sekolah yang sama dengan anak sulung pasangan itu, namun dihantar agak lewat berbanding kakaknya.

Sebaik sahaja melihat mangsa dalam keadaan lemah, bapa mangsa telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Indera Mahkota, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Ibu bapa mangsa merupakan penjawat awam dan bekerja di Indera Mahkota. Mohamad Noor berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

CARA ELAKKAN DARI TERTINGGAL ANAK DALAM KERETA

Sejak kebelakangan ni, kes seperti ini kerap berlaku dan biasanya disebabkan kelalaian ibu bapa. Insiden seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa termasuk diri kita sendiri. Jadi, kita perlu tangani kelalaian ini.

#1 Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu.

Ini kerana di belakang kerusi pemandu adalah titik buta (blindspot). Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.

#2 Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin

Ini termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang. Pastikan mama/papa check dulu kereta sebelum mengunci kenderaan. Mulakan amalan ini mulai sekarang.

#3 Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak

Bila letak anak di dalam car seat itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak mama/papa ada dibelakang.

#4 Letak beg susu di depan

Kalau mama ada membawa beg susu anak bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ke-3. Ia peringatan bahawa anak mama/papa ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

#5 Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak

Contohnya mama letak beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut mama di ruangan kaki di belakang.

#6 Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar

Ini menandakan anak mama/papa ada di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah. Contoh seperti dalam gambar di bawah.

#7 Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon mama

Cara ini sesuai dipraktikkan sekiranya anak mama tak datang ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan kepada papa untuk mengingatkan mama, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

#8 Guna peranti (device) atau aplikasi telefon

Cara ini boleh mengingatkan mama bahawa anak mama di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety.

#9 Child Reminder di Aplikasi WAZE

Bagi yang selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder ( Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan mama sejurus sampai destinasi.

Semoga bermanfaat .

Sumber : mstar, Bernama tv, Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan

BACA JUGA ANAK MENANGIS TAK NAK DUDUK DALAM CARSEAT? INI TIPS YANG MAMA KENA TAHU

Pesanan Mama Siti

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Alfatihah buat mangsa dan salam takziah buat keluarga mangsa. Mama Siti harap sangat lepas ni mama/papa sentiasa periksa kereta sebelum kunci. Jadikan amalan setiap kali mama/papa kemana-mana supaya kejadian seperti ini tak jadi lagi.