KelabMama

ANAK TERCICIR SUNTIKAN VAKSIN BOLEH MEMBAWA MAUT

Sejak kebelakangan ini isu vaksin ni makin hangat. Lepas viral rancangan bual bicara tentang isu vaksin tu, semalam kita digemparkan lagi dengan isu kanak-kanak meninggal dunia disebabkan DIFTERIA. Puncanya kanak-kanak itu tak pernah terima suntikan vaksin sejak lahir. Allahu..

Kadang-kadang Mama Siti terfikir, kenapa masih ada segelintir manusia yang Anti Vaksin? Tak terfikir ke apa yang akan terjadi sekiranya anak tak diberi suntikan vaksin? Tak sayangkan nyawa anak ke?

PENTINGNYA VAKSIN SEBAGAI PELINDUNG

Suntikan vaksin memang sangat penting dan sangat diperlukan oleh kanak-kanak terutamanya bayi kerana merekalah paling mudah terdedah kepada penyakit. Jadi dengan suntikan ini dapat kuatkan sistem imun bayi untuk lawan penyakit yang boleh ancam nyawa. Selain itu, kepentingan suntikan vaksin atau imunisasi yang perlu mama tahu :

1) Dengan suntikan vaksin dapat kurangkan sesetengah penyakit seperti difteria, neonatal tetanus, polio dan measles.

2) Dapat membantu mengelakkan anak daripada dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit yang serious sehingga boleh menyebabkan kecacatan atau kematian.

3) Dapat elakkan daripada berlakunya kejadian epidemik dan wabak penyakit berjangkit.

4) Dapat elakkan penderitaan yang dialami si anak dan si mama

SUNTIKAN VAKSIN SEAWAL HARI PERTAMA LAHIR

“Vaksin diberikan kepada bayi seawal hari pertama kelahiran seperti suntikan Hepatitis B dan BCG (Bacillus Calmette-Guerin) supaya tubuh mempunyai pertahanan terhadap penyakit-penyakit berbahaya. Vaksin juga melindungi kanak-kanak daripada penyakit campak.

“Jika tiada imuniti dalam sistem pertahanan badan, kanak-kanak yang terkena penyakit ini akan mengalami demam dengan suhu badan yang tinggi dalam tempoh tiga hingga lima hari. Penyakit ini turut diiringi batuk, ruam dan selesema.

“Oleh kerana ketika ini sistem pertahanan badan adalah lemah, kanak-kanak mungkin mendapat jangkitan lain seperti pneumonia dan seterusnya membawa kepada kematian,”.


Dr. Nor Mahani, Pakar Kanak-kanak Hospital KPJ Kajang

KESAN SAMPINGAN

Selepas dapat suntikan vaksin atau imunisasi akan ada kesan sampingan antaranya adalah kesan merah pada kawasan suntikan dan demam tapi mama tak perlu bimbang sebab kesan ni hanya bersifat sementara dan akan sembuh dengan cepat.

Mama boleh rujuk jadual imunisasi ini: PENTINGNYA VAKSIN KEPADA BAYI ANDA

Fikirkan akibat yang bakal anak mama terima sekiranya mama tergolong dalam golongan mereka yang Anti Vaksin. Sanggupkah mama memperjudikan nyawa anak mama sendiri demi pendirian si AntiVaksin?

Memang benar suntikan vaksin bukanlah jaminan 100% perlindungan tapi sedikit perlindungan adalah lebih baik daripada tiada perlindungan langsung.