KelabMama

15 Tempat Menarik di Sungai Petani Yang Boleh Dilawati Cuti Sekolah Ini

Sedang merancang bercuti ke Kedah? Jangan lupa singgah sebentar di bandar terbesar Kedah iaitu Sungai petani. Sungai Petani juga dikenali dengan perindustrian dan agak dekat dengan Pulau Pinang. Jom kita jenguk tempat-tempat Menarik di Sungai Petani untuk dilawati. Senarai ini telah kami semak untuk memastikan ia benar popular dan selesa dikunjungi.

1. Taman Tema Air The Carnival

Taman Tema Air The Carnival yang terletak dengan tidak jauh dari bandar Sungai Petani ini mempunyai kawasan untuk beraktiviti bagi semua peringkat usia.

Alamat: The Carnival, Persiaran Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11am-7pm), Sabtu, Ahad dan Cuti Umum (9am-7pm)
Harga Tiket: RM 20 (dewasa), RM 18 (kanak-kanak)

Kredit gambar: Trip Advisor

2. Menara Jam Besar

Terletak di Jalan Ibrahim, Menara Jam Besar ini setinggi 15.2 meter merupakan salah satu tempat bersejarah di Kedah dan sudah berusia lebih 80 tahun. Tujuan jam ini dibina oleh seorang warga Cina untuk memperingati penjajah British King George V. Datanglah pada waktu malam untuk suasana yang berbeza serta kilauan lampu meriah.

Alamat: 916, Jalan Ibrahim, 08000 Sungai Petani

Kredit gambar: Kianodarius

3. Hutan Lipur Tupah

Di kawasan Merbok yang bersebelahan daerah Sungai petani, terdapat Hutan Lipur air terjun Tupah yang terletak di kaki Gunung Jerai. Suasana di sini sangat sesuai untuk seisi keluarga. Masuk adalah percuma dan dibuka daripada pukul 7 pagi hingga 6 etang. Antara aktiviti adalah mandi manda di Air Terjun Tupah, berkhemah, jungle trekking, mendaki bukit dan banyak lagi.

Kredit gambar: Penang Travel Tips

4. Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Muzium ini terletak 21 km dari Sungai Petani dan muzium ini adalah candi binaan manusia yang tertua di Asia Tenggara dan telah wujud sejak awal tahun Masihi lagi.  Latar belakang kawasan candi ini adalah tumbuhan menghijau dan sungai kecil mengalir.

Bahagian muzium pula dipenuhi dengan pelbagai infografik bersejarah dan juga artifak menarik yang menceritakan tentang sejarah empayar pemerintahan Kedah. Masuk dengan percuma, muzium ini dibuka setiap hari 9am – 5 pm kecuali hari Isnin pertama setiap bulan, Hari Raya Aidilfitri Pertama dan Kedua dan Hari Raya Aidiladha.

Kredit gambar: Makan Jika Sedap

5. Pantai Merdeka

Pantai Merdeka adalah pantai terdekat dengan Sungai Petani, sekitar 32 km. Pantai ini merupakan antara lokasi pemandangan matahari terbenam yang indah, jadi alang-alang dah ke Sungai Petani bolehlah lajak ke Pantai Merdeka. Kanak-kanak boleh bermandi-manda dan anda sekeluarga juga boleh berkelah di kawasan yang disediakan. Jangan risau, di sini juga terdapat pelbagai jenis restoran dan kedai makan buat para pengunjung.

Kredit gambar: Percutian Bajet

6. Pemandangan Gunung Jerai

Jika anda ingin melihat panorama Negeri Kedah daripada altitud yang tinggi, Gunung Jerai adalah tempat yang terbaik kerana anda akan dapat melihat pemandangannya dan hingga dapat melihat Pulau Pinang! Ia tidak terletak di Sungai Petani namun ia dekat sahaja.

Di sini kita dapat melihat panorama pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Jangan risau, jalan untuk ke puncak dengan kereta agak mudah dan dekat. Anda juga boleh menginap di The Regency Jerai Hill Resort, yang juga sangat terkenal dengan dekorasi lamannya, menjadikan salah satu tempat menarik di Kedah yang sangat Instaworthy!

Kredit gambar: Flickr

7. Tanjung Dawai

Anda boleh merasai suasana perkampungan nelayan yang terletak di muara Sungai Merbok, anggaran jarak 30 minit dari Sungai petani. Tanjung dawai ini juga terletak bertentangan dengan Pantai Merdeka. Boleh datang ke sini dengan menaiki kereta atau dari Pantai Merdeka, anda boleh merentas menaiki bot yang telah disediakan untuk ke Tanjung Dawai. Perjalanan menaiki bot dari Pantai Merdeka mengambil masa dalam 15 minit sahaja.

Terdapat pelbagai produk hasil laut dijual di sini seperti pilihan keropok kering, ikan bilis dan lain-lain. Di Tanjung Dawai juga mempunyai banyak tempat makan yang menyediakan makanan popular penduduk setempat seperti mee udang, laksa Kedah dan lain-lain lagi.

Kredit gambar: Asyraf Farhan

8. Kompleks Pelancongan Jeti Semeling

Kompleks Pelancongan Jeti Semeling dikelilingi oleh hutan paya bakau, terletak di Sungai Merbok. Tempat ini indah untuk merakam foto kenangan sekeluarga terutama Ketika matahari terbenam.

Di sini terdapat 3 ruang pameran utama iaitu galeri berkaitan sejarah, galeri mengenai fauna dan flora di sepanjang Sungai Merbok dan juga galeri berkaitan batuan unik yang ada di Kedah. Ruang pameran ini juga ada memaparkan informasi mengenai Jerai Geopark.

Kredit gambar: Menarik Di Utara

9. Taman Jubli Perak Sungai Petani

Taman Jubli perak Sungai Petani adalah taman awam yang dibuka sempena meraikan ulang tahun Jubli perak Sultan Abdul Halim Muadzam Syah. Antara tarikan di sini adalah pokok-pokok tua yang gah dan indah, jambatan di atas tasik juga taman permainan kanak-kanak selain ruang pejalan kaki menikmati udara redup segar di bawah pepohonan.

Kredit gambar: Penang Travel Tips

10. Semeling Street Art

Semeling street art ini terletak di satu kawasan jalan panjang yang kita boleh selusuri dan melihat hasil lukisan di dinding bangunan jalanan. Seperti biasa boleh lah dijadikan port bergambar pelbagai gaya kerana ada begitu banyak hasil seni yang pelbagai di sini.

Kredit gambar: Husna Zahidi

Tempat Penginapan Menarik di Sungai Petani

1. Park Avenue Hotel Sungai Petani

Jika anda mencari bilik hotel paling luas di Sungai Petani, di sinilah tempatnya. Park Avenue Hotel juga menyediakan tab mandi yang luas di dalam bilik. Hotel yang lengkap dengan kolam ini terletak di Jalan Indah Dua, Taman Sejati Indah.

Kredit gambar: Booking.com

2. Purest Hotel Sungai Petani

Purest Hotel Sungai Petani terletak di Taman Sejati Indah, lengkap dengan fasiliti kolam renang sesuai untuk anak-anak kecil. Hotel ini juga popular dan mendapat rating yang tinggi. Hotel ini ada menawarkan pakej sewaan kereta jika anda memerlukannya.

Kredit gambar: Orbitz

3. Greencity Hotel

Greencity Hotel juga terletak di Taman Sejati walaupun bertaraf tiga bintang, hotel ini mendapat rating tinggi di Booking.com. Hotel ini menawarkan parking untuk mereka yang memandu sendiri. Rata-rata pengguna mengatakan makan pagi di sini sedap. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang.

Kredit gambar: Hotel murah

4. Emerald Puteri Hotel

Emerald Puteri Hotel terletak beberapa minit pemanduan dari exit tol Sungai Petani. Hotel ini mendapat rating baik dan agak popular juga. Ia dilengkapi dengan kolam renang sesuai untuk membawa keluarga bersantai.

Kredit gambar: Chiang Dao

5. Urban Inn, SP Saujana

Urban Inn adalah hotel ringkas namun selesa dan mendapat rating baik di Booking.com. Hotel ini ringkas kerana terletak bangunan kedai dan reka bentuk dalamnya berkonsep industrial. Yang penting selesa dan bersih, kan?

Kredit gambar: Booking.com

Enjoy tempat menarik di Sungai Petani!

Jika anda ingin ke Sungai Petani boleh juga merancang ke Pulau Pinang yang hanya terletak 30 minit dari sini. Boleh rujuk artikel tentang tempat menarik di Pulau Pinang di sini. Jangan lupa semak dahulu raying dan ulasan tentang hotel di laman berkenaan sebelum memilih ya. Selamat bercuti!