KelabMama

9 Tempat Menarik di Kuala Lumpur yang Wajib Dilawati Bersama Keluarga

Anak-anak dah lama duduk terkurung di rumah. Cuti sekolah hujung tahun hanya akan tiba lagi lebih kurang seminggu dua lagi. Jadi, sementara menunggu waktu cuti panjang, ibu ayah yang berada di sekitar Lembah Klang mungkin boleh ambil kesempatan meluangkan masa di tempat-tempat yang menarik di Kuala Lumpur bersama anak-anak. 

Bandar metropolitan Kuala Lumpur sudah banyak berubah dan pesat membangun. Sebagai anak jati Kuala Lumpur, Mama Siti sangat kagum dengan melihat betapa ‘hebat’nya Kuala Lumpur gah berdiri di mata dunia. Alhamdulillah. 

Ada banyak tempat menarik di Kuala Lumpur yang masih belum sempat Mama Siti dan keluarga terokai. Mungkin sudah tiba masanya kami merancang untuk marathon melawat tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur. 

Jom kita kenali sekurang-kurangnya 10 tempat menarik di Kuala Lumpur untuk diterokai bersama keluarga. Untuk pengetahuan, tempat yang Mama Siti senaraikan tidak mengikut ranking tertentu, ya. Bagi Mama Siti, semuanya seronok dan menarik untuk dilawati. 

Tempat-tempat Menarik di Kuala Lumpur

#1  Menara Kuala Lumpur

Kredit: therakyatpost.com

Sesiapa yang datang ke Kuala Lumpur wajib pergi melawat Menara Kuala Lumpur. Jadi, bagi anda yang tinggal di Kuala Lumpur, apa alasan untuk tidak menjengah ke sana?

Menara Kuala Lumpur adalah menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara. Buat ibu ayah yang ada anak kecil pasti akan seronok melihat reaksi si anak kagum melihat pemandangan dari SkyDeck Menara Kuala Lumpur seperti pandangan seekor burung.

Kalau ingin sesuatu yang lebih mencabar, boleh juga mendapat pengalaman mendebarkan di SkyBox. 

#2  Mini Zoo Kuala Lumpur

Jika berada di atas tempat tinggi sesuatu yang ‘biasa’ untuk anda sekeluarga, anda pasti tidak akan gagal menggembirakan anak-anak apabila berada di Mini Zoo Kuala Lumpur yang terletak di ‘kaki’ Menara Kuala Lumpur.

Cara binatang-binatang ini dipersembahkan sentiasa membuatkan anak-anak dan ibu ayah berasa intim dan sayangkan semua haiwan yang ada di sini. Pengalaman memberi makanan kepada sesetengah binatang pasti mengujakan. 

#3 Rumah Terbalik Kuala Lumpur

Selain daripada SkyDeck, SkyBox dan Zoo Mini yang berada di Menara Kuala Lumpur, anda juga boleh bawa anak-anak ke Rumah Terbalik Kuala Lumpur.

Kredit: jomjalan.com.my

Pengalaman yang unik dan berbeza pasti akan membuatkan anak-anak anda takjub dan seronok melihat setting yang penuh dengan ilusi ini. Seronok bergambar untuk kenangan bersama di dalam rumah ini.

#4  Taman Eko Rimba Kuala Lumpur

Digazetkan sebagai Hutan Simpanan Bukit Nenas, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur terletak hanya beberapa kilometer sahaja dari Menara Kuala Lumpur.

Bagi keluarga yang gemar aktiviti riadah bersama alam, Taman Eko Rimba ini pasti tidak akan mengecewakan. Di dalam hutan ini, ada pelbagai jenis tumbuhan termasuk pokok paku-pakis, pokok herba, pokok buluh dan juga pokok-pokok hutan seperti pokok meranti, keruing, chengal dan pulai.

Taman Eko RImba ini juga dilengkapi dengan canopy walk untuk memudahkan ibu ayah dan anak-anak. 

#5  Menara Berkembar Petronas

Ikon kebanggaan rakyat Malaysia, ada banyak aktiviti yang boleh anda dan keluarga lakukan di Menara Berkembar Petronas ini.

Semasa ia dibina pada tahun 1998, Menara Berkembar Petronas ini adalah bangunan tertinggi di dunia, sehinggalah apabila Taipei 101 siap terbina pada 2004 dan Burj Khalifa dibuka pada 2010. Menara yang mempunyai 88 tingkat ini mempunyai senibina yang indah untuk dihargai. 

#6 Jambatan Saloma

Kredit: news.nestia.com

Walaupun anda bukan seorang yang kaki selfie, anda pasti akan asyik mengambil gambar jika berada di Jambatan Saloma ini. Jambatan sepanjang 370 meter ini menyambungkan Kampung Baru dan Jalan Ampang melalui AKLEH.

Mengambil tema konsep sireh junjung bagi memperkenalkan adat perkahwinan Melayu tradisional, hasil bergambar di Jambatan Saloma berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas pasti tidak mengecewakan. 

#7  Kampung Baru

Kredit: hmetro.com.my

Masih mengekalkan imej kampung di tengah bandar, Kampung Baru merupakan penempatan orang Melayu yang terbesar di KL. Tanah Kampung Baru ini adalah tanah kurniaan Sultan Selangor bagi menghargai orang-orang Melayu di bandar.

Kebanyakan rumah di sini masih mengekalkan rekaan rumah kampung lama yang menarik. Keistimewaan Kampung Baru ini ialah tempat makan yang pelbagai dan murah yang boleh anda nikmati bersama keluarga. 

#8 Aquaria KLCC

Kredit: thrillophilia.com

Terletak di dalam bangunan Kuala Lumpur Convention Centre, Aquaria KLCC adalah yang terbesar di Asia Tenggara. Ia menempatkan leboh 150 spesis hidupan air termasuklah jerung ‘tiger sharks’, ular laut berbisa, kuda laut, ikan biru blue ray  dan banyak lagi.

Melawat Aquaria ini pasti memberi kesan mendalam untuk anak-anak lebih kenal dengan hidupan laut serta menghargai segala nikmat pemberian Tuhan yang menjadi tanggungjawab manusia untuk memeliharanya. 

#9 Petrosains KLCC

Kredit: viator.com

Selain dikenali sebagai pusat membeli-belah, Suria KLCC juga menempatkan Petrosains KLCC di tingkat empat bangunan ini. Anak-anak Mama Siti tak pernah puas apabila berada di sini.

Mama Siti yakin, kebanyakan anak kecil gemar meneroka dan melakukan pelbagai eksperimen sains untuk melihat hasil keputusan dari sesuatu tindakan mereka.

Kredit: tripadvisor.com

Di Petrosains, anak-anak akan di didedahkan secara interaktif di mana mereka dapat melihat, mendengar, menyentuh, bermain dan berinteraksi dengan pameran dan material-material yang ada.

Pastikan anak-anak meneroka dan ambil pengalaman berada di replika pelantar minyak yang ada. 

Sebenarnya, ada banyak lagi tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur mengikut kehendak dan citarasa anda. Selain daripada tempat-tempat yang Mama Siti senaraikan di atas, ibu ayah boleh jaga bawa anak-anak berlari dan bermain di taman-taman tasik seperti Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa.

Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur (Kredit: YouTube)

Jika anda ingin menambahkan semangat patriotik di dalam jiwa anak-anak, bolehlah bawa ke Tugu Negara, Muzium Negara dan banyak lagi tempat lain. 

Ke mana sahaja yang ibu ayah rancang untuk bawa anak-anak, Mama Siti ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan diri Mama Siti dan anda semua untuk sentiasa menjaga diri dari segi keselamatan dan kesihatan anda dan keluarga, terutamanya ketika kita kini menuju ke fasa endemik COVID-19.