KelabMama

10 Tempat Menarik di Ipoh untuk Percutian Hujung Minggu

Kredit gambar: hain.tarmann / Shutterstock.com

Hai, sedang merancang untuk bercuti ke Ipoh? Bandaraya berbukit  diapit oleh Banjaran Titiwangsa di sebelah timur dan Gunung Keledang di sebelah barat, dan unik dengan sejarah serta identiti sendiri.

Bandaraya Ipoh bermula dengan sebuah perkampungan di tebing Sungai Kinta. Keunikannya adalah dipenuhi dan dikelilingi oleh bukit-bukit batu kapur dengan pemandangan yang memukau.

Kita kongsikan ringkas 10 tempat menarik di Ipoh jika bercadang nak bercuti di hujung minggu.

1. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang menyajikan pemandangan taman dan tasik di tepi Bukit Batu Kapur. Sesuai untuk percutian bajet atau singgah sebentar berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Akses menaiki kereta ke sini sangat mudah dan juga tidak jauh dari bandar Ipoh mahupun susur keluar Ipoh dari lebuhraya PLUS.

Pengunjung perlu menaiki bot jarak 5 minit untuk ke seberang tasik yang mana terdapat taman mini, menempatkan beberapa haiwan seperti burung unta dan lain-lain.

Disarankan untuk ke sini pada hari bekerja. Boleh gunakan aplikasi Waze dan taipkan Taman Rekreasi Gunung Lang untuk lokasi tepat.

Waktu Operasi:
8am – 12pm & 1.30pm – 7pm (Isnin-Khamis)
8am – 12pm & 2.45pm – 4pm (Jumaat)
8am – 6.30pm (Sabtu, Ahad & Cuti Umum)

Harga Tambang Naik Bot:
RM 3.00 (Dewasa)
RM 1.50 (Kanak-kanak/warga emas)

Kredit gambar: Orang Perak

2. Pasar Karat Ipoh

Pasar Karat ini adalah tempat penjualan barangan antik atau lama. Diadakan setiap hari Ahad bertempat di Jalan Horley, Kampung Jawa. Anda dapat mengecam Pasar Karat ini dengan dua pintu gerbang besar.

Terdapat juga gerai jualan makanan, pakaian dan pelbagai lagi apabila pasar ini menerima pengunjung yang ramai.

Pasar ini sangat sesuai jika anda mencari barangan yang mempunyai nostalgia lama seperti duit lama, setem lama, peralatan rumah dan pelbagai lagi. Suasana yang sangat meriah sekali.

Kredit gambar: Jeff Travel

3. Tasik Cermin

Jika kalian sukakan adventure, bolehlah cuba ke Tasik Cermin. Tasik ini dikelilingi bentukan batu kapur dan gunung ganang, jadi ia terlindung daripada sebarang tiupan angin, maka air tasiknya sangat tenang. Hingga pemandangan di atas tasiknya sungguh memukau.

Jalan masuknya menggunakan jalan lori kuari jadi sila berhati-hati ya. Dari tempat letak kereta anda perlu berjalan sejauh 40 minit menerusi terowong.

Kredit gambar: Tempat menarik

4. Lost World of Tambun

Lost World of Tambun ini dikelilingi oleh bukit batu kapur yang berusia hampir 400 juta tahun. Berlatar belakangkan alam semulajadi, ia merupakan satu-satunya taman tema di Asia Tenggara yang mempunyai kolam air panas semula jadi.

Anda boleh memilih untuk menginap di sini dengan dua pilihan sama ada glamping atau menginap di villa. Terdapat tujuh lokasi tarikan utama di sini antaranya Lost World Petting Zoo, Lost World Amusement Park dan Lost World Water Park.

Kredit gambar: Oppa fan

5. Stesen Keretapi Ipoh

Stesen keretapi Ipoh ini telah berusia lebih 100 tahun, dibina ketika Perang Dunia Pertama, namun berfungsi untuk menerima keretapi elektrik (ETS) di sini di bawah pentadbiran KTM.

Anda akan dapat melihat struktur bangunan gaya British Colonial yang masih sama tidak diubah suai sejak lebih 100 tahun dulu. Reka bentuknya seakan Taj Mahal, arkitek yang sama turut mereka bentuk Bangunan Dewan Bandar Ipoh (Ipoh Town Hall) dan Mahkamah Tinggi Ipoh (Ipoh High Court).

Kredit gambar: FK Photography

6. Kinta Riverfront

Kinta Riverfront adalah seperti I-City Di Shah Alam pada waktu malam, suasana yang meriah dengan lampu-lampu dan tempat mengambil gambar. Anak-anak juga boleh beraktivti di sini. selian itu ada juga tempat menjamu selera untuk mengambil angin malam.

Jika anda berminat boleh cuba menginap di Kinta Riverfront Hotel yang mendapat komen baik daripada para pengunjungnya. Jadi pada waktu sebelah malam anda boleh bersiar-siar di sini.

Alamat: Jalan Lim Bo Sen, Ipoh

Kredit gambar: Booking

7. Muzium Geologi Ipoh

Muzium Geologi Ipoh adalah tempat bersejarah menempatkan koleksi bahan geologi seperti fosil, batu permata, mineral & sebagainya. Anda memerlukan sekitar 30 minit untuk melawat galeria di sini. Masuk adalah percuma dan ia ditutup pada hujung minggu dan hari cuti.

Alamat: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 30820 Ipoh, Perak

Waktu Operasi:
9.00 am – 12.30 am & 2.00pm – 4.30 pm( Isnin-Khamis)
9.00 am – 12.00 am & 3.00pm – 4.30 pm( Jumaat)

Kredit gambar: Trek Malaysia

8. Menara jam Ipoh

Menara jam ini sebenarnya dibina pada tahun 1909 bagi memperingati pembunuhan James Birch, Residen British pada tahun 1875 di Pasir Salak. Ia dibina oleh Residen British ketika itu yang juga anaknya.

Kita boleh melawati tapak bersejarah ini untuk mengambil semangat tokoh Melayu yang berani melawan kezaliman. Di dalam menara ini disediakan tangga juga suasana berhawa dingin untuk menuju ke atas menikmati permandangan Ipoh.

Kredit gambar: Hasrul Hassan

Jika anda datang pada sebelah pagi atau petang, anda boleh berehat dan mengambil gambar di taman indah dataran menara jam ini. Berdekatan dengan menara ini terdapat jalan yang dinamakan sempena nama tokoh pejuang yang membunuh James Birch iaitu Dato’ Maharajalela.

Menara ini mempunyai 1 jam besar berukuran 6 kaki x 6 inci serta 4 jam kecil dan disertakan sistem untuk dibunyikan sama seperti Menara Jam Big Ben di bangunan Parlimen di London.

9. Concubine Lane (Jalan Panglima)

Concubine Lane adalah bangunan bersejarah tahun 1890-an yang dihidupkan menjadi kawasan kraf dan kafe. Terdapat koleksi mural, bangunan lama, dan kedai antik untuk bergambar.

Kredit gambar: Dreams Time

Bagi Muslim yang mahu singgah makan di kafe, dinasihatkan bertanya dahulu status halalnya ya. Namun ada pelbagai street art yang cantik di sini juga rumah warisan imigran Cina sejak 1892, selain gerai barangan antik.

10. Pasar Artisan Dataran Kong Heng Square

Pasar Artisan Dataran Kong Heng Square di dalam Heritage Walk Bandaraya Ipoh, ia terkenal dengan pasar yang menjual kraftangan juga ais kepal.

Terdapat banyak spot mengambil gambar yang cantik di sini. Anda bolehlah mencari buah tangan unik di sini untuk yang tersayang. Kawsan ini mempunyai nilai retro hinggakan dikenali sebagai Artisan Market oleh pelancong luar negara.

Boleh juga duduk berehat makan minum di sini kerana suasananya yang redup dan nostalgik.

Alamat: Jalan Panglima, Ipoh

Tempat Bersejarah Yang Menarik di Ipoh

Nampaknya setelah melihat senarai tempat menarik di Ipoh di atas, kita dapat simpulkan bahawa Bandaraya Ipoh mempunyai banyak kawasan bersejarah yang menarik malah ada juga yang dinaik taraf menjadi kawasan tumpuan pengunjung.

Jika anda bercadang berehat di Ipoh pada hujung minggu bersama anak-anak, jangan lupa semak checklist ini ya. Selamat bercuti!