KelabMama

10 Tempat Menarik di Alor Setar Yang Syok Tak Sangka!

balai besar

Kali ini, kita ke sebelah utagha pula. Selain daripada Langkawi, Alor Setar juga kaya dengan pelbagai tempat-tempat menarik yang boleh diterokai termasuk lokasi sejarah yang tersembunyi. Sebagai ikon Bandaraya di Kedah, Alor Setar boleh diakses melalui penerbangan, bas mahupun dengan keretapi ETS. Mudah bukan?

Senarai Tempat Menarik di Alor Setar

Alor Setar adalah ibu negeri Kedah yang dibuka oleh Sultan Muhammad Jiwa dan dikatakan telah menjadi ibu negeri selama 250 tahun. Ia merupakan pusat di mana dua sungai bertemu dan dipenuhi dengan pokok-pokok buah setar, yang memberi ilham kepada namanya. Bandaraya ini juga dipenuhi dengan pemandangan sawah padi yang menghijau. Tenang je rasa kalau ke sini.

1. Masjid zahir

Kredit gambar: Havelian

Masjid Zahir adalah Masjid Diraja yang terletak di perkarangan Istana Pelamin, yang terletak betul-betul di tengah bandaraya Alor Setar. Masjid ini mempunyai lima kubah kecil sebagai simbolik kepada lima rukun Islam yang diilhamkan daripada seni bina Masjid Azizi di Sumatera Utara.

Ia dibina pada tahun 1912 selama tiga tahun dan kini sudah berusia hampir 110 tahun! Masjid Zahir adalah antara masjid tercantik di Malaysia. Antara tarikan lain sekitar Masjid Zahir yang boleh terus dilawati adalah seperti Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Balai Besar, Balai Seni Negeri, Pekan Rabu, Rumah Merdeka, dan Menara Alor Setar.

2. Menara Alor Setar

Kredit gambar: Libur

Menara Alor Setar adalah adalah mercu tanda bandar Alor Setar. Menara telekomunikasi ini mempunyai ketinggian sehingga 165.5 meter, dan juga terkenal sebagai lokasi pelancongan. Yang seronoknya, Mama dapat melihat pemandangan bandaraya Alor Setar daripada atas dek.

Selain itu menara ini berfungsi sebagai balai cerap pada waktu hari raya dan juga ketika bulan puasa.

Harga tiket masuk:
Dewasa: RM12.00
Kanak-kanak (4 – 12 tahun): RM8.00
Warga emas & OKU: RM8.00
Pelajar berkumpulan: RM8.00

Dibuka setiap hari: 8.20 pagi – 10.30 malam

3. Muzium Padi

Kredit gambar: Langyaw

Di Muzium Padi Kedah ini Mama boleh memahami dengan lebih lanjut mengenai penanaman dan penuaian padi di negeri Kedah. Banyak bahan informasi berkenaan dengan sejarah industri padi di Kedah, sama ada dari segi teknologi tradisional atau yang moden.

Harga tiket masuk:
Dewasa (13 tahun ke atas): RM5.00
Kanak-kanak (7-12 tahun): RM2.00
Pelajar beruniform: RM2.00

Dibuka setiap hari: 9 pagi – 5 petang

4. Kota Kuala Kedah

Kredit gambar: Anas Photography

Ini merupakan peninggalan tapak asal Kota Kuala Kedah yang terletak di muara sungai Kedah, dan ia wujud sejak kurun ke 17 lagi. Terdapat kubu-kubu berbongkah batu merah yang masih kukuh dan pernah satu ketika dahulu menjadi benteng pertahanan daripada serangan Bugis, Acheh dan Siam.

Di dalam bangunan muzium rumah putih pula, terdapat pameran beberapa artifak bersejarah.

Kredit gambar: Eddy Rush

Masuk percuma. Dibuka setiap hari jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali waktu hari raya.

5. Balai Besar

Kredit gambar: Yallabook

Balai Besar ini dibina berbentuk rumah tradisional Melayu yang berbumbung panjang. Ia dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah. Seni halus pertukangan Balai Besar ini berasaskan kayu cengal.

6. Pekan Rabu

Kredit gambar: utusan.com.my

Haa ini antara tempat menarik di Alor Setar, yang WAJIB dikunjungi. Kalau tanya Mama Siti, tak sah kalau tak ke sini setiap kali ke Alor Setar. Pekan Rabu mempunyai pelbagai buah tangan yang berbentuk makanan tradisi Kedah, pakaian, dan macam-macam lagi.

Boleh rambang mata kalau ke sini. Antara makanan yang dijual di sini adalah bahulu, dodol durian, ikan pekasam, kuah rojak, dan sebagainya. Setelah penat berjalan, Mama boleh berhenti rehat untuk menjamah masakan panas di ruang food court yang disediakan di sini.

7. Masjid Bukhari

Kredit gambar: Dive into Malaysia

Tarikan utama masjid ini ialah keindahan seni bina dan perkarangan masjid yang mempunyai kolam air bercorak geometri. Rekaan masjid ini banyak bermotifkan senibina bangunan Islam popular di dunia seperti mimbarnya yang diambil daripada replika mimbar yang terdapat di Masjid Qiblatain Madinah. Seni bina laluan air inilah yang paling istimewa.

Masjid Bukhary boleh memuatkan sehingga 15,000 orang dan sangat menjaga kebajikan golongan kelainan upaya dengan menyediakan lif dan tandas khas. Masjid ini juga sangat popular sebagai tempat untuk photoshoot bagi pasangan pengantin di Alor Setar.

8. Muzium Negeri Kedah

Kredit gambar: Mohd Faiz Abdul Manan

Muzium ini memaparkan sejarah, seni dan adat budaya negeri Kedah. Terdapat 10 galeri pameran berbeza termasuk Dewan Sejarah, Dewan Manuskrip, Dewan Kebudayaan, Dewan Tekstil, Dewan Seni Kraf serta Sudut Bahasa dan Sastera.

Banyak fasiliti yang terdapat di sini sambil anda melihat pameran termasuklah kemudahan seperti kafeteria, bengkel, teater mini, perpustakaan dan juga lif, serta lain-lain.

Masuk adalah percuma.
Waktu dibuka: Setiap hari

9. Balai Nobat

Kredit gambar: Langyaw

Balai Nobat telah beberapa kali dibina semula. Sebelum ini ia diperbuat daripada kayu sejak tahun 1735 dan terakhir sekali sekitar tahun 1882 hingga 1943, bangunan berupa menara ini dibina semula menggunakan logam. Ia adalah bangunan tiga tingkat dengan sebuah kubah di atas.

Bangunan ini berfungsi menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja Kedah yang terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai yang menghasilkan muzik Nobat yang sangat indah.

Masuk adalah percuma.

10. Galeri Sultan Abdul Halim

Kredit gambar: The crazy tourist

Galeri ini memaparkan 2,000 koleksi peribadi Sultan Abdul Halim, termasuk dokumen rasmi, pakaian istana dan hiasan. Selain itu Mama juga dapat melihat carta susur galur keluarga diraja Kedah di galeri ini.

Banyak lagi tempat menarik di Alor Setar

Diharapkan anda dapat cuba menjejakkan kaki ke tempat-tempat menarik di Alor Setar yang kami cadangkan ini bagi percutian kali ini. Banyak lagi tempat menarik terdapat di Alor Setar jika anda ingin eksplorasi lebih lagi. Jangan lupa semak dahulu barang yang wajib dibawa untuk bercuti di sini. Selamat bercuti!