KelabMama

Fahami Tanggungjawab Suami Demi Membina Keluarga Bahagia Dan Sakinah

suami isteri

Kredit: kashoorga.com

Keputusan untuk mendirikan rumahtangga bukanlah satu perkara yang remeh buat seorang lelaki. Seorang lelaki dilabelkan mampu dan bersedia untuk menukar status bujangnya apabila dia benar-benar faham dan bersedia dengan tanggungjawab sebagai seorang suami. 

Kredit: pengantinbaru.com.my

Suami dan isteri melengkapi satu sama lain. Kemanisan berumahtangga pasti tercapai jika kedua-duanya berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.  

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai tanggungjawab suami? Kalau tahun lepas jejaka di Malaysia sudah ‘disekolahkan’ oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai tanggungjawab suami, kali ini Mama Siti pula ingin kongsikan antara tanggungjawab suami yang wajib diketahui oleh semua lelaki dengan lebih detail.

1. Suami Sebagai Ketua Keluarga

Semasa dalam perjalanan melayari bahtera rumahtangga, wajib ada seorang nakhoda kapal untuk menentukan kapal yang dilayar menuju ke pelabuhan bahagia dengan selamat dan tenang. Itulah dia tanggungjawab suami yang paling utama – menjadi ketua keluarga serta imam yang bertanggungjawab ke atas ahli-ahlinya. 

Seperti hadis Nabi Muhammad SAW: 

Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi keluarganya dan kelak ia akan ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang mereka.

(Riwayat al-Bukhari)

Dewasa ini, ramai isteri yang lebih berjaya dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada suami. Namun demikian, itu bukanlah alasan untuk isteri secara automatik menjadi ketua keluarga.

Para suami hendaklah mendahului isteri dalam menjadi ketua dengan bertindak aktif dalam menentukan gaya hidup keluarganya. Janganlah tunggu untuk si isteri yang mengambil inisiatif menyelesaikan semua masalah keluarga.

Isteri sepatutnya memberi sokongan yang padu atas segala keputusan suami dan bekerjasama menyelesaikan masalah keluarga bersama-sama. Sebagai ketua keluarga, suami harus sentiasa cuba untuk membina keluarga cemerlang yang bahagia. 

Kredit: Sinar Harian

2. Suami Sebagai Pencari Nafkah

Bukan soal seksis atau tidak, apabila seorang lelaki nekad untuk berumahtangga, haruslah beliau mula merancang dan memikirkan strategi untuk kemudahan isteri dan anak-anak yang bakal dilahirkan.

Islam sendiri mewajibkan suami mencari nafkah untuk keluarga. Malah, nafkah isteri adalah untuk kegunaan si isteri sahaja.

Bukanlah bermakna harta pencarian isteri tidak boleh dikongsi bersama untuk kemakmuran keluarga. Malah, jika isteri redha dan berlapang dada untuk berkongsi rezekinya bersama suami dan anak-anak, ganjaran pahala akan dapat kepada isteri.

3. Suami Sebagai Teman Sejati

Adalah menjadi fitrah manusia untuk hidup berteman. Tambahan pula seorang wanita, isteri dan ibu sentiasa memerlukan teman untuk diluahkan setiap rasa dan buah fikirannya.

Teman yang terbaik untuk seorang isteri sudah tentulah si suami. Selain menyediakan kemudahan material, sokongan emosi juga menjadi tanggungjawab seorang suami. 

Suami tempat meluahkan rasa.

Mama Siti beruntung dijodohkan dengan suami yang juga teman baik Mama Siti. Dialah tempat Mama siti meluahkan setiap rasa dan dia jugalah tempat rujukan Mama Siti sebelum membuat sebarang tindakan.

Maklumlah, bak kata pepatah, ikut rasa binasa, ikut hati mati. 

4. Suami Sebagai Contoh Terbaik

Seorang suami haruslah sentiasa memberikan contoh terbaik untuk isteri dan anak-anak. Memberi contoh terbaik bukanlah bermakna suami itu bebas dari melakukan kesalahan. Tiada siapa yang dilahirkan sempurna.

Namun demikian, mempertontonkan dan menggalakkan akhlak yang baik, berusaha untuk terus menjadi baik serta mengakui kelemahan diri dan sentiasa cuba untuk mengakui dan memperakui kelemahan adalah contoh terbaik yang harus dituai di dalam diri setiap suami. 

Kredit: xgeneroyales.com

5. Suami Sebagai Pelindung Paling Selamat

Selari dengan tugas seorang suami sebagai ketua keluarga, suami juga bertanggungjawab menjadi pelindung kepada keluarganya.

Sedih bila membaca berita tentang keganasan rumah tangga yang meningkat naik, terutamanya di musim PKP ini. 

Kudrat lelaki dan wanita jauh berbeza dan tenaga yang kuat pada lelaki tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya oleh kaum lelaki untuk melakukan penderaan dan keganasan terhadap isterinya.

Adalah menjadi tanggungjawab lelaki untuk menjadi pelindung paling selamat kepada isteri dan anak-anaknya dan bukanlah tempat melepaskan kemarahan dan menghancurkan. Ingatlah wahai kaum lelaki akan sabda Rasulullah SAW:

Sebaik-baik kalian adalah (Suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku  

(Hadis Riwayat Tirmizi) 

6. Suami Sebagai Pembantu dan Penyokong Isteri

Kita sering mendengar momokan “beras kita beli” yang menggambarkan suami yang menentukan dan mengawal segala keputusan di dalam kehidupan berumahtangga. Walaupun momokan itu hanyalah suatu gurauan, pendapat peribadi Mama Siti sangat tidak bersetuju dengan gaya bahasa dan cara penggunaan yang digunakan. 

Tugas seorang suami bukan sekadar menjadi ketua keluarga yang menyediakan rezeki untuk seisi keluarga. Suami adalah pelengkap kehidupan rumahtangga. Suami yang bertanggungjawab ialah suami yang membantu dalam urusan rumahtangga dan meringankan beban isteri dalam kehidupan harian.

Rasulullah SAW sendiri contoh terbaik untuk para suami kerana baginda tidak pernah menghadkan tugas dan tanggungjawab sebagai penyampai risalah Allah sahaja, malah baginda sangat ringan tulang dalam membantu hal-hal kerja rumah.

Suami yang bertanggungjawab menjadi pelengkap rumahtangga dan penyokong paling kuat untuk pasangannya.

7. Suami Sebagai Pendidik 

Ini merupakan salah satu tanggungjawab suami dalam Islam.

Islam amat menitikberatkan ilmu. Bak titipan Imam Ghazali, ilmu tanpa amal itu suatu kegilaan tetapi amal tanpa ilmu itu adalah suatu yang sia-sia.

Keluarga yang berjaya ialah keluarga yang berilmu, yang faham tanggungjawab dan tugas yang sepatutnya. Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk mendidik ahli keluarganya melakukan perkara yang betul dan sepatutnya.

Ini bukanlah bermakna si suami wajib memiliki segulung ijazah untuk berumahtangga. Dengan sumber yang hanya di hujung jari dewasa ini, ‘bergurulah’  jika perlu. 

Suami wajib mendidik perihal kehidupan agar ahli keluarga tidak terpesong dan tersasar dalam kehidupan. Luangkan masa untuk sentiasa mengingatkan diri dan keluarga akan segala bentuk ilmu yang akan membantu dalam amal kehidupan. 

Perkongsian sekadar gurauan

Kehidupan berumahtangga bukanlah hanya terletak di atas bahu si suami. Entiti rumahtangga itu sendiri terdiri sekurang-kurangnya daripada suami dan isteri, dan diberi juga rezeki anak-anak.

Masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab sendiri, sesuai dengan hak yang diberi. Suami yang baik adalah suami yang faham tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atasnya dan sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak.

Pesan Mama Siti, wahai para suami, buatlah yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab yang diletakkan ke atasmu demi kebahagian rumahtangga di dunia dan akhirat.