KelabMama

Elak Perceraian! Cari Pengetahuan: 8 Tanggungjawab Papa Setelah Bercerai

Perceraian golongan selebriti merupakan sebuah topik hangat yang dibincangkan sejak akhir-akhir ni. Apabila pasangan suami isteri bercerai, ia melibatkan proses yang sangat sukar.

Perceraian boleh menjadi suatu pengalaman yang sangat menyakitkan, bukan sahaja bagi kedua-dua pasangan yang terlibat, malah ahli keluarga yang lain.

Ipar duai, mentua-mentua dan terutama sekali anak-anak yang sedang membesar semestinya terjejas dari pelbagai aspek.

Jika sudah tiada jodoh, qada dan qadar ketentuanNya, hendaklah diterima dengan tenang.

Untuk mengelakkan keadaan bertukar menjadi lebih keruh, Papa perlu ambil tahu apakah tanggungjawab sebagai seorang ayah, anak dan saudara sesama Islam walaupun selepas bercerai dengan pasangan.

Hak Bekas Isteri Selepas Bercerai

Dalam Islam, wanita mempunyai hak selepas bercerai. Ramai yang tidak tahu mengenainya kerana kurangnya pengetahuan. Takpe, tak salah kalau tak tahu. Yang salah kalau tak tahu, tapi tak nak ambil tahu.

Berikut adalah antara hak buat para isteri setelah bercerai:

1. Nafkah iddah

Kredit gambar: Sinarharian.com

Syariat Islam yang dinamakan nafkah iddah mewajibkan umat Islam menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal sesudah bercerai sepanjang tempoh iddah, sekiranya iddah itu adalah raj’i (boleh diruju’ semula).

2. Mutaah

Sekiranya suami menceraikan isteri tanpa sebab munasabah, suami wajib membayar mutaah. Kadar mutaah boleh dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

3. Harta sepencarian

Kredit gambar: Sinarharian.com

Harta sepencarian merupakan harta yang dimiliki dengan bantuan isteri sama ada dengan bantuan kewangan secara langsung, atau tidak langsung seperti bantuan menjaga anak, menyediakan makan minum, membolehkan suami bekerja dengan selesa.

Kedua-dua pasangan mempunyai hak untuk menuntut harta kepunyaan perkahwinan di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.

Ini termasuklah perkara seperti wang, harta benda dan aset yang dicipta sebagai hasil perkongsian bersama. Semua pertikaian undang-undang hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

4. Tunggakan nafkah isteri dan anak

Jika suami tidak memberi nafkah kepada isteri semasa perkahwinan, ia menjadi hutang kepada lelaki. Oleh itu, walaupun telah bercerai, suami wajib membayar balik.

Ia boleh dibangkitkan di mana-mana mahkamah syariah. Sekiranya Papa tidak mengikut perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh mahkamah Syariah, mahkamah boleh mengambil tindakan ke atas tunggakan tersebut.

5. Hak jagaan anak (hadanah)

Kredit gambar: syafiqmukhtar.com

Hadanah bermaksud menjaga anak-anak yang belum mampu menjaga diri sendiri. Syariat Islam mengatakan bahawa ibu adalah golongan yang paling sesuai untuk menjaga anak-anak mereka terutama yang berumur bawah 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan.

Jika kanak-kanak lebih tua daripada had umur yang ditetapkan oleh undang-undang, mahkamah akan memutuskan ibu bapa mana yang harus didiami oleh kanak-kanak itu berdasarkan kehendak kanak-kanak itu sendiri.

6. Hutang perkahwinan

Jika seseorang berhutang dengan pasangannya, ini boleh dianggap sebagai hutang perkahwinan. Ini boleh difailkan sebagai kes di mahkamah atas nama hutang perkahwinan.

Jika anda berhutang wang hasil daripada hadiah/ hantaran perkahwinan, anda mungkin perlu memfailkan kes hutang mas kahwin.

Tanggungjawab Kepada Anak

Walaupun hubungan suami isteri telah berakhir, kewajipan nafkah anak kepada si bapa terutamanya tetap berjalan seperti biasa.

Ini kerana ia adalah sesuatu yang dituntut seseorang untuk menyara anak mereka, walaupun anak itu tinggal bersama orang lain.

Keperluan asas kanak-kanak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal, dan pendidikan. Menyediakan perkara-perkara ini secukupnya kepada kanak-kanak itu mengikut kemampuannya adalah wajib bagi papa walaupun setelah bercerai.

Lagi bagus kalau Papa mampu untuk luangkan masa dengan anak-anak walaupun sudah tinggal sekali.

Tanggungjawab Kepada Mentua & Ipar Duai

Begitu juga kesnya dengan anak-anak hubungan antara menantu dan mentua juga tidak terjejas. Hal ini boleh di lihat dimana seseorang itu tidak boleh mengahwini mentuanya walaupun selepas bercerai dengan bekas pasangan mereka.

Tanggungjawab kepada mentua, walaupun tidaklah setanding tanggungjawab kepada ahli keluarga kandung, namun keperluan untuk membantu atas dasar kasih sayang itu perlu, sebagai seorang menantu terhadap mentua.

Begitu juga dengan bekas ipar, walaupun telah berpisah, bantuan atas dasar ihsan tetap perlu diberi semampu mungkin bertepatan dengan kemampuan, keperluan serta keadaan sekeliling.

Paling tidak, rajinkan diri untuk bertanya khabar dan melawat mereka setiap bulan atau minggu, mengikut kemampuan.


Dapatkan pelbagai tips untuk Papa di SINI.