KelabMama

Ibu Kandung Tergamak Tanam Bayi Perempuan Selepas Bersalin

Semalam, mayat bayi perempuan cukup sifat telah ditemui di sebuah kampung di Lunas, Kulim. Mayat bayi malang tersebut dipercayai ditanam sejurus dilahirkan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Zailani Mohd Yusof, penemuan mayat bayi perempuan tersebut susulan kehadiran seorang gadis yang berusia 19 tahun di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Gadis tersebut dikatakan ingin menerima rawatan kerana sakit perut.

Berdasarkan laporan Berita Harian, pegawai perubatan yang merawat suspek mendapati gadis tersebut baru sahaja bersalin, sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis, jam 5:50 petang.

Anak Luar Nikah Bersama Teman Lelaki

“Polis dari Balai Polis Bukit Mertajam, Pulau Pinang kemudian hadir di hospital dan melakukan soal siasat dan gadis tersebut mengaku mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki berusia 19 tahun.

Superintendan Zailani Mohd Yusof

Bayi Perempuan Sudah Tidak Bernyawa

“Dia turut mengaku bersalin pada jam 1.45 pagi semalam di asrama kilang tempat kerjanya di Seberang Perai, bagaimanapun ketika dilahirkan bayi itu dipercayai sudah tidak bernyawa sebelum dia menghubungi teman lelakinya bagi meminta bantuan,”

Superintendan Zailani Mohd Yusof

Ujar Superintendan Zailani lagi, pasangan tersebut kemudiannya membawa mayat bayi itu dengan menaiki motosikal ke Kampung Limau Manis di Kulim, sebelum menanamnya sedalam 0.3 meter.

“Susulan pengakuan itu, polis mengenal pasti suspek lelaki sebelum menahannya yang kemudian menunjukkan lokasi mayat ditanam. Proses menggali mencari mayat dijalankan Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,”

Superintendan Zailani Mohd Yusof

Gadis berkenaan kini masih menerima rawatan di hospital terbabit sementara teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Siasatan mendapati mereka berdua berasal dari Sik dengan lelaki terbabit tidak bekerja dan mayat akan dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,”

Pesan Mama Siti

Apa yang Mama Siti boleh cakap dekat sini, jauhilah maksiat. Bila dah jadi macam ni, haa baru nak terngadah. Takut, bersalah, sedih, semua ada. Taktau nak buat apa. Tak pasal-pasal nyawa tak bersalah yang jadi mangsa. Mama Siti harap kedua-dua suspek ambil iktibar daripada kejadian ini.