KelabMama

Mama Bercerita | Taksub Dalam Berpantang, Hingga Memudaratkan Kesihatan

berpantang

Bagaimana pengalaman Mama ketika berpantang? Mama berpantang dengan ibu sendiri atau di rumah mertua? Mama rasa masih wajar ke pada zaman sekarang untuk betul-betul berpantang seperti zaman nenek moyang kita? Ikuti kisah berpantang seorang ibu yang diberi gelaran Puan H, yang dikongsikan di Facebook Medical Mythbusters Malaysia. Untuk pengetahuan Mama, ianya diceritakan sendiri oleh Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi, Dato’ Dr Rushdan Noor.

Proses Kehamilan yang Lancar

Puan H berusia 35 tahun, dan baru melahirkan anak. Beliau tidak menghidap sebarang penyakit dan proses kehamilan beliau berjalan lancar sehingga selamat melahirkan anak tanpa komplikasi. Pendek kata, Puan H berisiko rendah dan sangat bernasib baik. Namun, nasib baik Puan H hanya berhenti setakat saat melahirkan anak.

Ibu Mertua Taksub dengan Pantang 

Untuk kelahiran anak beliau kali ini, Puan H telah memilih untuk berpantang di rumah mak mertua. Tiba di rumah bermulalah episod berpantang mengikut nasihat mak mertua. Kalau dengan mak sendiri boleh lah nak merungut dan lawan cakap. Tapi dengan mak mertua kena patuh, dan terpaksa. Kalau tak ikut, takut betul pula cakap dia.

Terpaksa Pantang Air

Nak dijadikan cerita, rupa-rupanya mak mertua beliau sangat taksub dengan proses berpantang ibu bersalin. Macam-macam makanan tak boleh dimakan. Yang paling menyiksakan adalah kena pantang air. Bukan saja air minum dicatu, sebarang makanan yg berair pun tak boleh ambil.Hari ke 4, Puan H dah mula rasa tidak sihat. Badan letih dan rasa macam nak demam. Hari demi hari, kesihatan merosot dan pada hari ke 7, Puan H mula rasa sesak nafas.

Jangkitan Paru-paru & Buah Pinggang Terjejas

Puan H di bawa ke unit kecemasan dan didapati mengalami dehidrasi (kurang air) yang teruk. Pemeriksaan dan ujian menunjukkan ada tanda jangkitan paru-paru dan fungsi buah pinggang terjejas akibat dehidrasi. Urea darah 31 mg/dl dan creatinine 201 umol/L. Puan H dimasukkan ke ICU dan memerlukan rawatan rapi. Kelam kabut semua para doktor dari beberapa jabatan mengendalikan kes Puan H. Sehingga hari ini puan H masih di ICU dan bertarung nyawa untuk kali kedua selepas melahirkan anak. Allahu, semoga semuanya dipermudahkan untuk Puan H. 

Hidrasi yang Teruk Penyebab Jangkitan

Menurut Dato’ Dr Rushdan, kisah ini sebenarnya sering berlaku dalam masyarakat Melayu kita. Amalan berpantang yang keterlaluan sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan ibu yang baru selesai proses bersalin. Tidak dinafikan, proses berpantang membantu memulihkan kesihatan si ibu, tapi jangan la sampai keterlaluan. 

Dengan tahap nutrisi dan hidrasi yang teruk, tubuh lebih mudah dijangkiti penyakit dan apabila ini berlaku, badan tidak mampu untuk melawan dan memerlukan bantuan tambahan. Hanya kerana kepercayaan dan amalan yg salah, seseorang yang sihat semasa hamil dan melahirkan anak dengan selamat boleh jatuh sakit tiba-tiba semasa berpantang. Anak yang baru lahir pun tak dapat disusukan.

komen Dato’ Dr Rushdan lagi. 

Tak dinafikan juga, mungkin ramai lagi wanita yang terperangkap dalam situasi yang sama seperti Puan H. Namun, ramai juga yang mempunyai emak dan mertua yang terpelajar dan berpengetahuan. Walau bagaimanapun, Mama tegas dalam berkata-kata tentang proses yang Mama rasa meragukan. Boleh dapatkan nasihat doktor jika hal itu menjadi masalah antara Mama dan emak atau emak Mertua tentang proses berpantang. Ingat, jangan terlalu kuat berpegang dengan kepercayaan yang salah tentang pantang. Sangat penting tau minum air ketika berpantang!