KelabMama

Tahap Kepandaian Anak-Anak Menurun Akibat COVID-19

Dengan penutupan sekolah yang tidak menentu dan berlaku di negara kita, ia menyebabkan ibu bapa merasa gelisah terhadap tahap kepandaian anak-anak mereka sewaktu penularan jangkitan COVID-19. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menyebabkan ramai pelajar menghadapi masalah mengikuti jadual kelas harian mereka yang tidak menentu.

Sumber: Redaksi.com

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Bank Dunia, terdapat beberapa negara yang terjejas dengan pembelajaran dan pengajaran serta sesi persekolahan kerana mereka sudah terpinggir akibat kemiskinan, latar belakang sosio-ekonomi yang kurang bernasib baik, orang kurang upaya dan minoriti. Ibu bapa menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merancang dan menyediakan kemudahan pembelajaran supaya anak-anak mereka tidak ketinggalan.

Selain itu, ibu bapa juga berpendapat bahawa wajib bagi pihak KPM untuk mengagihkan bahan-bahan pembelajaran bagi mereka yang berada di kawasan pedalaman agar mereka tidak ketinggalan dengan tugasan harian. Terdapat pelbagai cara dan usaha yang telah guru-guru sediakan untuk para pelajar yang mempunyai masalah kemudahan internet dan peranti.

Selepas setahun negara melaksanakan PdPR, ibu bapa dan guru-guru akui terdapat beberapa beberapa kelemahan dengan kelas secara atas talian.

Apakah Faktor Yang Menjurus Kepada Kelemahan Kelas Online?

Faktor-faktor tersebut merangkumi pengajaran dan pembelajaran kelas secara atas talian yang memerlukan pelbagai peranti dan bahan pembelajaran yang cukup untuk memastikan para pelajar mencapai sasaran pembelajaran yang telah ditetapkan oleh pihak guru. Ibu bapa harus memainkan peranan dalam memastikan anak-anak bersedia untuk sesi pembelajaran pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.

Bagi para pelajar yang mempuyai kemudahan peranti dan internet pula, mereka menghadapi masalah sukar untuk fokus dan berinteraksi di dalam kelas bersama guru-guru mereka. Ini menjadi kebimbangan terhadap ibu bapa kerana anak-anak yang gagal sertai kelas akan ketinggalan, dan kemudian mengakibatkan prestasi mereka merosot. Keyakinan pelajar-pelajar berada di dalam kelas juga meragukan kerana tiada interaksi atau tindak balas yang sama seperti kelas fizikal.

Situasi bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga terjejas di mana tahap prestasi mereka yang lebih setahun tidak berada di dalam kelas fizikal telah menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Dan hal ini lebih membimbangkan kerana mengambil peperiksaan SPM adalah wajib untuk pelajar di Malaysia melanjutkan pelajaran hingga ke tahap universiti. Pelajar tingkatan 4 juga menunjukkan prestasi yang amat meresahkan kerana setelah setahun belajar secara atas talian yang tidak menentu, mereka perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan SPM bagi tahun berikutnya.

Ahli parlimen juga menyuarakan kebimbangan mereka kerana ibu bapa tidak dapat menguasai bidang yang mereka perlu mengajar kepada anak-anak mereka. Oleh itu, ia dapat menjejaskan tahap kepandaian anak mereka.

Guru-guru yang mengajar secara atas talian perlu menghasilkan pelbagai kaedah untuk menarik minat dan tumpuan para pelajar dan seterusnya agar mereka lebih bersemangat untuk menyertai kelas tersebut.

Akan tetapi, mengikut kajian yang dilaporkan Bernama, hampir 60% pelajar tidak mempunyai internet dan peranti untuk menjalankan sesi PdPR mereka di rumah. Cabaran-cabaran ini yang menyebabkan berlakunya sekatan dalam pembelajaran dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Dengan situasi penularan jangkitan COVID-19 yang menunjukkan penurunan di dalam negara, ibu bapa dan guru-guru berharap agar sekolah dapat dibuka semula serta pembelajaran secara fizikal dapat sambung seperti biasa. Ini dapat mengurangkan rasa kebimbangan ibu bapa terhadap prestasi anak mereka.

Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa serta kerajaan seharusnya berganding bahu untuk memperbaiki prestasi dan tahap kepandaian anak-anak untuk pembangunan diri mereka kerana anak-anak yang sedang membesar sekarang adalah masa depan negara.

Untuk berita lebih lanjut, jangan lupa untuk mengikuti berita seterusnya bersama KelabMama!