KelabMama

6 Jenama Susu Tanpa Laktosa untuk 0-12 Bulan & 1 Tahun ke Atas

Adakah anak Mama sedang mengalami symptoms lactose intolerance? Adakah Mama sedang mencari jenis susu alternatif tanpa laktosa untuk tukar susu? Kali ni Mama Siti nak kongsikan beberapa fakta menarik tentang alahan laktosa ni yang mungkin belum dikongsikan di tempat lain dan juga jenama susu yang mungkin membantu.

Apakah itu alahan laktosa?

Alahan laktosa bermaksud sistem penghadaman si kecil kita tidak mampu menghadamkan laktosa yang datang bersama produk tenusu. Gula laktosa ini memerlukan rembesan lactase enzyme yang mencukupi bagi melancarkan proses penghadamannya di dalam usus.

Gejala Alahan Laktosa

Mama akan mendapati anak kecil kerap kali kelihatan seperti sedang sakit perut, banyak angin yang keluar, cirit-birit, menangis kerana kembung ataupun loya dalam tempoh 30 minit ke dua jam selepas pengambilan produk tenusu.

Cuba beri pada anak susu yang sama selama beberapa hari dan perhatikan reaksi. Jangan lupa catat waktu pemberian susu untuk rekod doktor sebelum sebarang diagnosis dibuat.

Fakta Menarik tentang Alahan Laktosa

Protein A1 vs A2

Susu lembu yang biasa kita minum di Malaysia ini adalah daripada baka lembu tenusu yang mengandungi protein beta-casein A1 dan A2. Namun ada juga jenis baka lembu tenusu yang hanya menghasilkan susu dengan protein beta-casein A2 sahaja.

Kajian menunjukkan sebenarnya proses breakdown beta-casein A1 di dalam usus kecil yang menyebabkan keradangan berlaku. Kemudian muncullah gejala di atas seperti cirit-birit dan kembung perut, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah alahan laktosa.

Kajian seterusnya dijalankan pula di negara Asia dan diidapati gejala keradangan usus di atas semakin pulih dengan pengambilan susu jenis protein beta-casein A2 ini. Jika Mama perasan, kini beberapa jenama telah mula menjual produk tenusu berlabel A2 kerana didapati susu daripada baka ini mempunyai kadar serapan yang lebih baik ketika proses penghadaman sekaligus banyak mengurangkan gejala alahan laktosa.

Selain itu, susu kambing dan unta juga termasuk di dalam kategori susu A2. Oleh kerana itu, susu kambing lebih mudah diserap usus. Susu kambing melalui kajian ini, adalah lebih menyerupai susu ibu kerana mempunyai kandungan prebiotik asli iaitu oligosaccharides.

Prebiotik dan Probiotik

Kehadiran prebiotik dan probiotik yang seimbang di dalam sistem usus anak kecil juga akan membantu mengurangkan atau menghilangkan masalah berkaitan penghadaman. Ia juga mungkin adalah faktor penyumbang kepada alahan laktosa yang tersembunyi. Prebiotik adalah makanan kepada probiotik, iaitu bakteria baik untuk kesihatan usus.

Kedua-duanya juga menghalang pertumbuhan bakteria jahat yang mengganggu keseimbangan usus sekaligus memberi reaksi alahan. Selain itu, prebiotik dan probiotik ini mampu melancarkan sistem penghadaman dan mengelakkan sembelit, masalah yang menjadi gangguan utama ketika tumbesaran anak-anak.

Cadangan Jenama Susu Tanpa Laktosa untuk Bayi 0-12 Bulan

Jika Mama mempunyai bayi yang sensitif susu lembu biasa dengan gejala alahan laktosa, namun Mama tak mampu menyusukan sendiri, susu tepung formula berikut adalah antara pilihan yang baik.

Nestlé Nan Lactose Free (0-12 Months)

Susu Nan Lactose Free ini adalah daripada susu lembu, namun kandungannya diproses tanpa laktosa. Kemudian, susu ini ditambah baik lagi dengan probiotik, untuk memulihkan usus bayi yang sensitif. Ia juga mengandungi DHA dan ARA, sejenis asid lemak yang biasa ada dalam susu ibu.
Harga: RM24.20/400g

KARIHOME STEP 1 Goat Milk Infant Formula

Kredit: roesoul.com

Susu KARIHOME STEP 1 Goat Milk Infant Formula ini adalah susu kambing daripada New Zealand, yang disediakan khas untuk bayi berusia 0 hingga 6 bulan. Kebiasaannya, susu kambing hanya sesuai untuk usia 1 tahun ke atas, namun jenama ini telah mencipta formulasi baru supaya ia sesuai untuk diberikan kepada bayi.
Harga: RM47.90/400g

Similac Isomil Soya 0-12

Kredit: lmall.my

Susu soya Similac Isomil khas untuk bayi usia 0 hingga 12 bulan ini diperbuat daripada kacang soya berkualiti tinggi. Ia juga mengandungi DHA untuk membina sel otak, mata dan kulit.
Harga: RM74.80/850g

Cadangan Jenama Susu Tanpa Laktosa untuk 1 Tahun ke Atas

Salic Goat Organic

Kredit: shopee

Susu kambing jenama Salic Goat ini dihasilkan daripada kambing di Belanda menggunakan teknik freeze dried. Iaitu susu segar yang dibekukan dan dijadikan serbuk. Susu ini adalah organik dan juga bahan-bahannya adalah 100 peratus susu kambing.
Harga: RM99/900g

Suffy Pure Goat

Suffy Pure Goat adalah 100 peratus susu kambing segar berkualiti daripada Belanda yang dijadikan serbuk. Ia diproses tanpa sebarang pengawet, perisa dan pewarna. Sesuai untuk anak berusia 1 tahun ke atas.

Susu kambing Suffy ini juga mudah larut air dan sangat sesuai jika hendak digunakan oleh seisi keluarga. Mama Siti sendiri kadang-kadang akan buat belian jenama ini. Sedap sekali dibancuh dengan koko mahupun kopi. Suami Mama Siti pun suka!
Harga: RM47.60/400g

Dale & Cecil Miwako Plant Milk

Miwako Plant Milk adalah susu berasaskan tumbuh-tumbuhan yang ditanam secara organik. Bahan-bahan utama susu ini adalah quinoa, millet dan beras perang. Sangat sesuai untuk anak yang juga alah kepada soya. Mengandungi serat, protein dan antioksidan semulajadi daripada tumbuhan. Ia juga ditambah dengan GABA untuk keseimbangan emosi dan tidur berkualiti.

Mama Siti paling suka gunakan Miwako di rumah kerana anak-anak rasa kenyang lebih lama dan tidur lebih selesa dengan adanya GABA. Sudah bertahun Mama Siti gunakan jenama ini. Mama Siti pun sama-sama tumpang minum sekali!
Harga: RM76/700g

Perhatikan dan Cari Punca Sebenar Masalah Penghadaman Anak

Mama Siti harap senarai jenama yang dikongsi di atas ni mampu memberi kualiti kesihatan lebih baik buat anak-anak. Mama Siti sarankan Mama semua cuba pastikan dengan jelas faktor sebenar masalah kesihatan usus anak kita.

Mama boleh cuba cari maklumat tentang jenama susu tanpa laktosa yang dicadangkan, cuba gunakan di rumah, kemudian perhatikan reaksi anak-anak sama ada muncul alahan atau tidak.

Antara cadangan lain, Mama boleh mencuba jenama susu formula yang berlabel susu A2 seperti Enfagrow A2 MindPro dan juga susu formula lembu yang berlabel organik. Kadangkala anak kecil kita hanyalah alah kepada bahan kimia yang digunakan untuk penanaman dan penyuburan tanah rumput yang dimakan lembu.

Susu lembu organik bermaksud lembu itu memakan rumput organik dan tiada bahan tambah makanan proses lain. Contohnya jenama susu formula Bubs Organic® Grass Fed Infant Formula dan juga Bellamy’s Organic Step 1 Infant

Sekiranya anak Mama tiada sebarang alahan, Mama mungkin boleh cuba susu formula terbaik yang lain di sini. Jumpa lagi!