KelabMama

SUAMI SEBELUM RASA NAK BERGADUH DENGAN ISTERI BACA 4 TIP INI TERLEBIH DAHULU

90 peratus penceraian yang berlaku di luar sana sebenarnya tidak perlu berlaku namun tetap berlaku kerana pasangan tiada ilmu, tidak sabar dan kurang bijak mengurus konflik. Memanglah jodoh itu ditangan tuhan namun usaha menyelamatkan perkahwinan itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh terlebih dahulu.

Bagi para suami, hayatilah beberapa tip di bawah agar menjadi seorang suami yang mampu bersabar dalam perkahwinan. Ingatlah anda lelaki yang dipilihnya menjadi suami sedangkan isteri dulunya mungkin ada pilihan yang lain. Suka atau tidak itulah hakikatnya. Anda menjadi suami kerana isteri menerima anda untuk menjadi suaminya. Dia mungkin ada beberapa pilihan lain namun anda lah yang dirasakan paling serasi, secocok dan sekufu dengannya. Anda yang diharapkan dapat menjadi payung baginya dan mendidik dia menjadi isteri yang baik lagi solehah. Cuba imbas kembali betapa bahagianya hati anda ketika dia bersetuju menjadi isteri. Indah dan bermakna sungguh saat itu.

 

Mengharungi kehidupan di saat-saat awal perkahwinan bukannya mudah. Rumah sewa dan gaji pun kecil. Yang berniaga, juga bermula secara kecil-kecilan. Kita suami isteri sanggup berkorban masa, tenaga, perasaan dan segalanya demi membina sebuah kejayaan. Makan kita makanlah isteri. Ramai isteri yang sanggup sama-sama bersusah payah demi memastikan keadaan keluarga menjadi lebih berjaya satu hari nanti.

Doanya untuk kita tidak pernah putus. Sakit demam kita dijaganya. Keluhan hati kita didengarnya. Kesusahan kita dirasakannya. Jadi, kenapa mesti kita lupakan semua itu. Apa sekali pun jalan yang kita pilih pastikan isteri yang sama-sama susah itu tidak diabaikan, apa lagi dibuang. Tutup mulut dan padam perkataan cerai daripada dalam minda.

 

Bukan senang mahu mengandungkan anak selama sembilan bulan dan melahirkannya. Jika kita berpeluang melihat bagaimana sukar dan sakitnya isteri melahirkan anak maka pastilah timbul rasa insaf dan kasihan terhadapnya. Sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Apakah kita sebagai suami dengan mudah mahu lupakan semua itu. Oleh itu, walau apa sekali pun ujian, didiklah hati isteri dan pujuklah hatinya sebab marah bagaimana sekali pun isteri, jauh di sudut hatinya dia sayangkan kita. Mulutnya bising, kata-katanya kesat tetapi percayalah semua itu hanya luarannya sahaja.

 

Sepatutnya semakin lama usia perkahwinan semakin kenal kita akan pasangan masing-masing. Anda kenal baiknya, anda juga kenal buruknya. Sebab itulah perkahwinan itu untuk saling melengkapi, apa yang kurang pada isteri lebihnya mungkin pada suami dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu setiap kali berlakunya krisis, kenanglah semula saat-saat indah bersama dan segala kebaikannya yang membuatkan hati tertarik padanya. Dengan cara itu tidaklah kita tidak membuat tindakan melulu dan terburu-buru.

 

Kenapa perlu tatap wajah isteri ketika dia tidur? Kerana wajah isteri ketika itu tanpa emosi. Cuba dengarkan suara hati ketika menatap wajah itu. Pasti akan hadir rasa sayang, kasih dan simpati. Pasti tidak dapat dibayangkan pilu dan sedihnya hati ini jika bangun esok paginya wajah itu sudah tiada lagi. Bersyukurlah ketika ramai orang yang tidak punya isteri, Allah anugerahkan anda seseorang sebagai teman hidup. Itulah wajah yang menyimpan segala memori pahit manis bersama. Hargai usahanya memasak, mengemas, menjaga anak dan melayani kehendak batin anda. Bukan senang menjalani hidup sebagai seorang isteri. Tugas seorang isteri ialah dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu.

 

 

Sumber: Internet