KelabMama

10 Tanda Suami Mula Mengabaikan Perasaan Isteri

Acap kali kita mendengar mengenai permasalahan yang sering berlaku di alam rumah tangga, iaitu mengenai perilaku suami abaikan perasaan isteri di mana ia merupakan permulaan kepada runtuhnya sebuah institusi perkahwinan yang terbina. Perkahwinan adalah sebuah ikatan yang halal lagi suci di antara seorang perempuan dan lelaki.

Perkahwinan juga bukan semata-mata penyatuan dua hati, tetapi turut melibatkan hak dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kedua-dua pihak samada suami atau isteri. Kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan seusai akad.

Dalam Islam, perkahwinan adalah amat dianjurkan bagi mengelakkan berlakunya sebarang maksiat, untuk mendapatkan keturunan, sebagai ibadah, untuk mendapatkan ketenangan dalam hidup dan mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga.

Namun, seringkali kita dengar terdapat banyak kes pergolakan rumah tangga yang berlaku di sekeliling kita. Banyak faktor yang menyumbang kepada pergolakan dalam rumah tangga.

Antaranya adalah tidak menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mengabaikan perasaan pasangan (suami abaikan perasaan isteri atau sebaliknya) dan banyak lagi.

Tanda-tanda Suami Abaikan Perasaan Isteri

Antara punca yang sering kita dengar yang menjadi punca pergolakan dalam rumah tangga salah satunya adalah pengabaian perasaan pasangan.

Berikut adalah 10 tanda suami sudah mula mengabaikan perasaan isteri:

#1. Tidak berasa bahagia ketika berada bersama isteri

Seharusnya bahagia seorang suami itu adalah di samping isteri tercinta. Namun, sekiranya berada di samping isteri membuatnya berasa tidak bahagia dan tidak tenang, berkemungkinan sang suami semakin hilang rasa sayang kepada sang isteri dan ini salah satu tanda suami mengabaikan perasaan isteri.

#2. Suami abaikan perasaan isteri apabila kurang berkomunikasi dengan isteri

Dalam alam rumah tangga, komunikasi antara suami dan isteri sangat memainkan peranan. Komunikasi antara suami isteri ini menjadi nadi dalam rumah tangga untuk menambahkan lagi aura dan seri dalam perhubungan suami isteri.

Namun, sekiranya tiada lagi perkongsian berkenaan hal-hal pejabat, rakan-rakan suami dan banyak lagi, ini bermakna suami anda tidak lagi selesa untuk bercerita dengan anda.

Suami hanya akan berkomunikasi dengan anda berkenaan perkara yang perlu sahaja. Hal ini terbukti akan mengguris hati dan perasaan sang isteri.

#3. Kurang berminat dengan isteri dari segi hubungan intim

Selain komunikasi, hubungan intim dalam rumah tangga juga memainkan peranan penting untuk mengeratkan hubungan antara suami dan isteri. Melalui hubungan intimlah perasaan cinta dan sayang antara satu sama lain dapat ditunjukkan.

Tetapi, sekiranya sang suami menolak ajakan sang isteri untuk berhubungan intim ini bermaksud sang suami bukan sahaja mengabaikan nafkah batin terhadap isterinya tetapi juga mengabaikan hati dan perasaan si isteri.

#4. Menunjukkan ekspresi tidak menyenangkan ketika berada di rumah

Bagi kebanyakan orang, berada di rumah adalah tempat paling selesa untuk mereka merehatkan diri dan menghabiskan masa.

Namun, sekiranya suami anda sering menunjukkan ekspresi yang tidak menyenangkan seperti marah-marah dan mempersoalkan banyak benda yang berlaku di rumah, ini bermakna suami anda tidak selesa berada di rumahnya sendiri.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa sang suami tidak sensitif dengan perasaan si isteri. Di sini dapat dilihat pengabaian perasaan seorang isteri berlaku.

#5. Lebih suka bersendirian dan habiskan masa dengan telefon bimbit

Dewasa ini, seringkali kita mendengar dan melihat banyak kes keretakan rumah tangga yang disebabkan oleh suami yang leka dengan telefon bimbit.

Ini menunjukkan sang suami lebih suka menghabiskan masa bersendirian daripada menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak. Apabila ini terjadi, isteri akan rasa terabai dan pergolakan rumah tangga akan terjadi.

#6. Suami abaikan perasaan isteri apabila tidak ambil berat

Pengabaian perasaan isteri juga boleh berlaku apabila sang suami tidak mengambil berat akan isteri. Contohnya, sebelum ini sang suami sering bertanyakan khabar apabila berjauhan dengan sang isteri, tetapi kini walaupun berjauhan selama beberapa hari tiada panggilan telefon atau mesej yang dihantar untuk bertanyakan khabar dan keadaan sang isteri.

#7. Hubungan dalam rumah tangga yang semakin hilang kehangatannya

Selain itu, kehangatan dalam hubungan suami isteri yang sebelum ini membara bagaikan api cinta yang sedang membakar semakin hilang apabila tiada lagi sentuhan manja, pelukan mesra dan belaian manja untuk si isteri.

Perkara sebegini kadang kala boleh membuatkan hati dan perasaan isteri terguris. Oleh itu, setiap pasangan haruslah sentiasa konsisten untuk menghangatkan lagi hubungan suami isteri ini.

#8. Tiada lagi hormat kepada sang isteri

Ini boleh dilihat dari cara layanan seorang suami kepada isterinya.

Contohnya, sang suami melayan isterinya tidak ubah seperti majikan melayan seorang pembantu rumah, sering membelakangkan isteri apabila ingin membuat sesuatu keputusan, sering menyalahkan isteri dalam semua keadaan dan banyak lagi.

Ini semestinya akan membuatkan perasaan si isteri sangat terkesan dan terguris.

#9. Suami abaikan perasaan isteri apabila tiada lagi pujukan mesra

Di samping itu, pengabaian perasaan isteri juga boleh berlaku sekiranya tiada lagi pujukan mesra dari seorang suami apabila terjadinya pertengkaran atau pergaduhan. Perempuan dan merajuk memang tidak dapat dipisahkan dan selalunya pujukan akan datang dari lelaki.

Namun, tanpa sedar perkara yang nampak remeh ini pun boleh menjadi punca kepada pengabaian perasaan seorang isteri. Isteri akan berasa suami tidak lagi mementingkan perasaannya.

Oleh itu, sekiranya perkara sebegini berlaku, sang suami perlu membuang ego untuk kemaslahatan rumah tangga yang dibina.

#10. Rasa tidak dihargai dan tiada lagi kata-kata pujian dari suami

Akhir sekali, pengabaian perasaan isteri juga termasuklah isteri rasa tidak dihargai. Pengorbanan seorang isteri kepada keluarga itu tidak boleh dinafikan. Pengorbanan dalam melahirkan, menyusu, mengurus rumah tangga dan banyak lagi tanggungjawab isteri yang lain.

Apabila sang suami tidak menunjukkkan penghargaan atas pengorbanan mereka, contohnya, tiada kata-kata pujian atau terima kasih di atas pengorbanan yang telah dilakukan, sudah semestinya akan membuatkan si isteri berasa sangat tidak dihargai.

Oleh itu, para suami harus sentiasa mengungkapkan kata-kata pujian buat isteri tercinta agar mahligai yang dibina akan terus kekal berdiri megah.

Sememangnya alam rumah tangga ini ada turun naiknya. Kadang kala bahagia, kadang kala taufan melanda. Namun, setiap pasangan haruslah tahu cara untuk membangkitkan semula rasa cinta dan sayang dalam perhubungan mereka. Jika tidak ikatan yang dibina ini mungkin akan terlerai di tengah jalan.

Semoga perkongsian ini dapat membantu suami lebih memahami perilaku diri yang telah menyakiti hati sang isteri dan berusaha memperbaikinya semula, dan buat si isteri semoga kalian tabah dan sabar dalam menghadapi ujian alam rumah tangga.


Ketahui tips meningkat kebahagiaan rumah tangga dan hubungan suami isteri DI SINI.


Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mama mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mama di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!