KelabMama

Strok Kanak-Kanak: Fahami Mengapa Ia Boleh Berlaku

strok kanak-kanak

Apabila bercakap mengenai pesakit strok, kebanyakan orang akan terfikir tentang golongan emas, khususnya mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, diabetes atau paras kolesterol yang tinggi, dan bukannya kanak-kanak Malah, kebanyakan ibu bapa tidak pernah menyangka anak mereka boleh mengalami strok.

Namun, hakikatnya, strok boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, daripada bayi yang baru dilahirkan hingga remaja.

Protokol Pediatrik untuk Hospital di Malaysia yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia menganggarkan kadar kejadian strok dalam kalangan kanak-kanak pada kadar 2.5 hingga 13 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun1.

Walaupun jarang berlaku berbanding strok dalam kalangan orang dewasa, ini menjadikannya satu cabaran kerana gejala yang muncul secara tiba-tiba mudah terlepas pandang atau disalah anggap sebagai penyakit kanak-kanak yang lebih biasa.

Dr Tan Jen Ern,
Pakar Perunding dan Pakar Neurologi Kanak-Kanak
di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV)

Menurut Dr Tan Jen Ern, Pakar Perunding dan Pakar Neurologi Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), strok kanak-kanak boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia. Walaupun kadar kejadiannya di Malaysia belum direkodkan secara menyeluruh, Dr Tan merawat sekitar satu hingga dua kes setahun.

“Strok kanak-kanak jarang berlaku, tetapi ini tidak bermakna ia mustahil terjadi. Apa yang paling penting ialah mengenal pasti perubahan neurologi yang berlaku secara tiba-tiba dan mendapatkan penilaian perubatan kecemasan dengan segera,” kata Dr Tan.

Mengenal Pasti Simptom Strok dan Bertindak Segera

Antara faktor yang menyukarkan pengenalpastian strok kanak-kanak ialah gejalanya mungkin berbeza daripada gejala yang dialami oleh orang dewasa.

“Tidak seperti orang dewasa, kanak-kanak sering kali tidak dapat menerangkan dengan tepat apa yang mereka rasakan. Selain itu, pelbagai penyakit lain yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak boleh menunjukkan simptom yang menyerupai strok. Tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan ibu bapa dan kakitangan penjagaan kesihatan turut menyebabkan strok kanak-kanak mudah terlepas pandang,” jelas Dr Tan.

Tanda amaran strok juga boleh berbeza mengikut usia kanak-kanak. Dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berusia ataupun remaja, gejalanya mungkin menyerupai strok dalam kalangan orang dewasa, seperti muka senget, rasa lemah pada sebelah badan atau kesukaran bercakap. Namun, bagi bayi dan kanak-kanak kecil, tanda-tandanya mungkin lebih sukar dikenal pasti, seperti sawan atau kesukaran menyusu.

Memandangkan strok jarang dijangka berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa mungkin memilih untuk menunggu dan melihat sama ada gejala tersebut akan reda dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, strok merupakan kecemasan perubatan yang memerlukan tindakan segera tanpa mengira usia.

“Ibu bapa perlu mencatat waktu terakhir anak mereka diketahui berada dalam keadaan normal kerana masa bermulanya gejala boleh menjadi faktor penting dalam menentukan pilihan rawatan kecemasan. Menghubungi ambulans membolehkan pasukan kecemasan menyelaras destinasi rawatan yang sesuai serta memudahkan pemindahan pesakit ke fasiliti yang mempunyai kepakaran dalam rawatan strok,” nasihat Dr Tan.

Hospital yang paling hampir dengan rumah tidak semestinya mempunyai kemudahan dan kepakaran terbaik untuk merawat penyakit strok akut.

“Masa amat penting kerana setiap saat yang berlalu boleh menyebabkan lebih banyak sel otak terjejas. Jika sesebuah hospital itu tidak dapat menyediakan ujian pengimejan otak dan salur darah atau penilaian pakar yang diperlukan dengan segera, kanak-kanak tersebut mungkin perlu dirujuk atau dipindahkan ke fasiliti lain. Hal ini boleh menyebabkan kelewatan tambahan sebelum diagnosis dapat disahkan dan rawatan khusus dapat dilakukan,” kata Dr Tan.

Mengapa Kanak-kanak Boleh Mengalami Strok?

Tidak seperti orang dewasa, kanak-kanak yang mengalami strok lazimnya tidak mempunyai faktor risiko berkaitan gaya hidup. Sebaliknya, strok kanak-kanak boleh dikaitkan dengan penyakit jantung, abnormaliti pada salur darah otak, masalah berkaitan darah, jangkitan atau keradangan, trauma serta keadaan genetik atau metabolik tertentu.

Ini bermakna kanak-kanak yang kelihatan sihat sepenuhnya juga berisiko untuk mengalami strok.

“Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak ini mempunyai masalah kesihatan tetapi tidak dikenal pasti dari awal. Berdasarkan pengalaman saya dalam amalan klinikal, punca asas yang paling lazim ialah abnormaliti pada salur darah otak,” jelas Dr Tan.

Mengenal pasti simptom strok memerlukan pemeriksaan menyeluruh, termasuk ujian darah, ujian saringan gangguan pembekuan darah (trombofilia) jika diperlukan, elektrokardiogram (ECG) untuk merekod aktiviti elektrik jantung, ekokardiogram untuk memeriksa struktur dan fungsi jantung, serta ujian pengimejan otak yang turut memetakan salur darah, iaitu pengimejan resonans magnetik bersama angiografi resonans magnetik (MRI dengan MRA).

Rawatan awal memberi tumpuan untuk menstabilkan keadaan pesakit, mengawal sawan dan menangani komplikasi. Ubat-ubatan untuk mencegah pembentukan darah beku juga boleh digunakan bergantung pada punca strok.

Bagi pesakit terpilih yang memenuhi kriteria ketat, prosedur invasif minimum untuk mengeluarkan darah beku daripada arteri yang tersumbat,
dikenali sebagai trombektomi endovascular, boleh dipertimbangkan dengan sokongan kepakaran yang diperlukan.

Mengenal pasti simptom strok juga penting untuk mengurangkan risiko pada masa hadapan. Menurut protokol pediatrik Malaysia, antara 12% dengan 20% kes strok iskemia arteri dalam kalangan kanak-kanak, iaitu strok yang disebabkan oleh salur arteri tersumbat, berisiko untuk berulang2.

“Risiko untuk strok berulang berbeza bagi setiap kanak-kanak. Abnormaliti pada arteri otak boleh meningkatkan risiko tersebut. Oleh itu, rawatan terhadap punca asas boleh membantu mengurangkan risiko ini, di samping pemantauan susulan secara berkala oleh pakar neurologi kanak-kanak dan pakar lain yang berkaitan,” kata Dr Tan.

Kesan Strok Boleh Berterusan Lama Selepas Kecemasan Berlalu

Bagi kanak-kanak, strok boleh menjejaskan lebih daripada sekadar keupayaan bergerak. Satu kajian di Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2025 telah memantau 76 orang kanak-kanak sekurang-kurangnya dua tahun selepas mereka mengalami strok3. Kira-kira tiga daripada empat kanak-kanak menunjukkan pemulihan yang baik dan mampu menguruskan aktiviti harian serta mencapai pemulihan neurologi yang memuaskan.

Walau bagaimanapun, kualiti hidup keseluruhan mereka masih nyata lebih rendah berbanding kanak-kanak Malaysia yang sihat, terutamanya dalam kalangan mereka yang mengalami kesukaran pembelajaran.

“Seorang kanak-kanak mungkin menunjukkan pemulihan fizikal yang agak baik, tetapi masih mengalami kesukaran dari segi tumpuan, kelajuan memproses maklumat, ingatan, pembelajaran, komunikasi, pengawalan emosi, berkawan atau keyakinan diri. Kesukaran ini boleh memberikan kesan besar terhadap persekolahan, hubungan dengan orang lain dan kehidupan seharian mereka,” jelas Dr Tan.

Sesetengah kesan mungkin hanya menjadi ketara beberapa tahun kemudian. Dr Tan menjelaskan bahawa anak kecil mungkin kelihatan pulih dengan sangat baik pada peringkat awal, namun kesukaran tertentu mula kelihatan lebih jelas apabila mereka memasuki alam persekolahan dan berhadapan dengan tuntutan pembelajaran serta perkembangan yang semakin meningkat.

Oleh itu, pemantauan jangka panjang amat penting, dengan pemulihan menjadi komponen utama penjagaan melalui fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan bahasa, penilaian neuropsikologi serta sokongan pendidikan.

Menurut Dr Tan, tanggapan salah paling utama yang perlu diperbetulkan oleh ibu bapa ialah anggapan bahawa strok hanya berlaku kepada orang dewasa.

“Jika anak anda tiba-tiba mengalami kelemahan pada sebelah badan, muka menjadi senget, kesukaran bercakap atau sawan tanpa sebab yang jelas, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Matlamat rawatan bukan sekadar untuk menangani strok akut, tetapi juga memastikan perkembangan dan kualiti hidup terus terpelihara ketika mereka membesar.”

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan otak dan sistem saraf dijemput untuk mengunjungi kempen Neurosains SMCV, Brain for Life: The Ultimate Mind & Motion Experience. Dengan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat usia, acara ini turut menjadi peluang untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama sambil mempelajari kepentingan kesihatan otak.

Daripada kesedaran mengenai strok hingga kesihatan ingatan dan otak, acara ini merangkumi aspek kesejahteraan neurologi pada setiap peringkat kehidupan.

Antara pengisian utama ialah SunMed Kids’ Club FAST Heroes Campaign oleh Angels Initiative (iaitu bengkel untuk kanak-kanak belajar mengenal pasti gejala strok), di samping stesen permainan interaktif, sesi perbincangan panel mengenai kehilangan memori dan penyakit Alzheimer peringkat awal, konsultasi percuma bersama pakar perunding Neurosains SMCV, penilaian kesihatan percuma serta promosi bagi pakej saringan kesihatan terpilih.

Pengunjung juga berpeluang mencuba Stroke Mirror yang pertama di Malaysia. Walaupun bukan alat diagnostik, cermin ini memaparkan simulasi gejala berkaitan strok untuk membantu keluarga mengenali dan memahami bersama salah satu tanda amaran strok yang paling mudah dikenal pasti. Dapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini di sini.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan umum, sila hubungi talian +603 9772 9191 atau e-mel ke smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity, sila layari laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).

Rujukan

  1. https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/penerbitan-klinikal/perkhidmatan-OG-dan-pediatrik/pediatrik/FA_-_Paediatric_Protocols_5th_Edition_MOH_PDF_1-compressed.pdf
  2. https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/penerbitan-klinikal/perkhidmatan-OG-dan-pediatrik/pediatrik/FA_-_Paediatric_Protocols_5th_Edition_MOH_PDF_1-compressed.pdf
  3. https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0387760425000208/

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.