Bukan saja musim cuti sekolah, waktu hujung minggu pun ramai Mama Papa ambil peluang bawa anak-anak bercuti, kan? Tapi, untuk pastikan percutian lebih seronok dan berjalan lancar, ada satu perkara penting yang Mama Papa perlu ambil tahu tentang stomach flu atau flu perut.
Walaupun nampak ringan, stomach flu boleh membahayakan kesihatan anak-anak kalau tak cepat rawat. Bayangkan tengah seronok di taman tema atau makan malam buffet, tiba-tiba anak mula rasa tak selesa di perut. Tapi jangan risau, dengan sedikit persediaan dan ilmu, Mama Papa boleh atasi keadaan ini dengan mudah.
Mama Siti nak kongsikan punca, cara untuk mencegah serta langkah awal sekiranya anak-anak ada simptom stomach flu supaya percutian Mama sekeluarga kekal ceria, sihat dan semua gembira.
Apa Itu Stomach Flu atau Gastroenteritis?
Flu perut atau nama saintifiknya gastroenteritis, adalah sejenis jangkitan mikroorganisme yang menyerang sistem penghadaman. Walaupun dinamakan sebagai flu, ia tidak sama seperti influenza kerana ia tidak menyerang sistem pernafasan, sebaliknya hanya melibatkan saluran pencernaan, terutamanya perut dan usus.
Gastroenteritis biasanya disebabkan oleh beberapa jenis mikroorganisme seperti:
- Virus: Norovirus, Rotavirus, Adenovirus
- Bakteria: Escherichia coli (E. coli), Salmonella, Shigella
- Parasit: Giardia lamblia, Cryptosporidium
Antara semua punca ini, virus adalah penyebab utama stomach flu, dan yang paling biasa adalah norovirus dan rotavirus. Kedua-dua virus ini sangat mudah berjangkit dan cepat merebak, terutamanya di tempat awam seperti taman tema, hotel dan kolam renang.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), norovirus menyebabkan kira-kira 685 juta kes jangkitan di seluruh dunia setiap tahun, dan 200 juta daripadanya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
Simptom flu juga sering kali disalah anggap sebagai keracunan makanan kerana gejalanya yang hampir sama seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Namun, yang membezakannya ialah flu perut ini ia boleh berjangkit dari seorang ke seorang, berbeza dengan keracunan makanan yang biasanya berpunca daripada makanan atau minuman yang tercemar sahaja.
Bagaimana Ia Boleh Menjangkiti Anak-Anak Semasa Bercuti?
Apabila kita bercuti, banyak aktiviti yang melibatkan makanan luar, kawasan tumpuan ramai, kolam renang atau tempat permainan. Semua ini meningkatkan risiko terdedah kepada virus stomach flu.
Antara cara jangkitan berlaku:
- Makanan dan air yang tercemar
– Kadang-kala makanan tidak dimasak sempurna atau air tidak dirawat dengan betul. - Sentuhan dengan permukaan yang tercemar
– Permukaan seperti tombol pintu hotel, meja makan restoran atau alat permainan boleh menjadi tempat virus melekat. - Kolam renang awam
– Menurut kajian dari Journal of Water and Health (2010), kolam renang yang tidak dirawat dengan betul berisiko menyebarkan rotavirus dan E. coli, yang menjadi punca utama cirit-birit pada kanak-kanak. - Tangan yang tidak dicuci dengan sempurna
– Kanak-kanak sering memasukkan tangan ke dalam mulut selepas menyentuh pelbagai benda.
Simptom-simptom Anak Dijangkiti Stomach Flu
Jangkitan stomach flu biasanya menunjukkan simptom dalam masa 12–48 jam selepas terdedah kepada virus. Mama Papa perlu peka sekiranya anak-anak mula menunjukkan simptom-simptom seperti:
- Cirit-birit (kadangkala berair)
- Muntah berulang kali
- Sakit atau kejang perut
- Demam ringan
- Letih dan tidak bermaya
- Hilang selera makan
Bahaya utama bagi kanak-kanak ialah dehidrasi. Sekiranya anak tidak mahu makan atau minum, buang air kecil dengan sangat sedikit, atau kelihatan sangat lesu, ia mungkin tanda dehidrasi serius yang perlu dirawat segera di klinik atau hospital.
Langkah Pencegahan yang Mama Papa Boleh Lakukan
Supaya percutian tidak terganggu, berikut adalah beberapa langkah pencegahan yang boleh diamalkan:
- Cuci tangan dengan sabun atau guna sanitizer – ajar anak-anak cuci tangan sebelum makan, selepas ke tandas dan selepas bermain.
- Pilih tempat makan yang bersih – sekiranya makan di luar, pilih restoran yang bersih dan dipercayai. Elakkan makanan mentah atau kurang masak.
- Elakkan minum air paip – bawa air mineral atau masak air terlebih dahulu jika menginap di tempat yang tidak pasti kebersihannya.
- Pantau anak di kolam renang – pastikan mereka tidak menelan air kolam dan mandikan mereka selepas berenang.
- Bawa bekalan ubat asas dan oral rehydration salt (ORS) – jika berlaku simptom ringan, berikan ORS untuk elak dehidrasi.
- Lengkapkan anak dengan vaksin rotavirus – vaksin ini sangat disarankan bagi bayi dan kanak-kanak. Menurut WHO, vaksin rotavirus boleh mengurangkan risiko jangkitan teruk hingga 85%.
Apa Perlu Mama Papa Buat Kalau Anak Dijangkiti?
Sekiranya anak Mama Papa mula menunjukkan simptom stomach flu, apa yang Mama Papa perlu lakukan ialah:
- Beri anak rehat secukupnya
- Berikan cecair dengan kerap seperti air kosong, air kelapa atau larutan rehidrasi
- Elakkan makanan berminyak atau tenusu buat sementara waktu
- Pantau kekerapan anak-anak muntah atau cirit-birit, jika terlalu kerap, bawa anak ke klinik dengan segera
Bercuti bersama keluarga adalah waktu yang berharga. Tapi jangan sampai keseronokan bertukar menjadi kecemasan hanya kerana terlepas pandang soal kesihatan anak-anak.
Dengan sedikit perancangan dan penjagaan, Mama Papa boleh elakkan risiko stomach flu dan pastikan anak-anak sihat sepanjang percutian.
Ingat, mencegah lebih baik daripada merawat, lebih-lebih lagi ketika Mama Papa jauh dari rumah dan klinik.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Selain lambat bercakap, apa lagi yang Mama Papa perlu tahu tentang autisme? Klik di SINI.