KelabMama

Soalan-Soalan Yang Wajib Ditanya Kepada Bakal Pengasuh

Soalan-Soalan Yang Wajib Ditanya Kepada Bakal Pengasuh

Misi mencari pengasuh bayi dan anak bukanlah sesuatu yang mudah. Mana taknya, kita bakal menyerahkan si anak kepada seseorang yang kita belum pernah kenal. Tentu bermacam perkara dan juga soalan yang bermain di fikiran kita.

Untuk memudahkan anda membuat pertimbangan dalam menentukan pengasuh bayi yang terbaik, di sini kami senaraikan 10 soalan wajib untuk anda tanyakan kepada mereka.

10 Soalan Yang Wajib Ditanya Kepada Bakal Pengasuh Bayi & Anak Kita

 Sebagai seorang bakal majikan yang akan bekerjasama dan menyerahkan tanggungjawab kepada mereka, soalan ini perlu diajukan untuk mengetahui beberapa perkara penting tentang mereka.

1.Dah Berapa Lama Berpengalaman Mengasuh Anak?

 Soalan ini perlu ditanya kerana tak semua orang pernah mengasuh anak orang lain walaupun mereka mempunyai anak sendiri.

 Jika mereka berpengalaman, mungkin mama boleh berkenalan dengan ibu bapa lain yang menghantar anak ke sana untuk mendapatkan respon mereka.

Kalau dia tak berpengalaman dalam mengasuh anak, mama kena mempertimbangkan beberapa faktor lain seperti umurnya atau sama ada mereka berkemahiran dalam menguruskan anak orang lain sepertimana dia menjaga anak sendiri.

Ibu bapa perlu meluangkan sedikit masa berbincang dengan bakal pengasuh mengenai pendekatan mereka terhadap sesetengah perkara supaya anda mempunyai persefahaman yang sama tentang isu-isu penting berkaitan penjagaan anak.

2. Adakah Kamu Sukakan Anak Kecil?

 Soalan ini sengaja ditanya untuk mendapatkan kepastian dan ‘memancing’ mereka untuk meyakinkan mama.

Tanyalah bakal pengasuh bayi itu apa yang mendorongnya melakukan tugas ini dan apa yang seronok mengenainya. Mama mungkin dapat melihat keseriusan dalam riak wajah mereka.

3. Berapa Ramai Anak Yang Berada Di Bawah Jagaan Kamu Sekarang?

Menurut kenyataan akhbar, pengasuh bayi yang mempunyai 4 orang anak jagaan ke atas perlu berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat berkuatkuasa sejak 2014. Ini bermaksud, jika terdapat lebih daripada 4 orang anak jagaan dan tak berdaftar, mama patut berasa risau untuk meninggalkan bayi mama kepadanya.

Sememangnya, banyak perhatian diperlukan untuk menjaga seorang bayi dan anak kecil. Jadi, jangan ambil ringan ya.

4. Boleh Perkenalkan Diri Kamu & Ahli Keluarga Kamu (Staf) Yang Lain?

Seelok-eloknya, dapatkan sedikit info tentang pengasuh tersebut. Jangan malu untuk minta diperkenalkan kepada setiap ahli keluarga pengasuh atau pembantu yang dimiliki. Kalau mereka ada anak sendiri, tanyakan berapa orang dan berapa umur mereka masing-masing.

Interaksi antara ahli keluarga lain juga penting kerana mereka bakal mempengaruhi lingkungan persekitaran anak anda.

5. Adakah Kamu Akan Sediakan Makanan Untuk Anak Saya?

Jika ya, tanyakan menu yang biasa dimasak oleh mereka. Jika anak mama berusia bawah 6 bulan– pastikan mereka tahu bahawa mama tak nak mereka bagi sebarang makanan sebelum usia yang sepatutnya, termasuklah bijirin (nestum).

Jangan lupa tanya kemahiran mereka dalam mengendalikan susu perahan kerana tak ramai yang boleh buat sedemikian.

Beritahu juga pendapat mama tentang pemberian susu formula atau sebarang makanan dan minuman lain seperti air kosong, ais, snek, sayuran, dan sebagainya.

6. Apakah Aktiviti Yang Selalu Dilakukan Oleh Anak-Anak Di Sini?

Penting untuk ibu bapa ketahui aktiviti yang dilakukan oleh si manja sepanjang dia berada di rumah pengasuh.

Melalui soalan ini, mama dapat agak aktiviti harian yang bakal dilakukan oleh anak mama. Ini juga dapat memperlihatkan sama ada mereka mempunyai jadual tertentu atau sekadar menonton TV.

Jika mempunyai sebarang ‘request’ seperti membaca 1 buku cerita sehari, pastikan anda bertanyakan kesanggupan mereka untuk melakukannya.

7. Apa Yang Akan Kamu Buat Kalau Saya Lewat Datang Ambil Anak?

 Walaupun mama tak bertujuan untuk melakukannya, ini adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan.

 Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai caj-caj tertentu untuk tempoh ‘overtime’ tersebut.

8. Ada Sesiapa Yang Merokok Di Dalam Rumah Ini?

 Jika mama amat sensitif terhadap perkara ni, jangan lupa bertanyakan kepada bakal pengasuh bayi mama.

Ia amat mustahak, lebih-lebih lagi jika anak mama masih terlalu kecil dan mengalami alahan, ekzema atau penyakit seperti lelah. Tapi seeloknya elakkan rumah pengasuh yang mempunyai staf yang merokok!

9. Ada Apa-Apa Soalan Untuk Saya?

 Kini giliran mereka pula untuk bertanyakan sebarang soalan kepada mama.

Selain mengetahui umur anak mama, mungkin ada beberapa perkara lain yang mereka ingin tahu tentang keperluannya. Jangan terkejut jika mereka juga ada menyediakan senarai soalan yang panjang untuk ditujukan khas kepada mama.

10. Betul Ke Kamu Berminat Nak Jaga Anak Saya?

Pastikan ibu bapa melakukan pemeriksaan teliti dan menemuduga bakal pengasuh beberapa kali sebelum membuat keputusan.

 Setelah menjawab banyak soalan, dan mama pun dah memperkenalkan anak mama – sudah tentu inilah soalan terakhir yang akan mama ajukan untuk mendapat kata putus daripada mereka.

Jika mereka berminat, beritahu mereka bila boleh bermula dan apakah langkah seterusnya. Mama juga boleh sediakan kontrak ringkas sebagai persetujuan kepada semua yang dibincangkan.

Mama Juga Perlu Jelaskan Skop Kerja Dengan Terperinci

Soalan-soalan ini bukanlah penentu sikap mereka 100%. Malah, tak ada pun jawapan yang betul atau salah. Namun, perbualan ini dapat memberi sedikit petanda dalam membina keserasian.

Di samping itu, anda perlu memberi maklumat yang jelas kepada mereka tentang perkara berkaitan tanggungjawab, gaji, jam kerja, ‘overtime’, cuti, peraturan disiplin, perubatan, dan sebagainya.

Semua ini penting untuk mengelakkan sebarang salah faham pada masa akan datang!

Sumber: Anak Pintar Centre

BACA JUGA PERANAN & TANGGUNGJAWAB SEBAGAI SEORANG PENGASUH

Pesan Mama Siti:

Pengasuh yang ideal sepatutnya tahu apa yang mama harapkan, dan sebaliknya. Kalau mama mahukan anak mama dalam sentiasa jagaan yang baik, siap sedia untuk wawancara pengasuh tersebut. InshaAllah cara ini dapat membantu mama untuk cari pengasuh yang sesuai untuk jaga anak mama.