KelabMama

Ubat Cecair | Boleh Ke Simpan Ubat Cecair Dalam Peti Sejuk?

ubat cecair untuk kanak-kanak

Kebanyakan ubat bagi kanak-kanak adalah dalam bentuk cecair. Penyimpanan ubat cecair tersebut dengan cara betul adalah suatu perkara penting yang selalu dipandang remeh. Berikut adalah cara-cara penyimpanan ubat cecair minum yang sesuai:

 Label

Baca label pada botol ubat dan ikut arahan penyimpanan yang disyorkan. Sesetengah ubat memerlukan cara penyimpanan yang khas dan ini selalunya tertulis pada label ubat.

 Persekitaran

Simpan di tempat kering dan dilindungi daripada cahaya matahari. Secara umumnya, semua ubat perlu disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu yang ekstrem dan kadar kelembapan yang tinggi. Kedua-dua faktor ini akan menyebabkan ubat hilang keberkesanannya serta boleh dicemari oleh mikroorganisma. Penyimpanan ubat di dalam kereta (sangat panas) atau dalam almari di tandas (sangat lembap) seperti yang selalu dipaparkan dalam televisyen adalah tidak digalakkan sama sekali.

JENIS UBAT CECAIR

 Ubat Cecair Dengan Pengawet

Ubat cecair yang mengandungi pengawet boleh disimpan pada suhu bilik kecuali dinasihatkan lain pada labelnya. Ubatan cecair yang telah dibuka tidak seharusnya disimpan melebihi 3 bulan ataupun melampaui tarikh luputnya (bergantung tarikh yang mana sampai dulu). Ubatan yang belum dibuka boleh disimpan sehingga tarikh luput sekiranya disimpan tempat yang betul.

 Ubat Cecair Tanpa Pengawet/Serbuk

Bagi ubat cecair yang tidak mengandungi pengawet, adalah dinasihatkan untuk membaca nasihat pada label untuk tempoh penyimpanan. Jika tiada maklumat tempoh penyimpanan, jangan simpan lebih daripada 2 minggu. Ubat jenis ini seharusnya disimpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan keberkesanannya. Contoh ubat yang tidak mengandungi pengawet adalah ubat serbuk yang perlu rekonstitut sendiri (ditambah air sebelum guna) terutamanya antibiotik. Ubatan serbuk yang belum direkonstitut boleh disimpan pada suhu bilik dan masuk dalam peti sejuk selepas dibuka.

 Warna Dan Bau Ubat

Perhatikan warna ubat sebelum guna. Jika ada perubahan pada warna atau bau, jangan guna walaupun ubat tersebut belum sampai tarikh luputnya.

 Botol Ubat Dari Klinik

Botol ubatan cecair yang didapati daripada klinik selalunya tidak mempunyai arahan penstoran dan mengandungi ubatan cecair berpengawet. Oleh itu, ubat-ubat ini yang tidak mempunyai tarikh luput tidak seharusnya disimpan melebihi 3 bulan dari tarikh mendapat ubat tersebut.

 Bekas Asal

Bekas penyimpanan ubat yang paling sesuai adalah bekas asalnya. Penukaran atau pemindahan ubat ke dalam bekas lain terutamanya bekas-bekas makanan atau bekas ubat lain adalah tidak digalakkan. Orang lain terutamanya kanak-kanak boleh tersilap dan sangka ubat tersebut adalah makanan lain. Ini menjadi lebih bahaya sekiranya anak-anak kecil tersilap minum. Sesetengah ubat juga memerlukan bekas penyimpanan khas untuk memastikan keberkesanannya terutamanya sesetengah antibiotik yang sensitif cahaya.

 Lokasi

Lokasi tempat penyimpanan ubat seharusnya dijauhkan dari kanak-kanak. Tempat simpan ubat sebaiknya di paras yang tinggi dan tidak boleh dicapai serta jauh dari penglihatan anak-anak kecil. Kesimpulannya, penyimpanan untuk semua jenis ubat seharusnya berdasarkan cadangan yang terdapat pada label ubat. Jangan sayang untuk membuang ubatan luput semata-mata kerana masih banyak tertinggal. Jauhi daripada capaian kanak-kanak demi keselamatan mereka. Jika ada keraguan, dapatkan kepastian dan nasihat daripada ahli farmasi berdekatan dengan anda.

JANGAN SIMPAN UBAT DI DALAM PETI SEJUK

Cuba periksa peti sejuk ada tak kita simpan ubat jenis cecair seperti ubat demam, ubat selsema ataupun ubat batuk dalam peti sejuk? Mesti ada kan? Terutamanya bagi yang berkeluarga atau mempunyai anak kecil pasti ada simpan sekurang-kurangnya satu botol ubat demam atau baki ubat demam yang pernah digunakan sebelum ni. Biasanya, selepas kita ambil ubat demam (cecair) daripada klinik ataupun farmasi. Bila balik rumah, kita terus simpan ubat demam ni dalam peti sejuk dengan anggapan pasti ia tahan lebih lama atau takut dihurung semut. Kemudian, selepas demam anak kita sembuh. Ubat demam tersebut masih belum habis lagi, masih ada sedikit baki. Kita pun simpan semula baki ubat demam ni di dalam peti sejuk, mana tahu nanti boleh pakai lagi jika anak demam. Betul bukan?

Sebenarnya ubat-ubat demam dalam bentuk cecair telah dibotolkan atau dipack sesuai untuk sekali penggunaan untuk seorang pesakit. Sebotol ubat demam biasanya mengandungi 60ml hingga 100ml ubat sahaja. Contohnya ubat demam yang mengandungi 60ml, jika diambil 5ml untuk 4 kali sehari. Ubat ini sepatutnya habis dalam masa 3 hari, dan biasanya demam juga akan sembuh dalam masa 3 hari. Jadi ubat demam ini tidak perlu disimpan. Jika masih ada ubat demam berbaki selepas digunakan, ubat ini masih boleh disimpan selepas dibuka untuk tempoh 1 hingga 2 bulan sahaja mengikut jenis ubat.

Ubat yang dibotolkan di kilang ubat biasanya diisi dengan udara yang bersih (clean air) ataupun Nitrogen. Apabila ubat dibuka, nitrogen ataupun udara bersih akan terkeluar dan udara biasa akan masuk. Udara biasa ini mengandungi wap air, fungi dan juga bakteria. Cecair ubat dicampurkan dengan bahan pengawet ataupun preservatives seperti methyl paraben dan propylparaben untuk mencegah pembiakan bakteria di dalamnya. Tetapi apabila kita simpan ubat yang telah dibuka di dalam peti sejuk. Suhu peti sejuk boleh menyebabkan wap air terbentuk di dalam botol ubat melalui proses kondensasi. Wap air yang terbentuk ini tidak mengandungi bahan pengawet dan bakteria atau fungi boleh membiak di dalamnya. Wap air yang banyak kemudian turun dan bercampur dengan cecair ubat di dalam botol. Kita sangka ubat demam yang disimpan dalam peti sejuk akan tahan lebih lama sebaliknya kita mempercepatkan pertumbuhan bakteria dan merosakkannya.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa ubat yang memang perlu disimpan di dalam peti sejuk seperti ubat antibiotik. Apa pun anda boleh bertanya status mengenai cara menyimpan ubat anda kepada Pegawai Farmasi setiap kali mengambil ubat di kauntar farmasi hospital atau klinik.

Sumber: Internet