KelabMama

7 Jenis Siling Rumah Yang Moden, Tetapi Evergreen. Pasti Tetamu Terpukau Bila Melangkah Masuk!

Setiap kali kamu menciptakan keindahan di sekitarmu, kamu memulihkan jiwamu sendiri – Alice Walker. 

Wah awal-awal lagi Mama Siti dah buat ayat puitis ni, berbunga-bunga rasanya. 

Kata-kata diatas diambil dari Alice Walker iaitu seorang penulis, penyair dan aktivis yang memperjuangkan hak-hak wanita. Hari ini kita akan bercerita tentang keindahan tapi bukan tentang wanita ya. 

Baiklah, topik kita kali ini tentang siling rumah. Cukupkah sekadar pasang atau ada perkara lain yang perlu diambil kira? Bagaimana pemilihan rekaan dan bahan mempengaruhi nuansa kediaman Mama?

Fungsi Siling Rumah Yang Sebenarnya

Sebenarnya, pemasangan siling bukan sekadar untuk mencantikkan dekorasi dalaman rumah. Tetapi ia mempunyai peranan yang lebih penting untuk penghuni di dalam rumah tersebut.

  1. Menutup pendawaian yang berselirat
  2. Membantu pencahayaan yang lebih baik
  3. Memudahkan proses penukaran mentol
  4. Mencipta ruangan yang lebih senyap
  5. Sistem pengudaraan yang lebih efisien 
  6. Menurunkan suhu panas dan haba ketika cuaca panas

Di Malaysia, ada beberapa pilihan rekaan siling rumah yang selalu digunakan. Pemilihan siling rumah pula bergantung kepada pemilik kediaman. 

Ada yang membuat pemilihan berdasarkan konsep rumah yang diketengahkan. Ada pula yang memilih berdasarkan bajet kewangan masing-masing.

Pastinya pada artikel kali ini, Mama Siti siap senaraikan keistimewaan, kekurangan serta julat harganya di pasaran.

Jenis-jenis Siling Rumah di Malaysia

Mari kita lihat satu persatu jenis-jenis siling rumah di Malaysia.

1. Siling Gypsum (siling plaster)

Kredit gambar: Pinterest

Siling Gypsum biasanya dipilih untuk menghiasi siling di ruang tamu. Ini kerana rekaannya yang eksklusif dan mampu diolah mengikut warna di dinding rumah anda.  

Rekaan seperti ini juga antara yang paling popular di Malaysia. Yang pertama kerana ia memiliki motif yang pelbagai sekaligus mampu memberi nilai tambah kepada dekorasi rumah idaman anda.

Kedua, kerja-kerja pemasangannya yang mudah dan dapat mempercepatkan proses kerja. Dua kelebihan ini menjadikan siling gypsum sering digunakan.

Namun begitu masih terdapat kelemahan dari segi bahannya. Siling gypsum mudah rapuh apabila terkena air. Jadi, perkara pertama yang anda perlu pastikan sebelum memasang siling ini ialah memastikan bumbung dalam keadaan yang baik.

Apabila telah siap dipasang, Mama Siti galakkan anda untuk melakukan penyelenggaraan (maintenance) secara berkala. Bukan apa, risau kalua-kalau ada kebocoran yang berlaku.

2. Siling PVC

Kredit gambar: Pinterest

Beralih kepada siling PVC atau Polivynilchloride. Secara saintifiknya, ianya tergolong dalam sebatian plastik. 

Siling PVC mempunyai banyak kelebihan berbanding jenis siling yang lain. Dikeranakan bahannya diperbuat dari plastik. Oleh itu, ia tidak mudah rosak apabila terkena air.

Berbanding dengan siling asbestos dan gypsum, PVC yang terkena air tidak akan mengakibatkan corak takungan air. Selain itu, siling PVC juga lebih tahan lama dan senang dibersihkan.

Bercakap tentang harga, siling PVC mempunyai harga yang lebih mahal. 

Bagi Mama yang berkenan dengan siling PVC, Mama Siti sokong tindakan bijak Mama. Kenapa?

Siling PVC tidak memerlukan kemasan tambahan kerana ia tersedia dalam pelbagai warna. Sudahlah ringan, ada pelbagai warna lagi tu. 

3. Siling Plywood

Siling jenis plywood sudah tidak asing lagi di Malaysia. Mempunyai ciri-ciri seperti ketebalan 3 mm hingga 5mm, berwarna coklat seperti kayu dan tekstur semula jadinya. 

Kita mulakan dengan harga, siling plywood sering kali dipilih oleh kerana harganya yang lebih murah. Bermula dari RM 11 untuk saiz 3ft x 1 ft. Sangat mampu milik. 

Seperti biasa, siling plywood juga mempunyai kelemahannya tersendiri. Oleh kerana siling plywood berasaskan kayu, ia mudah rapuh apabila terkena air. Tambahan pula, ia juga selalu menjadi kegemaran anai-anai sekaligus merosakkan siling rumah kita. 

4. Gabungan Gypsum dan Plywood

Jenis siling yang keempat ini mempunyai ketahanan air yang lebih kuat berbanding jenis siling yang lain. Namun begitu, ianya perlu dikendalikan dengan cermat. 

Hal ini demikian kerana, strukturnya agak rapuh jika terhentak dengan barang lain. Selain itu, ianya memerlukan individu mahir untuk memasang siling ini. 

Jadi, bagi Mama yang ingin cuba untuk buat sendiri (DIY), Mama Siti nasihatkan untuk lakukan bersama-sama dengan seseorang yang mahir memasang siling jenis ini.

Dari segi harga pula, ianya bergantung pada rekaan itu sendiri. Semakin rumit, semakin mahal harganya. Faktor harga bahan juga diambil kira dalam menentukan harga untuk sekaki siling.  

5. Siling Fiber

Kredit gambar: Top Plaster Ceiling

Siling fiber diperbuat daripada serat plastik. Jarak yang diperlukan antara siling plaster dan struktur diatasnya bergantung kepada jenis lampu, pendingin hawa dan tangki pemanas air di bilik air. 

Bagi rumah yang memasang kipas siling, ketinggian yang dicadangkan ialah 9.5 kaki. Ini kerana ia mengambil kira berat kipas tersebut. Siling papan plaster tidak mampu menampung beban berat kipas angin dan yang seangkatan dengannya. 

 Kelebihan Siling Rumah Jenis Plaster

  1. Merendahkan ketinggian untuk memudahkan penukaran mentol lampu
  2. Rintangan api yang tinggi dan kalis api
  3. Pengaliran udara lebih baik sekaligus mampu menyejukkan ruangan

6. Siling Lambersering (Kayu)

Kredit gambar: Courtina

Dengan teknologi hari ini, jenis siling juga telah dipelbagaikan dengan menggunakan pelbagai jenis bahan. Paling penting faktor keselamatan dan jangkaun harganya juga masih mampu milik oleh rata-rata penduduk di Malaysia.

 Tanpa membuang masa mari kita lihat apa keistimewaan siling lambersering ini. 

  1. Penebat bunyi yang efisien
  2. Bahan semulajadi
  3. Menyejukkan ruangan 
  4. Pemasangan mudah, tanpa bantuan pakar

Baik, ayuh kita beralih pada kelemahannya pula.

  1. Kebarangkalian kayu rosak disebabkan serangga atau kulat
  2. Teknik penjagaan yang rumit
  3. Memberi kesan bilik menjadi rendah

Namun begitu, Mama Siti tak nafikan siling kayu ini sememangnya memberikan aura semula jadi atau nature. Oleh itu, Mama Siti sangat galakkan untuk para pencinta alam semula jadi untuk memilih tema berunsurkan kayu di kediaman mereka.

7. Siling Asbestos

Kredit gambar: Siling Ideas

Walaupun penggunaannya telah pun diharamkan di Malaysia, tetapi ia juga termasuk dalam siling yang menjadi pilihan warga Malaysia sebelum ini. 

Selain digunakan sebagai siling rumah. Asbestos juga kadang kala digunakan sebagai bumbung. Pilihan bumbung asbestos sangat sesuai untuk mereka yang sukakan rekaan bumbung yang ringkas. 

Manakala bagi siling pula, ianya selalu dipasang di bilik tidur dan dapur. Namun begitu, kalau Mama suka sesuatu yang simple, Mama boleh memilih siling jenis asbestos ini. 

Hal baik tentang siling asbestos ialah, ianya mampu menyejukkan ruangan rumah Mama. Kelebihannya yang lain pula ialah strukturnya yang mudah dipasang.  

Penting untuk Mama tahu satu hal. Bahan asbestos ada risiko bahaya apabila serpihannya terjatuh dan terhidu.

Oleh itu jika ada mana-mana bahagia siling asbestos yang jatuh, pakai pelitup muka kerana zarah-zarah halusnya mengakibatkan penyakit paru-paru.

Bak kata Alice Walker diatas tadi, bila kita menciptakan keindahan di sekeliling maka jiwa kita pun turut pulih. Begitu jugalah dengan hiasan dalaman. Ianya bukan kerana mahal atau murah tetapi bagaimana kita mengolahnya. 

Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada minat dan bajet Mama sendiri. Rumah kita, pilihan kita. Cuma Mama Siti nak pesan agar faktor keselamatan dititikberatkan sejak dari awal lagi ya. Kita bukan nak rumah yang cantik tetapi juga selamat. Jom baca jenis design tembok pagar rumah pula!


Dapatkan rumah idaman Mama dengan pelbagai tips dan inspirasi dekorasi DI SINI.