KelabMama

SI KECIL LAMBAT BERCAKAP?

Kebiasaannya kanak-kanak sudah mula berusaha untuk bercakap perkataan-perkataan asas seperti ‘ayah’ ‘mama’ dan sebagainya, apabila mencapai usia setahun. Jika si kecil ini masih tidak bercakap walaupun telah masuk usia dua tahun, maka boleh diandaikan dia mempunyai masalah pertuturan. Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca masalah seperti genetik (keturunan), kurang daya tumpuan, autisme, pendengaran dan lambat perkembangan secara keseluruhan. Masalah pertuturan yang tidak dibantu boleh berterusan sehingga mencecah usia persekolahan dan dewasa. Secara umum, jika kanak-kanak masih tidak bercakap pada usia dua tahun, maka mereka perlu segera dirujuk ke terapi pertuturan. Kanak-kanak yang sudah berusia empat tahun dan masih pelat juga perlu berjumpa dengan terapi pertuturan. Begitu juga bagi yang tergagap-gagap hingga begitu jelas gagapnya, perlu dibawa mendapatkan rawatan segera.

 

PERCAKAPAN NORMAL IKUT UMUR

Biasanya kanak-kanak normal boleh dikategorikan pertuturannya berdasarkan umur.

Ibu bapa disarankan supaya meluangkan masa untuk bermain dan bercakap dengan anak-anak mereka selalu. Walau sesibuk mana, ibu bapa mesti mencari masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Sentiasa amalkan, lihat, tunggu dan dengar. Lihat apa yang mereka sedang buat, tunggu apa yang mereka nak buat dan dengar apa yang mereka nak kata. Jika ibu bapa sentiasa nak cepat, maka ibu bapa tidak akan sempat untuk benar-benar lihat, tunggu dan dengar.

 

AKTIVITI MERANGSANG PERTUTURAN

 

DAPATKAN RAWATAN SEGERA

Kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan akan menghadapi kesukaran untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka. Semakin meningkat umur, mereka mula sedar masalah yang dihadapi dan berasa malu serta rendah diri. Ada antara mereka juga mengalami masalah pembelajaran kerana kurang daya tumpuan, menyebabkan akhirnya masuk ke sekolah pendidikan khas. Ibu bapa mestilah segera bertindak sebaik saja mengesyaki anak mengalami masalah pertuturan. Masalah pertuturan mungkin hanya petanda kepada masalah lain yang lebih serius seperti pendengaran, autisme atau masalah tumpuan. Bawa anak berjumpa pakar terapi pertuturan. Kebanyakan hospital Kementerian Kesihatan ada perkhidmatan terapi pertuturan. Dapatkan surat rujukan dari mana-mana klinik kesihatan dan bawa surat rujukan tersebut ke hospital pakar..

 

PERTUTURAN DIPENGARUHI PERSEKITARAN

Begitupun ada juga keadaan di mana bayi yang normal akan lambat bercakap sehingga usia mereka mencecah dua hingga lima tahun. Jika dilihat daripada situasi tersebut, menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malinee Thambyayah, cepat atau lambat seseorang kanak-kanak itu bercakap banyak dipengaruhi persekitaran termasuk peranan ibu bapa. Secara umum, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka.

Sekiranya bayi lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka ada sesuatu yang tidak kena. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertuturan bahasa.  Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap.

 

GAJET BANYAK KEBURUKAN

Selain itu, perkara lain yang menyebabkan anak-anak lambat bercakap ialah tiada komunikasi antara ibu bapa dengan anak masing-masing dan juga hubungan mata yang lemah. Hal ini terjadi kerana ibu bapa lebih gemar mendedahkan anak-anak mereka dengan gajet-gajet terkini yang tidak mempunyai komunikasi dua hala. Apabila ini terjadi, kanak-kanak tersebut tidak didedahkan dengan perkataan-perkataan ataupun komunikasi seharian yang sepatutnya mereka dengar.