KelabMama

Setiap Saat Berharga – Daripada Kecemasan kepada Pemulihan

cpr

Menunggang motosikal atau memandu ke tempat kerja sudah menjadi rutin harian bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Namun, kemalangan boleh berlaku sekelip mata, akibat brek mengejut, jalan licin, atau kecuaian pemandu.

Antara 14 Mac 2024 hingga 18 Mac 2025, satu nyawa terkorban hampir setiap 1 jam 56 minit dan satu kemalangan berlaku setiap 50 saat1.

Selain kemalangan jalan raya, kecederaan akibat jatuh, kemalangan di tempat kerja dan bersukan juga boleh menyebabkan trauma muskuloskeletal yang memerlukan rawatan segera, walaupun kelihatan ringan.

Dr Mohamad Hafiz Mohmad Hassim, Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Lanjutan Muskuloskeletal dan Dr Mohd Khalis Abdul Rahim Pakar Perubatan Kecemasan, dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berganding bahu merawat pesakit trauma muskulosketal.

Dr Mohd Khalis Abdul Rahim, Pakar Perubatan Kecemasan,
di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC)

Setiap Saat Penting Untuk Trauma

“Dalam kes trauma, kami menilai pesakit mengikut pendekatan ABCDE, Airway (Saluran Pernafasan), Breathing (Pernafasan), Circulation (Peredaran Darah), Disability (Fungsi Saraf), Exposure (Pendedahan), bagi memastikan keutamaan rawatan tertumpu pada kecederaan yang mengancam nyawa terlebih dahulu,” jelas Dr Khalis.

Beliau turut menjelaskan bahawa rawatan trauma memerlukan kerjasama pelbagai kepakaran, dari kecemasan, pembedahan am, pembedahan otak dan saraf, ortopedik, radiologi, anestesia sehingga rawatan rapi.

“Keutamaan kami adalah kecederaan yang mengancam nyawa dahulu sebelum anggota lain badan. Jika terdapat saluran pernafasan tersumbat, pendarahan atau kecederaan dalaman, tindakan segera akan diambil kadang kala mendahului prosedur pengimejan,” jelasnya.

Setelah pesakit stabil, Dr Hafiz akan menilai keadaan pesakit untuk menentukan rawatan seterusnya. “Masa sangat kritikal bagi kes trauma. Penilaian, imbasan, dan keputusan rawatan perlu dibuat dengan segera. Komunikasi yang baik antara pasukan perubatan sangat penting dan semua perlu bergerak selaras,” jelasnya.

Kes trauma biasanya melibatkan patah tulang hingga kecederaan sendi kompleks, terutamanya bagi penunggang motosikal.

Dr Mohamad Hafiz Mohmad Hassim,
Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Lanjutan Muskuloskeletal
di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC)

“Sesetengah kecederaan, seperti patah terbuka atau sindrom kompartmen, memerlukan pembedahan segera. Tetapi bagi kanak-kanak atau warga emas yang berisiko tinggi, rawatan konservatif juga boleh dipertimbangkan. Pakar bedah yang bagus akan menilai sekiranya pembedahan benar-benar diperlukan ataupun boleh dielakkan,” jelas Dr Hafiz.

“Ramai pesakit memandang remeh kecederaan mereka. Luarannya mungkin nampak biasa, tetapi dalaman belum tentu. Pemeriksaan yang ringkas boleh menyelamatkan nyawa anda,” tambah Dr Khalis.

Pengimejan Moden Mengubah Rawatan Trauma

Dahulu, pasukan trauma bergantung kepada pemeriksaan fizikal dan sinar-X asas. Kini, teknologi pengimejan telah mempercepatkan diagnosis.

Imbasan boleh dilakukan dalam beberapa minit, memberikan para doktor gambaran menyeluruh sebelum membuat keputusan kritikal.

Kebanyakan kes trauma bermula dengan pemeriksaan sinar-X, diikuti imbasan CT untuk menilai tahap keretakan, dan MRI bagi kecederaan tisu lembut.

“Dengan pengimejan 3D, kami boleh merancang pembedahan dengan lebih tepat, memilih implan yang sesuai, dan mengurangkan komplikasi, dan ia pantas,” jelas Dr Hafiz.

Dr Khalis menambah, pengimejan bukan sekadar untuk diagnosis. “Pakar radiologi intervensi boleh menghentikan pendarahan dalaman tanpa pembedahan terbuka, memberi pesakit peluang lebih baik untuk diselamatkan sebelum rawatan definitif dilakukan,” katanya.

Pemulihan Selepas Trauma

Pemulihan selepas trauma ortopedik tidak berakhir selepas pembedahan. “Separuh daripada kejayaan pemulihan bergantung kepada fisioterapi dan rehabilitasi,” kata Dr Hafiz. “Tanpa rawatan susulan ini, sendi boleh menjadi kaku, otot mengecil, dan kehilangan fungsi bahagian yang tercedera.”

Tambahannya, pergerakan awal juga penting. “Fisioterapi boleh dimulakan seawal satu atau dua hari selepas pembedahan untuk mengelak kekakuan, menambah kekuatan otot, membolehkan pesakit kembali kepada rutin harian dengan lebih cepat.”

Tindakan Ketika Kemalangan

Jika berada di lokasi kemalangan, utamakan keselamatan diri terlebih dahulu. Dr Hafiz dan Dr Khalis menasihati orang ramai untuk menjauhi laluan utama kenderaan dan menilai keadaan sebelum membantu mangsa.

Hubungi segera talian kecemasan 999. Jika terdapat pendarahan yang banyak, tekan dengan kain bersih atau pembalut.

“Bagi mereka yang terlatih dalam CPR, kaedah tersebut boleh digunakan jika mangsa tidak sedarkan diri atau tidak bernafas. Sekiranya tidak, keutamaan ialah untuk memastikan mangsa tidak banyak bergerak, tenang, dan bernafas. Ini sahaja sudah banyak membantu,” jelas Dr Khalis.

Pencegahan Adalah Rawatan Terbaik

Kedua-dua doktor berkongsi pandangan yang sama, bahawa pencegahan adalah langkah terbaik.

“Pemakaian topi keledar yang betul atau tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kecederaan serius. Namun, masih ramai mengabaikan langkah mudah ini,” kata Dr Khalis. “Pemeriksaan kenderaan juga penting. Brek atau tayar rosak boleh mengubah perjalanan menjadi tragedi”.

Beliau turut menasihati penunggang basikal dan motosikal untuk lebih berhati-hati. “Elakkan memecut dan memotong kenderaan. Kelajuan tinggi meningkatkan risiko kecederaan trauma yang serius,” tambah beliau.

Walaupun kemalangan tidak dapat diramalkan, kerjasama berpasukan, tindak balas kecemasan yang pantas, dan fokus pada peningkatan kualiti membolehkan hospital meningkatkan keselamatan serta kepuasan pesakit, lantas mengubah detik krisis kepada pemulihan.

Rujukan

  1. https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/1-person-dies-every-2-hours-in-a-road-accident-in-malaysia-official-statistics-show 

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Ketahui lebih banyak acara dan berita trending sekarang untuk Mama Papa ketahui DI SINI!