KelabMama

Sepsis dalam Kalangan Kanak-Kanak: Setiap Detik Sangat Bermakna

sepsis dalam kalangan kanak-kanak

Suatu pagi, anak kecil anda bangun tanpa keceriaan — tiada celoteh, tiada larian ke kotak mainan, tiada senyuman. Anda menyangka ia hanya selesema biasa. Namun menjelang malam, keresahan itu masih terasa. Rasa gelisah itu, firasat hati itu, mungkin lebih daripada sekadar naluri keibubapaan—ia mungkin petanda awal yang boleh menyelamatkan nyawa anak anda.

Sepsis, satu penyakit yang sering tidak diberi perhatian sewajarnya, berupaya menyerang secara senyap tanpa disedari. Ia biasanya bermula dengan simptom ringan seperti demam, sakit perut atau batuk, namun boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan keradangan seluruh badan serta kegagalan organ dalam masa beberapa jam sahaja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 49 juta kes sepsis setiap tahun di seluruh dunia, dengan 11 juta kematian—hampir separuh daripadanya melibatkan kanak-kanak, iaitu kira-kira 2.9 juta1. Apa yang lebih menyayat hati ialah kebanyakan kes ini boleh dicegah melalui pengesanan awal dan rawatan segera.

Dr Olive Lee Pei Ee,
Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Rawatan Rapi Kanak-Kanak
di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC)

Dr Olive Lee Pei Ee, Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Rawatan Rapi Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), berkata kajian yang diterbitkan bersama rakan penyelidik dari Thailand dan Singapura pada 2021 berdasarkan data Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) mendapati kadar sepsis di rantau ini dianggarkan sekitar 20%, namun berkemungkinan lebih tinggi sehingga mencecah 50%.

Kajian itu turut merekodkan kadar kematian 19.2% dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sepsis tahap kritikal atau kejutan septik2.

Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia (MNNR) mencatatkan hampir 1,000 kes sepsis awal dalam kalangan bayi baharu lahir antara 2015 hingga 2020, kebanyakannya berpunca daripada jangkitan bakteria Kumpulan B Streptococcus3.

Bermula Dengan Simptom Ringan

Bahaya sepsis bukan sekadar pada kadar perkembangannya yang mendadak, tetapi kerana ia sering menyerang secara senyap tanpa disedari.

Dr Lee menjelaskan, “Sepsis bukan sekadar jangkitan biasa, sebaliknya jangkitan itu mencetuskan tindak balas imun yang tidak normal yang boleh merebak seperti api marak dalam tubuh. Di Malaysia, jangkitan paru-paru masih sering berlaku, terutama ketika musim selesema. Apa yang pada awalnya hanya batuk ringan boleh berubah menjadi keadaan yang mengancam nyawa,” katanya.

Cabaran terbesar bagi ibu bapa dan doktor adalah mengenal pasti sepsis pada peringkat awal kerana gejalanya sukar dikesan. Kanak-kanak tidak menunjukkan tanda jelas bahawa mereka sedang sakit. “Kanak-kanak tidak boleh bercakap. Mereka tidak mampu berkata, ‘Saya sakit, saya tidak sihat, saya perlukan bantuan.’ Jadi, sepsis sering berkembang secara senyap-senyap. Kadangkala, ia hanya dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku yang ketara,” kata Dr Lee.

Seorang kanak-kanak mungkin kelihatan lebih letih daripada biasa, menyendiri, atau tidak seperti diri mereka seperti kebiasaan—petunjuk halus yang mudah terlepas pandang.

Gejala Yang Perlu Diberi Perhatian

Dr Olive Lee menegaskan bahawa meskipun simptom mungkin kelihatan ringan, ia tidak wajar diabaikan. “Sekiranya kanak-kanak menjadi terlalu mengantuk, sukar dikejutkan, muntah setiap kali makan, atau tiba-tiba kelihatan kurang responsif dan tidak bermaya, itu boleh menjadi petanda awal,” jelas beliau.

“Sesak nafas, perubahan suhu badan yang ketara serta keadaan tubuh yang lembik merupakan petanda bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku. Sekiranya suhu badan

kanak-kanak terlalu panas atau terlalu sejuk, saya nasihatkan supaya mereka dibawa terus ke hospital. Sebagai panduan, sekiranya keadaan kanak-kanak tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas tiga hari mengambil ubat atau simptom masih berlarutan, segera dapatkan rawatan lanjut,” jelas Dr Lee.

Pengamal perubatan am telah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal sepsis dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Namun, kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa kesan yang serius. “Setiap saat amat bermakna dalam rawatan sepsis — apabila ia mula merebak, gejalanya boleh menjadi serius dengan cepat,” tegas Dr Lee.

Apa yang Anda Boleh Lakukan

Langkah paling berkesan untuk melawan sepsis ialah pencegahan. Ia bermula di rumah dengan menjaga kebersihan harian seperti kerap mencuci tangan, pengendalian makanan yang selamat dan memastikan persekitaran sentiasa bersih.

Vaksinasi turut memainkan peranan penting. Dr Lee menjelaskan, “Vaksinasi mewujudkan imuniti kelompok. Ahli keluarga yang telah divaksin dapat membentuk benteng perlindungan untuk kanak-kanak tersebut. Ini bermaksud, walaupun kanak-kanak terlalu muda atau terlalu lemah untuk menerima vaksin tertentu, mereka tetap dilindungi oleh individu di sekeliling mereka.”

Dr Lee turut menasihatkan agar ibu bapa berwaspada terhadap penggunaan antibiotik secara berlebihan. “Jika kita mula menggunakan antibiotik untuk semua orang, ia akan mengakibatkan rintangan antibiotik. Sepsis yang berpunca daripada jangkitan di hospital lazimnya sukar untuk dirawat.”

Penggunaan antibiotik secara berhemah, digabungkan dengan vaksinasi dan amalan kebersihan, dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan yang berpotensi membawa kepada sepsis.

Pemulihan Akan Mengambil Masa

Walaupun kanak-kanak berjaya melepasi fasa kritikal sepsis, perjalanan pemulihan mereka belum tentu berakhir. Proses ini boleh mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan berisiko menimbulkan komplikasi. “Mereka boleh mengalami apa yang dikenali sebagai sindrom pasca-sepsis, yang boleh menjejaskan keupayaan fizikal, kognitif dan juga aspek psikososial,” jelas Dr Lee.

Kanak-kanak mungkin akan mengalami kelemahan otot, trauma emosi atau psikologi, serta gangguan perkembangan. Sebahagian daripada mereka memerlukan pemantauan kesihatan berterusan, termasuk untuk pemeriksaan fungsi buah pinggang atau organ lain.

Antara golongan berisiko tinggi termasuk bayi baru lahir, kanak-kanak dengan penyakit kronik dan mereka yang mengalami obesiti. “Lebih muda usia mereka, lebih tinggi risikonya,” tambah beliau.

Paling penting, Dr Lee menekankan kepercayaan terhadap naluri ibu bapa. “Ibu bapa lebih mengenali anak mereka. Jika anak kelihatan berbeza daripada kebiasaan, jangan abaikan. Dapatkan bantuan. Jangan tunggu sehingga orang lain kata ianya serius.”

Beliau turut mengakui bahawa dalam budaya masyarakat Malaysia, sikap “tunggu dan lihat” sering menjadi tindak balas awal, namun dalam kes sepsis, kelewatan boleh membawa padah. Pesanan beliau jelas dan tegas: “Dengar kata hati anda — ia mungkin menyelamatkan nyawa anak anda.”

Dr Lee turut berkongsi pandangan beliau dalam Simposium Pediatrik Antarabangsa ke-2 2025 anjuran SMC, bertemakan “Pediatrik Merentasi Sempadan: Menghubungkan Subkepakaran, Menyelamatkan Nyawa,” yang menghimpunkan pakar pediatrik dari Malaysia, China, Singapura dan Amerika Syarikat dalam format hibrid.

Acara ini menjadi platform strategik untuk berkongsi kepakaran, inovasi dalam rawatan dan kerjasama rentas negara dalam penjagaan kesihatan kanak-kanak serantau yang merentasi sempadan.

SMC merupakan hospital kuartenari swasta terbesar di negara ini, menempatkan lebih 300 pakar perubatan tetap, 60 bidang kepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan. SMC juga telah diiktiraf sebagai hospital terbaik dalam bidang pediatrik di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dalam ranking Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik (APAC) Newsweek 2025 (Newsweek Best Specialized Hospitals Asia Pacific (APAC) 2025).

Hospital ini turut menawarkan rangkaian subkepakaran pediatrik paling komprehensif di bawah Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak, selain menjadi hospital swasta pertama di negara ini yang menyediakan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam. Dengan siapnya blok keenam hospital, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak), kapasiti katil SMC dijangka meningkat daripada 810 kepada lebih 1,100 katil berlesen.

Rujukan

  1. World Health Organization. (2020, September 9). Global report on the epidemiology and burden of sepsis: Current evidence, identifying gaps and future directions (WHO Technical Document, 55 pages). https://www.who.int/publications/i/item/9789240010789
  2. Samransamruajkit, R., Wong, J. J.-M., Smathakane, C., Anantasit, N., Sunkonkit, K., Ong, J., Lee, O. P. E., Lee, P.-C., Phumeetham, S., Sultana, R., Lapwanich, U., Lee, J. H., & Kongkiattikul, L. (2021). Pediatric severe sepsis and shock in three Asian countries: A retrospective study of outcomes in nine PICUs. Pediatric Critical Care Medicine, 22(8), 713–721. https://doi.org/10.1097/PCC.0000000000002680
  3. Malaysian National Neonatal Registry & Clinical Research Centre, Ministry of Health Malaysia. (2020). Report of the Malaysian National Neonatal Registry 2020: A study of critically ill babies in neonatal intensive care units. Perinatal Society of Malaysia. https://www.acrm.org.my/mnnr/documents/MNNR_Report_2020.pdf

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.