KelabMama

Sendawakan Bayi Elak Kembung Perut

Hampir semua wanita yang bergelar ibu pernah melalui pengalaman berhadapan dengan masalah bayi yang menangis tanpa henti, berbeza daripada hari-hari biasa. Dalam sesetengah kes, ibu bapa berada dalam keadaan panik apabila tangisan si bayi semakin berpanjangan dalam tempoh melebihi sejam. Bagi pasangan muda yang tidak ada pengalaman, lazimnya tangisan tersebut menimbulkan pelbagai andaian yang negatif. Selain tidak mengetahui punca tangisan, pasangan juga tidak tahu cara yang berkesan untuk meredakan si anak.

Bayi menangis sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi. Apabila bayi menangis, ia memberi isyarat kepada ibu-bapa atau penjaga ketidakselesaan yang dialami. Mungkin mereka menangis kerana lapar, mengantuk, sakit, bosan, keseorangan, letih, takut atau memerlukan pertukaran lampin. Bayi juga menangis kerana mood tidak baik, menyangka ibu bapa marah atau merengus dan ada kalanya bayi kembung perut. Kembung perut merupakan antara punca yang selalu menyebabkan bayi meragam. Keadaan ini terjadi di kalangan bayi baru lahir sehingga berusia setahun dan ia merupakan keadaan yang normal dan sering terjadi kepada mana-mana bayi sekali pun.

KEMBUNG BAYI SEBABKAN TANGISAN BERLARUTAN

Tanpa memilih jantina, keturunan atau bangsa bayi akan mengalami kembung perut yang menyebabkan perut tidak selesa dan sakit. Bayi yang mengalami kembung perut akan menangis teruk tanpa sebab dan keadaan ini berulang setiap hari biasanya pada lewat petang atau awal malam. Masalah ini lebih kerap dialami oleh bayi yang baru lahir berusia antara dua minggu enam bulan. Dalam sesetengah kes ada bayi yang berterusan menangis sehingga mereka berusia dua tahun ke atas. Ironiknya dalam menghadapi situasi tersebut katanya ada ibu bapa yang membuat tanggapan si anak berada dalam keadaan kritikal dan mereka dibelenggu kebimbangan terlampau.

Ibu bapa perlu bertenang dan melakukan pemeriksaan sama ada bayi mengalami sakit perut akibat angin atau kembung. Periksa perutnya keras atau lebih tegang daripada biasa, kelihatan bengkak atau mengeluarkan bunyi lompong apabila ditepuk dengan perlahan-lahan menggunakan jari. Elakkan membawa berjumpa bomoh atau dukun untuk mendapat rawatan lanjut jika anak menangis tanpa henti sebaliknya rawat dengan menggunakan kemahiran sendiri.

LEGAKAN KETIDAKSELESAAN SI KECIL

Beberapa langkah telah dikenal pasti yang diamalkan oleh ibu-ibu dapat meredakan kesakitan dan tangisan bayi:

 

Terdapat juga bayi yang gagal diredakan tangisan mereka menyebabkan seluruh badan menjadi kejang dan kebiru-biruan. Memang sukar menguruskan bayi yang menangis dan ibu bapa tidak memahami apa yang mereka inginkan. Punca sebenar kembung perut tidak diketahui tetapi mungkin disebabkan penghadaman bayi yang belum matang, hormon dalam susu ibu dan pengambilan susu ibu secara berlebihan.

Mungkin juga bayi mengalami alahan kepada susu formula yang diminum atau mengalami situasi berulang sebagaimana menimpa ahli keluarga yang lain. Fenomena ini ada hubung kaitnya dengan genetik yang mana setiap ahli keluarga ketika bayi mengalami masalah yang sama. Ibu bapa mampu mengelak bayi daripada berterusan menangis dengan mewujudkan suasana tenang apabila sampai saat-saat mereka mengulanginya seperti hari sebelumnya.