KelabMama

Langkah-Langkah Untuk Semakan Kemasukan Pendaftaran Ke Sekolah Rendah dan Pra-sekolah Kerajaan Sesi Tahun 2021

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malasia (KPM) telahpun mengumumkan semakan kemasukan pendaftaran anak-anak untuk Tahun 1 bagi sesi pembelajaran 2021 sudah boleh dilakukan di dalam talian.  Mama sudah bersedia?

Bagi Mama yang akan mendaftarkan anak untuk kemasukan darjah satu pasti berasa begitu cepat masa berlalu. ‘Tiba-tiba’ sahaja anak kecil yang sering merengek itu sudahpun bersedia untuk belajar berdikari pergi ke sekolah ‘sebenar’. 

Pada bulan Mac lepas, ibu ayah telah mendaftar untuk kemasukan anak ke sekolah rendah bagi sesi 2021. Ada dua cara untuk mendaftarkan anak ke sekolah di bawah KPM, iaitu melalui dalam talian ataupun secara manual. Ibu ayah yang menghadapi kekangan untuk mendaftar secara online ini, boleh pergi ke sekolah yang ingin didaftarkan dan pihak sekolah akan membantu mendaftarkan anak di dalam talian. 

Kurang lima bulan dari sekarang akan bermulalah sesi persekolahan 2021. Mama mesti ingin mengetahui status kemasukan anak-anak ke sekolah mana, kan?

Pengumuman Semakan Kemasukan ke Sekolah KPM

KPM telah membuat pengumuman bahawa Pendaftaran Kemasukan anak-anak ke sekolah kerajaan untuk Tahun 1 dan Prasekolah bagi sesi 2021 adalah seperti berikut:

Bagi anak-anak yang bakal ke Tahun 1 bagi sesi kemasukan 2021, Mama sudah boleh membuat semakan di dalam talian mulai 1 Ogos 2020, kecuali bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya. Bagi yang mendaftar untuk sekolah di bawah jajahan Wilayah Persekutuan, Mama hanya boleh membuat semakan bermula daripada 1 Oktober 2020.

Sementara itu, bagi anak-anak yang telah didaftarkan untuk kemasukan prasekolah di bawah KPM, semakan boleh dilakukan mulai 5 Ogos 2020. 

5 Langkah-langkah Mudah Untuk Semakan di Atas Talian 

Langkah Pertama:

Menurut laman sesawang KPM, Mama boleh menyemak status pendaftaran Darjah 1 melalui Sistem Pengurusan Sekolah KPM (SPATKPM) di https://public.moe.gov.my/?kpm=  . Mama diminta untuk login menggunakan nombor MyKad dan kata laluan yang sama semasa pendaftaran. 

Jika Mama lupa kata laluan, Mama masih boleh memohon mendapatkan kata laluan yang baru dengan menekan butang yang ada di skrin. 

Bagi Mama yang hendak menyemak kemasukan Prasekolah, laman sesawang yang didaftarkan di https://eprasekolah.moe.gov.my/.

Langkah Kedua:

Setelah daftar masuk, paparan skrin akan menunjukkan dua butang pilihan. Mama akan nampak butang pendaftaran sekolah dan semakan pendaftaran. Mama bolehlah klik butang untuk membuat semakan dan akan disalurkan kepada pautan keputusan pendaftaran sekolah.  

Langkah Ketiga:

Seterusnya, paparan skrin akan menunjukkan butir peribadi anak yang didaftarkan. Mama hendaklah memeriksakan dan memastikan butiran yang dipaparkan adalah tepat. Di bahagian bawah butiran pelajar, ada dipaparkan nama sekolah yang didaftarkan atas nama anak. Jadi Mama bolehlah menyemak keputusannya di situ.  

Ada yang akan mendapati sekolah yang sama dengan pilihan yang dibuat semasa mendaftar. Tetapi, ada juga yang didaftarkan ke sekolah yang berlainan daripada yang pilihan yang dibuat pada bulan Mac lalu. Penempatan pelajar adalah mengikut jumlah pelajar yang boleh diterima oleh sekolah, alamat residensi serta adik-beradik yang belajar di sekolah yang sama (tahun yang berbeza). 

Langkah Keempat:

Setelah mengesahkan semua maklumat pada paparan, Mama boleh membuat pilihan untuk mengesahkan penempatan persekolahan anak di sekolah yang di daftarkan. Setelah pengesahan dibuat, Mama bolehlah mencetak surat pengesahan untuk tujuan pendaftaran apabila masuk sekolah nanti. 

Pengesahan hendakah dibuat bermula daripada 1 hingga 31 Ogos 2020.

Foto kredit: FB Tyenn Otenn Official

Langkah Kelima:

Walau bagaimanapun, jika Mama tidak didaftarkan ke sekolah pilihan atau tidak bersetuju dengan sekolah yang ditawarkan, Mama boleh membuat rayuan dengan menekan butang rayuan. Proses rayuan di dalam talian boleh dibuat bermula daripada 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2020.  Kebiasaan sebelum ini, keputusan rayuan akan diumumkan pada bulan November tertakluk pada pindaan KPM. 

Jika Mama memerlukan bantuan secara manual atau perlu untuk menghubungi KPM, dicadangkan untuk Mama pergi ke sekolah yang didaftarkan atas nama anak untuk pertanyaan lanjut. Pihak sekolah selalunya dapat membantu untuk keterangan lebih lanjut. Sebaliknya, Mama juga boleh terus ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk mendapatkan maklumat dan proses selanjutnya jika ada apa-apa masalah. 

Tips untuk Persiapan Awal ke Darjah Satu 

Mama Siti percaya ramai Mama di luar sana yang teruja untuk menyediakan persiapan untuk masuk ke darjah satu. Memandangkan dunia amnya, dan negara kita khususnya, sedang dilanda pandemik COVID-19 ini, mungkin kemasukan ke sekolah tahun hadapan akan berbeza daripada kebiasaannya

Buat masa ini, Mama bolehlah sediakan fail untuk kemasukan sekolah bagi mengumpulkan semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran. Mama boleh menghubungi pihak sekolah untuk mendapat informasi lanjut. Pihak sekolah akan memberikan jadual orientasi dan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk tujuan pendaftaran. 

Antara maklumat yang diperlukan ialah sesi pembelajaran dan waktu pembelajaran samada sesi pagi atau petang, dokumen-dokumen dan salinan yang diperlukan dan perkara-perkara lain yang boleh disediakan sebelum sesi pembelajaran 2021 bermula. 

Mama juga boleh mula bercerita dan terangkan perkara-perkara yang perlu anak-anak faham dan jangkakan dalam menyediakan minda anak-anak untuk bersekolah tahun depan. 

Apa-apapun, Mama Siti ucapkan selamat maju jaya untuk Mama dan anak-anak bagi menempuh sesi pembelajaran 2021 yang akan bermula pada 20 Januari 2021 nanti. 

Pesan Mama Siti

Sebelum Mama isi apa sahaja borang-borang penting, pastikan Mama teliti satu persatu. Sabar dan tenang semasa mengisi borang-borang tersebut. Tak kisahlah borang anak sekolah mahupun sebarang jenis borang yang penting – teliti dan isi satu persatu dengan betul. Terma dan syarat pun penting tau! Jangan lupa untuk baca terma dan syarat untuk memudahkan Mama sekiranya berlaku sebarang isu atau masalah.