Rakyat Malaysia sememangnya sering memberikan pelbagai penjelasan sendiri untuk ketidakselesaan perut yang dialami. Terlebih makan pedas, terlalu banyak minum kopi, terlalu stres, dan sebagainya. Ada sahaja penjelasan diberikan yang dianggap sebagai punca dan diikuti dengan pengambilan ubat antasid untuk mendapatkan kelegaan segera.
Bagi ketidakselesaan yang dialami sekali-sekala, tindakan tersebut mungkin memadai. Namun, apabila simptom kerap berulang, semakin teruk dari semasa ke semasa, atau tidak lagi berkesan apabila dirawat dengan rawatan biasa, sakit yang sering dianggap sebagai “gastrik biasa” ini memerlukan pemeriksaan lanjut.
Apabila seseorang mula mengalami pedih ulu hati yang berpanjangan, kembung perut, loya, sakit di bahagian atas perut (kawasan ulu hati), kesukaran menelan, atau masalah penghadaman yang kerap berulang, ia boleh menjadi petanda kepada pelbagai keadaan kesihatan – daripada radang perut (gastritis) dan refluks asid sehinggalah ulser peptik atau masalah yang lebih serius yang memerlukan perhatian awal.
Salah satu prosedur yang disarankan oleh doktor untuk memahami punca masalah ini adalah endoskopi saluran gastrousus (GI) atas yang membolehkan pemeriksaan dilakukan terhadap bahagian dalam esofagus, perut dan bahagian atas usus kecil.
Namun begitu, kebanyakan pesakit berasa takut atau bimbang apabila disarankan menjalani prosedur endoskopi. Persoalan mengenai keperluan berpuasa, penggunaan ubat pelali, tahap ketidakselesaan, pengambilan sampel tisu (biopsi) dan proses pemulihan sering menimbulkan lebih banyak kebimbangan berbanding prosedur itu sendiri.
Pakar Bedah Am & Gastrousus Atas
(Perunding)
Menurut Dr. Tee Sze Chee, Pakar Bedah Am & Gastrousus Atas (Perunding), serta Dr. Muhammad Ilham Abdul Hafidz, Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman (Perunding) di Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), kebimbangan ini merupakan antara halangan yang sering dihadapi pesakit dan mereka komited untuk membantu mengatasinya.
Terlalu Pedas, Terlalu Stres… atau Ada Punca Lain? Mengapa Simptom Ini Tidak Boleh Diabaikan
Simptom yang melibatkan saluran GI atas sering berlaku dan ramai rakyat Malaysia sudah menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa dalam kehidupan harian, terutamanya apabila ubat yang dibeli tanpa preskripsi memberikan kelegaan sementara.
Gaya hidup turut memainkan peranan penting dalam bagaimana simptom ini muncul dan berlarutan. Menurut Dr. Tee, makanan pedas, minuman berasid, minuman berkafein, waktu makan yang tidak menentu, tabiat makan lewat malam, serta pengambilan makanan dalam kuantiti yang banyak boleh menyumbang kepada masalah seperti kembung perut, refluks asid atau gangguan penghadaman.
Corak pemakanan dan gaya hidup seperti ini sering diamalkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Tekanan serta kualiti tidur yang kurang baik pula memburukkan lagi keadaan.
Walaupun pengambilan ubat antasid atau perubahan diet boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan, ia tidak dapat mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut. Perkara ini penting kerana simptom yang kelihatan sama boleh berpunca daripada pelbagai masalah kesihatan yang berbeza.
Sebagai contoh, sakit pedih ulu hati yang berpanjangan mungkin berkaitan dengan penyakit refluks gastroesofagus (GERD). Sakit berulang di bahagian atas abdomen pula boleh dikaitkan dengan gastritis, ulser peptik atau jangkitan bakteria Helicobacter pylori.
Menurut Dr. Tee, cabarannya adalah apabila simptom- simptom ini sering datang dan pergi, menyebabkan ramai pesakit menangguhkan pemeriksaan sehingga sakit yang dialami mula menjejaskan kualiti hidup serta aktiviti harian mereka dengan ketara.
Dr. Tee menegaskan bahawa terdapat simptom tertentu yang tidak sepatutnya dirawat sendiri berulang kali. “Pedih ulu hati yang kerap, kesukaran atau kesakitan ketika menelan, loya yang berpanjangan, penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas, hilang selera makan, muntah darah atau najis berwarna hitam adalah antara simptom yang perlu diteliti oleh doktor,” katanya.
“Walaupun ubat yang dibeli tanpa preskripsi boleh memberikan kelegaan sementara, adakalanya pengambilan ubatan tersebut boleh menyembunyikan masalah kesihatan sebenar yang memerlukan rawatan perubatan.”
Endoskopi GI atas memberikan maklumat yang lebih jelas berbanding sekadar meneliti simptom semata-mata. Dengan menggunakan tiub nipis dan fleksibel yang dilengkapi kamera definisi tinggi, pakar gastroenterologi boleh melihat secara terus keadaan lapisan esofagus, perut dan bahagian pangkal usus kecil (duodenum) secara masa nyata.
Menurut Dr. Tee, prosedur ini membantu doktor mengenal pasti punca sebenar masalah dengan lebih tepat, berbanding hanya bergantung kepada simptom yang dialami atau tindak balas terhadap ubat.
Berpuasa, Tidur, Selesai: Apa yang Sebenarnya Berlaku Semasa Endoskopi
Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan
Perubatan Dalaman (Perunding)
Kebanyakan kebimbangan mengenai endoskopi biasanya berpunca apabila pesakit tidak tahu tentang apa yang akan berlaku. Menurut Dr. Ilham, dua perkara yang paling kerap merisaukan pesakit, tanpa mengira usia atau latar belakang pesakit, adalah takut terhadap kesakitan dan bimbang mereka akan tersedar ketika prosedur sedang berlangsung. Namun hakikatnya, kedua-dua kebimbangan ini tidak berasas.
Sebelum
Pesakit perlu berpuasa selama enam hingga lapan jam bagi memastikan perut kosong, supaya saluran penghadaman atas dapat diperiksa dengan jelas. Pesakit juga perlu memaklumkan kepada doktor mengenai ubat-ubatan yang sedang diambil, alahan, masalah kesihatan sedia ada, atau jika pernah mengalami sebarang reaksi terhadap ubat pelali sebelum ini.
Semasa
Ubat pelali akan diberikan secara intravena sebelum prosedur dimulakan. Setelah pesakit berada dalam keadaan selesa dan tertidur, endoskopi akan dijalankan. “Pesakit tidak akan merasa atau mengingati apa-apa sepanjang prosedur,” kata Dr. Ilham. Doktor kemudian akan memasukkan tiub nipis dan fleksibel melalui mulut untuk memeriksa esofagus, perut dan duodenum. Proses ini biasanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.
Dalam sesetengah kes, biopsi juga akan dilakukan semasa prosedur. Dr. Ilham menjelaskan bahawa biopsi dilakukan sebagai prosedur standard untuk mengesan jangkitan Helicobacter pylori. Sampel tisu juga akan diambil jika terdapat sebarang kelainan yang kelihatan seperti ulser, polip atau ketumbuhan, yang dikesan semasa pemeriksaan.
Selepas
Pesakit akan dipindahkan ke ruang pemulihan untuk dipantau sementara kesan ubat pelali beransur hilang. Kembung ringan atau ketidakselesaan di tekak mungkin berlaku, tetapi biasanya akan hilang dengan sendiri.
Sesetengah keputusan boleh dibincangkan sejurus selepas prosedur. Keputusan biopsi pula mengambil masa beberapa hari dan akan dibincangkan semasa janji temu susulan, yang mana doktor juga akan menerangkan langkah seterusnya berdasarkan hasil pemeriksaan.
Kesan Pengesanan Lewat dan Mengapa Pengesanan Awal Lebih Baik
Mengetahui apa yang akan berlaku boleh membuatkan prosedur endoskopi terasa lebih tenang dan kurang menakutkan. Namun, perkara yang lebih penting adalah: simptom yang berpanjangan tidak seharusnya dibiarkan tanpa menjalani pemeriksaan.
Cabaran dengan simptom saluran gastrousus (GI) atas adalah ia jarang menunjukkan tahap keseriusan sebenar dengan jelas. Pedih ulu hati yang berpanjangan, sakit perut yang berulang, dan kembung yang berterusan boleh berpunca daripada masalah kesihatan yang mudah dirawat atau ia juga boleh menjadi tanda awal kepada masalah yang lebih serius serta memerlukan perhatian segera.
Dari luar, simptomnya kelihatan sama. Perbezaannya hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan yang betul.
Inilah sebabnya pengesanan lewat merupakan satu masalah yang serius. Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih daripada 60 peratus kes kanser di negara ini dikesan pada tahap tiga atau empat.
Bagi kanser GI atas khususnya, data GLOBOCAN 2022 menunjukkan bahawa kanser perut mencatatkan 1,528 kes baharu di Malaysia dalam tempoh setahun, bersama 1,223 kematian. Nisbah ini menunjukkan betapa kerap penyakit ini dikesan terlalu lewat untuk dirawat dengan berkesan, dan mengapa pengesanan awal amat penting.
“Ubat yang melegakan tidak bermaksud masalah sudah selesai,” kata Dr. Tee. “Banyak keadaan yang menyebabkan simptom GI atas yang berpanjangan adalah biasa dan mudah dirawat, tetapi ada juga simptom yang sebenarnya adalah tanda awal penyakit yang lebih serius, termasuk kanser gastrik. Simptom sahaja tidak cukup untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku.”
Dr. Ilham menambah, “Dalam amalan klinikal, pengesanan lewat bukan sekadar menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar. Ia juga bermaksud pesakit sedang berdepan dengan hasil rawatan yang sangat berbeza. Pengesanan lebih awal memberi lebih banyak pilihan rawatan. Apabila kanser gastrik dikesan terlalu lewat, selalunya peluang untuk sembuh sangat terhad. Itulah realiti yang kami cuba ubah.”
Bagi mereka yang menangguhkan pemeriksaan kerana rasa takut, Dr. Ilham memberi jaminan: “Tiada apa yang perlu ditakutkan. Prosedurnya sangat mudah dan ringkas. Tidak sakit, cepat, dan sangat selamat.” Dr. Tee turut menambah bahawa kebanyakan pesakit terkejut apabila mendapati prosedur sebenar jauh lebih mudah daripada yang disangka.
“Sama ada simptom itu berpunca daripada masalah ringan yang mudah dirawat atau sesuatu yang memerlukan perhatian lanjut, mendapatkan diagnosis yang tepat lebih awal boleh memberikan ketenangan, membantu mendapatkan rawatan yang sesuai, dan mengelakkan komplikasi daripada terlepas pandang.”
Endoskopi bukan tentang menjangkakan perkara buruk. Prosedur ini membantu memahami apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh tubuh. Walaupun “gastrik” adalah istilah yang biasa digunakan, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menangguhkan pemeriksaan yang betul.
Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan GI atas dan perkhidmatan endoskopi, layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara atau berjumpa dengan pakar yang boleh menilai simptom yang dialami serta mencadangkan langkah rawatan yang tepat.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Jom ke pelbagai acara menarik di sekitar Lembah Klang, Malaysia DI SINI!
