KelabMama

Rumah Tangga – 8 Tips dan Petua Kekal Bahagia

Bila berbicara perihal rumah tangga, banyak cabang yang boleh dibincangkan. Bermulanya dengan isi rumah – suami, isteri, anak-anak, ipar duai, persekitaran juga pelbagai bentuk cabaran dalam melayari rumah tangga sehingga hari ini, adalah satu topik yang tak pernah ketinggalan di dalam kehidupan kita. 

Masakan tidak, sehinggakan adanya satu kementerian yang khusus bagi institusi ini – iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, yang menjaga khusus institusi kekeluargaan di dalam sesebuah rumah tangga. Begitu signifikan pentingnya permulaan satu institusi kecil yang bermula dari sebuah perkahwinan.

Asas & Tanggungjawab Berumah Tangga

Perkahwinan yang sah adalah permulaan kepada rumah tangga. Tak kira agama dan bangsa, ikatan yang sah ini adalah permulaan kepada suatu perjalanan kehidupan yang baru. Suami dan isteri berkongsi sebuah kehidupan dalam membentuk keluarga yang harmoni. 

Disinilah bermulanya sebuah kehidupan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam melayari kehidupan alam perkahwinan.

Firman Allah di dalam Al-Quran, Ayat 1 surah An-Nisa’ yang bermaksud – “ Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Permulaan penyatuan lelaki dan perempuan menjadi suami dan isteri. Kemudian melahirkan zuriat dan keturunan yang membentuk sesebuah rumah tangga yang dibina. 

Suami adalah tunjang utama yang membentuk sesebuah rumah tangga. Dialah yang menjadi ketua keluarga, bertanggungjawab mencari nafkah untuk mengukuhkan ekonomi keluarga, dan juga pembimbing setiap individu sesebuah rumah tangga itu. 

Empat keperluan asas, yang wajib disediakan oleh sang suami termasuklah tempat tinggal (rumah), makanan, pakaian dan perubatan sekiranya diperlukan. Pelengkap kehidupan dan suri hati suami, seharusnyalah si isteri. Isteri, yang bertanggungjawab memenuhi keperluan batin suami, ketaatan kepada suami didalam menjaga hal keperluan rumah tangga dengan sempurna.  Selalu disebutkan isteri merupakan tulang rusuk suami, diciptakan sebagai pelengkap kehidupan suami. 

Kedua-kedua suami dan isteri saling melengkapi. Kekurangan isteri dilengkapi oleh kelebihan suami, begitu jugalah sebaliknya. 

Anak-anak pula tentunya pelengkap di dalam sesebuah perkahwinan. Suami berperanan sebagai ketua, yang mengemudikan arah tuju, dibantu oleh isteri, dan anak-anak dibentuk dari acuan yang ditunjukkan oleh mama dan papa. Begitulah terbinanya sebuah ‘kerajaan kecil’ yang dinamakan rumah tangga.

Ujian Berumah Tangga

Tiada sesebuah perkahwinan yang dibina tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan. Bak kata pepatah Melayu, “andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Begitu juga dengan rumah tangga. Tak akan dapat lari dari segala bentuk ujian dan dugaan. 

Ada keluarga yang diuji dengan masalah ekonomi, kesihatan, emosi, fitnah dan segala bentuk masalah yang ada ketikanya, menjadi punca perceraian yang memecah belahkan institusi rumah tangga. Perlu kita fahami bahawa segala dugaan dan cabaran adalah untuk menguji kesabaran dan keimanan setiap insan. Juga bagaimana kekentalan jiwa dan emosi untuk menghadapi dugaan. Segalanya adalah untuk menguatkan lagi ikatan dan kasih sayang yang terbina dari ikatan dua jiwa – suami dan isteri. 

Kadang-kadang kekecewaan pasti akan berlaku, hingga membawa kepada kegagalan. Maka perceraian adalah jalan keluar dan penyelesaian terakhir. Namun begitu, perceraian juga bukanlah pengakhiran sesebuah keluarga dari rumah tangga yang runtuh itu. Anak-anak masih memerlukan kepada kedua mama dan papanya, maka keduanya masih perlu memenuhi tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih di bawah umur. 

8 Tips & Petua Rumah Tangga Bahagia

1. Bertanggung jawab dan faham hak pasangan

Faham akan tanggung jawab setiap individu di dalam rumah tangga – kewajipan sebagi suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak. Apabila prioriti terhadap rumah tangga adalah yang teratas, maka tanggung jawab akan dilaksanakan dengan sebaiknya didalam sesebuah keluarga yang dibina – juga saling melengkapi antara satu sama lain.

2. Menghargai pasangan

Bertolak-ansur, saling memahami dan menghargai setiap individu didalam rumah tangga suatu keperluan untuk rumahtangga yang bahagia. Kita haruslah bersedia menerima kekurangan pasangan, serta berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yag ada pada diri.

3. Elakkan pertelingkahan dan perbaiki komunikasi

Jangan bertelingkah, terutamanya di hadapan anak-anak, walaupun anak masih bayi dan belum memahami. Segala permasalahan dan pertelingkahan perlulah diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati.  Elakkan masalah berlarutan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang penyelesaian, kerana memilih untuk berdendam dan menyimpan segalanya di dalam hati, adalah ibarat menyimpan satu ‘bom jangka’ – yang kadangkala ianya adalah punca perceraian apabila ia meletup. 

Berkomunikasilah dengan baik, elakkan menggunakan bahasa kesat yang boleh mengguris hati atau menjatuhkan air muka pasangan dan anak-anak. Perlu dititikberatkan, kekerasan di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku, sebaliknya perlu dielakkan.

4. Luangkan masa yang berkualiti

Ahli keluarga di dalam rumah tangga harus memperuntukkan masa berkualiti bersama. Ia akan melahirkan rasa disayangi, diperlukan antara satu sama lain dan dirindui selalu. Antara masa yang paling berkualiti untuk seluruh ahli keluarga – solat berjemaah, makan bersama dan perkongsian waktu santai bersama-sama. Bagi pasangan, paling utama adalah masa untuk menzahirkan semula perasaan romantik anda.

5. Ujian sebagai tanda aras kasih sayang dalam rumah tangga

Ujian yang hadir didalam kehidupan perkahwinan mengukur sejauh mana kemampuan pasangan mempertahankan kasih sayang, juga rasional dalam menghadapi segala cabaran bersama. Ada pasangan, apabila diuji, kasih sayang mereka semakin kuat dengan bersama-sama susah dan senang mengharungi onak dan duri berumah tangga.

6. Kepercayaan terhadap pasangan

Setiap pasangan perlu mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, tanpa ragu-ragu. Buangkan rasa ragu-ragu dan syak wasangka yang berlebihan, agar tak menghantui perasaan dan emosi yang boleh menganggu gugat keharmonian rumah tangga.

7. Mendalami ilmu rumah tangga

“Menuntut ilmu hingga ke liang lahad.” Perumpamaan yang sangat relevan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Setiap hari, pastinya ada perkara baru yang dilalui maka perlu setiap pasangan cuba untuk mendalami ilmu perkahwinan. Belajar dari pengalaman orang lain serta mengambil iktibar dari kisah yang hampir setiap hari ada je kisah baik buruknya yang boleh diambil pengajaran.

8. Berdoa dan banyakkan bersyukur dalam rumah tangga

Tak kira berapa banyak dugaan juga kebahagiaan yang dkecapi, banyakkan berdoa dan bersyukur dengan anugerah jodoh dan ikatan perkahwinan yang telah ditentukan Tuhan. Janganlah dikeluh kesah setiap sesuatu yang telah ditakdirkan, sebaliknya terimalah dengan berlapang dada. Setiap dari individu pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina dibawa hingga ke syurga.

Pahit manis dalam perkahwinan adalah roda sebuah kehidupan. Anak-anak yang dibesarkan, sampai pada satu peringkat umur, akan melalui kehidupan berumah tangga juga. Dan membina satu lagi ‘kerajaan kecil’ yang mencorakkan generasi seterusnya.

Bersediakah setiap seorang dari kita untuk menggalas segala tangggungjawab, serta dugaan yang mendatang? Semoga setiap rumah tangga yang dibina atas fitrah yang Allah ciptakan kepada setiap seorang insan, membawa kepada satu rahmat yang mendorong jalan menuju syurga yang abadi.

Semoga bermanfaat!

BACA JUGA ADAB-ADAB TERHADAP IBU BAPA YANG PERLU KITA AMALKAN

Pesan Mama Siti

Apa pun dugaan yang datang, hadapi dan harungilah bersama-sama. Jangan ada sifat menuding jari salahkan sesiapa. Jika ada yang tak kena, sama-sama perbaiki diri dan jadi yang lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah rumahtangga akan kekal bahagia 🙂