KelabMama

‘Love Bite’ Bongkar Rahsia Remaja Perempuan 16 Tahun Bersama 5 Lelaki

Apabila anak-anak sudah melangkah usia remaja (belasan tahun), mereka akan menjadi lebih matang dan timbul pelbagai rasa ‘ingin tahu’. Ada sesetengah anak remaja kita merasakan diri mereka sudah besar dan dewasa, walaupun masih di bangku sekolah menengah. Normal sebenarnya untuk anak-anak remaja kita untuk sentiasa mencuba perkara yang orang dewasa lakukan. Ketika usia remaja jugalah mereka masih mencari identiti diri dan ingin mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam. Namun, tidak bagi seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun ini. 

Kantoi Dengan Ibu Sendiri 

Seorang remaja perempuan kantoi dengan ibu sendiri mengenai aktiviti seks yang dilakukannya sejak tahun lepas. Selepas menceritakan apa yang berlaku, si ibu yang pada mulanya perasan kesan lebam di leher mangsa, terus membuat laporan polis dan lima lelaki ditahan semalam. Lima suspek lelaki tersebut berusia antara 16-20 tahun, telah ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kangkar Pulai, bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka mengambil kesempatan melakukan hubungan seks ke remaja perempuan terbabit.

Gambar sekadar hiasan.

Menurut Harian Metro, tiga daripada suspek lelaki yang ditahan merupakan pelajar sekolah menengah, seorang penganggur dan seorang penjual air mineral. Difahamkan juga, remaja perempuan terbabit merupakan anak tunggal yang tinggal bersama ibunya selepas kematian bapa. Pertama kali kejadian tersebut berlaku pada tahun lepas di rumah mereka, ketika ibunya tiada di rumah.

Kali Pertama Selepas Tamat PT3

Hasil siasatan awal mendapati remaja perempuan tersebut mula melakukan hubungan seks dengan semua suspek selepas tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada Oktober tahun lalu. 

“Tahun lalu, seorang suspek yang juga kawan lelaki remaja berkenaan bersama dua sepupunya mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah di Kangkar Pulai di Iskandar Puteri. Mereka mengajak remaja terbabit melakukan hubungan seks dan ia berlaku dengan kerelaan remaja itu. Sejak kejadian itu, dia melakukan hubungan seks dengan dua lagi lelaki dengan kesemuanya seramai lima orang,”

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar 

Difahamkan, kali terakhir remaja itu melakukan hubungan seks dengan dua daripada lima suspek ialah pada Jumaat lalu, dan kira-kira pada 1 petang kelmarin, ibu remaja tersebut ternampak kesan lebam pada lehernya. Remaja berkenaan menceritakan apa yang berlaku sebelum ibunya bertindak menyuruhnya membuat laporan polis.

Suspek Tiada Rekod Jenayah

Lima suspek terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kini mereka direman hingga Khamis ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Apa pendapat Mama mengenai kejadian yang berlaku ini? Adakah hal ini berkaitan dengan pendidikan seks yang masih diperdebatkan orang ramai? Pada pendapat saya, penting untuk anak-anak zaman sekarang didedahkan dengan pendidikan seks sejak mereka kecil. Hal ini supaya mereka lebih tahu kebaikan dan keburukan berkaitan aktiviti seks sebelum bernikah.

Sumber: Adolescent Health Survey 2017

Ingat, pendidikan seks yang ingin diketengahkan bukan mengajar anak-anak untuk buat seks! Sebaliknya, ia bakal mendedahkan anak-anak untuk lebih berhati-hati jika mereka hampir terjerumus dalam aktiviti ini.