KelabMama

Ancaman Senyap, Kesannya Besar: Menyingkap Realiti Kanser Tiroid di Malaysia

Kelenjar tiroid ialah organ yang berbentuk rama-rama yang terletak di pangkal leher manusia dan berperanan mengawal metabolisme, tenaga, serta suhu badan manusia. Namun, organ ini sering tidak diberi perhatian apabila diserang kanser sehinggalah keadaannya ketara.

Kanser tiroid merupakan salah satu kanser yang mempunyai kadar rawatan yang paling tinggi, namun masih kurang dibincangkan di Malaysia.

Menurut data Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser tiroid menduduki tempat kelapan dalam senarai kanser paling lazim dalam kalangan wanita, dengan kadar 4.2 per 100,000 populasi.

Malah, wanita juga lebih terkesan oleh kanser tiroid berbanding lelaki, dan para penyelidik mempercayai faktor hormon, terutamanya estrogen, memainkan peranan dalam keadaan ini.

Walaupun kajian makmal mencadangkan bahawa estrogen mungkin merangsang pertumbuhan sel tiroid, kajian populasi berskala besar masih belum menemui kaitan yang jelas antara hormon ini dan peningkatan risiko kanser tiroid.

Kanser tiroid sering dianggap sebagai ancaman senyap, kerana ia boleh berlaku tanpa menunjukkan sebarang gejala yang jelas.

Dalam kebanyakan kes, kanser tiroid dapat dikenal pasti melalui tanda-tanda awal seperti benjolan di leher dan perubahan pada suara.

Walaupun tahap kesedaran masyarakat terhadap kanser tiroid semakin meningkat dan lebih banyak kes dapat dikesan pada peringkat awal melalui saringan kesihatan rutin, masih terdapat kekeliruan antara kanser tiroid dengan penyakit tiroid lain seperti hipotiroidisme dan goiter.

Kekeliruan ini sering menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan atau memulakan rawatan yang sesuai.

Dr Wong Mei Wan, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, dan Dr Tan Teik Hin, Pakar Perubatan Nuklear di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, berkongsi pandangan mereka tentang sifat kanser tiroid, termasuk tanda-tanda awal, diagnosis, pilihan rawatan moden, dan pentingnya pemeriksaan susulan jangka panjang.

Memahami Tiroid dan Tanda Amaran Awal

Dr Wong Mei Wan, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

“Kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroksin yang penting dalam proses metabolisme tubuh. Penghasilan tiroksin yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang berasa gelisah dan terlalu bertenaga, manakala kekurangan hormon ini boleh menyebabkan rasa sejuk, letih dan lesu,” jelas Dr Wong.

Walau bagaimanapun, kanser tiroid tidak ada kaitan dengan hormon.

“Kebanyakan pesakit kanser tiroid mempunyai fungsi tiroid yang normal. Kanser biasanya ketumbuhan fizikal atau nodul dalam kelenjar. Kanser tiroid tidak menyebabkan hipertiroidisme atau hipotiroidisme, dan penyakit tersebut juga tidak smestinya membawa kepada kanser tiroid,” jelas Dr Tan.

Diagnosis biasanya bermula apabila pesakit menyedari terdapat benjolan keras di leher. Gejala lain mungkin termasuk perubahan suara, kesukaran menelan, atau nodus limfa yang bengkak.

Tidak semua nodul adalah kanser. Dr Wong menyatakan bahawa ultrasound dan biopsi boleh membantu membezakan antara yang benigna dengan yang malignan.

Tidak seperti kanser-kanser lain, kanser tiroid di Malaysia tidak berkait rapat dengan faktor gaya hidup seperti merokok. Sejarah keluarga boleh menjadi faktor.

“Terdapat beberapa jenis kanser tiroid yang disebabkan genetik, bukan semua. Kami hanya menguji apabila terdapat sejarah keluarga ketara,” kata Dr Wong. Kira-kira dua pertiga pesakitnya adalah wanita, yang mencerminkan trend global.

Kesan Diagnosis Awal Terhadap Rawatan Kanser Tiroid

Dr Tan Teik Hin, Pakar Perubatan Nuklear di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

Kebanyakan kes kanser tiroid kini dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahap 1 melalui program saringan kesihatan.

“Jika dibandingkan dengan sepuluh tahun lalu, kebanyakan kes tiroid ketika itu hanya dikesan di tahap akhir, terutamanya tahap 3 atau 4. Perubahan ini merupakan perkembangan yang sangat menggalakkan,” kata Dr Tan.

Dr Tan menyatakan bahawa kira-kira 85 peratus kanser tiroid merebak dengan perlahan, terutamanya jenis papilari atau folikel dan kebiasaanya bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.

Tetapi sebaik sahaja kanser mencapai Peringkat 4 dan sudah merebak ke paru-paru atau tulang, kadar kelangsungan hidup (survival rate) menurun kepada bawah 50 peratus.

Kaedah Rawatan: Pembedahan dan Iodin Radioaktif

Rawatan biasanya bermula dengan pembedahan. “Setelah tumor dibuang, kami periksa betapa agresifnya tumor tersebut. Jika ia berisiko tinggi, kami biasanya akan membuat tindakan susulan dengan terapi oiodin radioaktif (RAI),” jelas Dr Tan.

RAI membantu rawatan dan diagnosis. “Ia menyingkirkan sebarang sel kanser yang tinggal dan membolehkan kami mengimbas penyebaran tersembunyi,” kata Dr Tan. Untuk tumor kecil di bawah 1cm, pembedahan sahaja mungkin sudah memadai.

Untuk pesakit yang bimbang tentang radiasi, beliau berkata, “Iodin radioaktif adalah sama secara kimia seperti iodin semula jadi dalam badan kita. Ia selamat, diterima dengan baik, dan jarang menyebabkan alahan. Perkataan ‘radioaktif’ ini yang selalunya membawa kebimbangan. Tetapi, ia langsung tidak sama seperti terapi radiasi pancaran luaran.” Beliau menekankan bahawa protokol keselamatan pesakit yang ketat sentiasa dipatuhi.

Selepas Rawatan: Kekambuhan, Pemantauan, dan Hormon

Walaupun hasil rawatan biasanya baik, kekambuhan boleh berlaku, selalunya di nodus limfa, walaupun bertahun-tahun kemudian. “Itulah sebabnya pemeriksaan susulan jangka panjang adalah kritikal,” kata Dr Wong.

Selepas pembedahan, pesakit biasanya memerlukan penggantian hormon tiroid seumur hidup. “Ia serupa dengan mengambil suplemen. Ia boleh diterima dengan baik, dan kebanyakan pesakit boleh menyesuaikan diri dengan cepat,” kata Dr Wong.

Untuk pesakit tahap 1 dan 2, Dr Tan mengesyorkan pemeriksaan setiap enam bulan selama dua tahun, kemudian setiap tahun sehingga lima tahun. Selepas itu, pemeriksaan susulan boleh dibuat berdasarkan keselesaan dan risiko.

Ubat seperti penghalang kinase tirosin (TKIs) memberikan pilihan baharu untuk kes di peringkat lanjut atau kes resisten. “Ia digunakan apabila RAI tidak lagi berkesan. Ia mengecutkan tumor sebelum pembedahan atau menguruskan penyakit metastasis,” kata Dr Tan. Namun, kesan sampingan seperti keletihan, masalah kulit, proteinuria, atau hipertensi mesti dipantau dengan teliti.

Pentingnya Kesedaran

Walaupun saringan tiroid tidak dilakukan secara rutin di Malaysia, kedua-dua doktor bersetuju pendidikan di peringkat awam tetap penting. “Jika anda merasakan benjolan berterusan di leher anda, pergilah periksa dengan cepat. Ultrasound dan ujian darah adalah mudah, boleh diakses, dan boleh dilakukan di kebanyakan klinik,” kata Dr Wong.

Dr Tan bersetuju dan berkata walaupun kanser tiroid sering merebak dengan perlahan, pengesanan awal memberikan perbezaan yang besar. “Lebih awal kita rawat, lebih baik hasilnya. Dengan itu, sila ambil berat tentang badan anda.”


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.

Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!