Serangan jantung mengejut (sudden cardiac arrest) terus menjadi antara punca utama kematian di Malaysia, dan sering kali berlaku tanpa sebarang amaran serta memerlukan intervensi atau bantuan segera. Di Malaysia, kadar kelangsungan hidup (survival rates) mangsa didapati kekal rendah iaitu di antara 0.5% hingga 8.5% sahaja.
Hal ini sebahagian besarnya berpunca daripada kekangan untuk mendapatkan akses kepada Defibrilator Luaran Automatik (AED) serta kelewatan dalam memulakan bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR)1. Tanpa intervensi CPR yang dilakukan serta-merta, peluang untuk mangsa terselamat akan berkurangan dengan ketara bagi setiap minit yang berlalu – terutamanya selepas 8 hingga 10 minit2.
Menyedari kepentingan untuk memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) meneruskan komitmennya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai situasi kecemasan perubatan menerusi inisiatif CSR terbaharu mereka. Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada kempen “Save A Number, Save A Life” yang pernah dilancarkan oleh SMCV sebelum ini.
Selain bertujuan untuk memperluas penyediaan unit AED dan membina keyakinan masyarakat untuk menggunakannya tatkala berlakunya kecemasan, inisiatif ini turut memperkukuh langkah proaktif SMCV dalam menekankan kepentingan tindakan segera bagi kes kecemasan jantung. Langkah ini sekali gus memperkukuh peranan Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E) SMCV sebagai penyedia penjagaan tertier kecemasan yang dilengkapi oleh pelbagai kepakaran perubatan yang holistik.
Pengarah Perubatan merangkap
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV
“Serangan jantung mengejut boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” kata Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV, Dr Wee Tong Ming.
“Sering kali apabila situasi kecemasan berlaku, ada nyawa yang tidak dapat diselamatkan dan ini bukannya disebabkan oleh ketiadaan alat bantuan langsung, tetapi akibat lewat bertindak serta kesukaran mendapatkan peralatan menyelamat nyawa. Dalam detik kritikal yang membezakan antara hidup dan mati ini, setiap saat amatlah berharga.”
Memperkukuh Tahap Kesiapsiagaan Ketika Berlakunya Kecemasan
Kes serangan jantung sering kali berlaku di luar persekitaran hospital, dengan anggaran sebanyak 10% daripadanya terjadi di kawasan awam atau bangunan komersial3. Malangnya, ramai saksi di tempat kejadian masih teragak-agak untuk bertindak—bukan kerana mereka enggan membantu, tetapi disebabkan tidak tahu bagaimana atau cara yang betul untuk membantu.
Walaupun penggunaan awal AED amat penting bagi meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa seseorang, aspek penyediaan kemudahan ini sahaja sebenarnya tidak mencukupi. Sebaliknya, terdapat keperluan mendesak untuk mempertingkat kesedaran, pengetahuan, serta keyakinan Masyarakat untuk menggunakannya bagi memastikan tindakan menyelamat yang efektif dapat dilkukan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR ini, SMCV telah menyediakan beberapa unit AED di lokasi-lokasi utama yang menjadi tumpuan ramai dan mempunyai trafik yang tinggi bagi memudahkan akses serta memastikan tindakan pantas dapat diambil ketika berlakunya kecemasan.
Lokasi ini termasuk stesen MRT seperti Tun Razak Exchange (TRX), Bukit Bintang, Ampang Park, dan Muzium Negara, selain pusat tarikan orang ramai seperti Aquaria KLCC, serta Menara Public Bank dan Menara Public Bank 2. Penempatan strategik di hab komersial dan jaringan pengangkutan yang sibuk ini bertujuan untuk menyediakan akses kepada AED di kawasan yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk berlakunya kes serangan jantung.
Pemasangan AED ini juga telah diperluaskan ke Bangunan Warisan Kebangsaan iaitu Stadium Merdeka yang terletak dalam Presint Merdeka 118, Public Bank-ITTC (Pusat Teknologi Maklumat dan Latihan), serta Bangunan Public Bank, Jalan Sultan Sulaiman.
Di samping itu, setiap unit AED ini akan disokong oleh papan tanda informasi yang direka khas agar mudah dirujuk dan digunakan. Kemudahan ini bertujuan membantu orang awam di tempat kejadian untuk mengambil tindakan yang betul semasa detik-detik kecemasan berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV
Terdapat juga pelekat kod QR yang menghubungkan pengguna terus ke laman web kempen “Save A Number, Save A Life” kendalian SMCV sebelum ini, serta di klinik-klinik Pengamal Perubatan Am (general practitioners) yang menyediakan akses pantas kepada panduan asas mengenai apa yang perlu dilakukan semasa berlakunya kecemasan.
“Kami percaya bahawa dalam situasi kecemasan perubatan, tiada sesiapa pun yang sepatutnya berasa buntu—sama ada disebabkan tidak tahu apa tindakan yang perlu diambil atau kerana tiada akses kepada peralatan yang betul,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV, Susan Cheow.
“Di SMCV, kami komited untuk menerajui inisiatif yang mampu merapatkan jurang dalam respons kecemasan perubatan, terutamanya dengan memastikan inisiatif ini lebih mudah diakses dan dikendalikan oleh orang ramai dan dapat membantu untuk menyelamatkan nyawa. Melalui pengukuhan infrastruktur dan peningkatan kesedaran masyarakat di pelbagai kawasan sekitar Kuala Lumpur, kami berhasrat untuk memperkasakan lebih ramai individu agar dapat bertindak dengan pantas serta yakin, sekaligus meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa mangsa ketika berdepan detik kecemasan.”
Mempersiapkan Orang Awam untuk Bertindak dengan Lebih Yakin Semasa Kecemasan
Selain daripada pemasangan unit AED secara fikizal, SMCV turut mengadakan bengkel penggunaan AED di lokasi tersebut, serta taklimat Kecemasan dan Kemalangan (A&E) di beberapa kawasan terpilih, mengenai apa yang perlu dilakukan semasa berlakunya kecemasan perubatan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan praktikal kepada orang awam apabila berdepan situasi seperti serangan jantung. Ini termasuklah cara-cara mengenali gejala awal, teknik bantuan awal kecemasan seperti kaedah CPR, serta panduan menggunakan unit AED secara betul dan selamat.
“Penyediaan unit AED hanyalah satu langkah awal dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan kecemasan,” jelas Dr Wee dengan lebih lanjut.
“Satu lagi hal yang penting ialah memastikan orang ramai tahu cara mengendalikannya dengan betul. Menerusi bengkel dan taklimat ini, kami berharap dapat membimbing orang awam serta kakitangan yang terlibat dengan teknik, ilmu pengetahuan, dan tahap keyakinan yang betul. Langkah yang tepat dan pantas ini amat penting kerana tindakan sedemikian mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa.”
“Situasi kecemasan perubatan bukan sahaja menguji sistem penjagaan kesihatan, malah turut menguji sejauh mana tahap kesiapsiagaan persekitaran sekeliling kita dalam menyokong Masyarakat umum ketika detik krisis,” tambah Cik Susan.
“Menerusi penyediaan unit AED ini di pelbagai lokasi awam dan korporat, kami berharap untuk memupuk budaya mengutamakan keselamatan yang lebih kukuh, di mana tindakan semasa kecemasan dianggap sebagai sebahagian daripada ilmu pengetahuan dan perancangan harian, bukannya sesuatu yang dipandang penting hanya selepas kejadian berlaku.”
Menerusi inisiatif ini, SMCV terus menyokong penjagaan kesihatan yang proaktif dan kesiapsiagaan masyarakat, sekali gus menegaskan komitmennya untuk memastikan bantuan menyelamat nyawa lebih mudah diakses, tepat pada masanya, dan berimpak tinggi bagi seluruh rakyat Malaysia.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan umum, sila hubungi talian +603 9772 9191 atau e-mel ke smcvenquiry@sunway.com.my.
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline kecemasan SMCV di +603 9772 9111, manakala perkhidmatan ambulans SMCV boleh dihubungi di talian +6010-266 7386. Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity, sila layari laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Rujukan
- https://www.e-mjm.org/2025/v80n2/out-of-hospital-cardiac-arrest.pdf
- https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21736-cardiac-arrest
- https://codeblue.galencentre.org/2025/04/malaysias-out-of-hospital-cardiac-arrest-survival-below-5-study/#:~:text=%E2%80%9CBoth%20Korea%20and%20Singapore%20have,in%20public%20or%20commercial%20buildings.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
