KelabMama

Ambil Tahu! 5 Perkara Penting Sebelum Puasa 6 Bulan Syawal dan Perdebatan Tentangnya

Mama Siti rasa macam dah lama sangat tak kemaskini ilmu pasal puasa sunat yang satu ini. Pentingnya beramal dengan ilmu ni, kita tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang dari agama.

Jadi kali ini, Mama Siti akan sama-sama kongsikan mengenai makna puasa enam, lafaz niat hinggalah menjawab isu menggabungkan puasa sunat dengan puasa wajib.

Jom, ikut Mama Siti.

Apa Itu Puasa 6 Bulan Syawal?

Puasa sunat enam hari di bulan Syawal yang dilakukan sama ada secara berturut-turut atau berselang seli bermula pada hari kedua bulan Syawal. 

Sebabnya, hari pertama bulan Ramadan ialah hari yang diharamkan berpuasa bagi orang Islam. Ini kerana ianya dianggap sebagai hari kemenangan orang Islam. 

Jadi, semua orang mesti merayakannya dengan makan makanan dari rezeki yang dikurniakan Allah SWT pada hari raya Aidilfitri.  

Pendek kata selagi bulan Syawal masih ada, selagi itu Mama ada peluang buat puasa enam. Mama nak puasa enam hari terus boleh, nak selang-seli pun tak ada masalah. 

Lafaz Niat Puasa 6 Bulan Syawal

Kredit gambar: Pexels

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ سِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

‘Nawaitu Souma Ghodin ‘An  Sittatin Min SyawWaLin Sunnatan Lillahi Taala’

Maksudnya: Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari syawal kerana Allah Taala.

Setelah berniat di dalam hati ingin berpuasa enam pada esok hari, Mama teruskan dengan membaca lafaz niat puasa enam di bulan Syawal. 

Mama Siti sertakan bacaan Arab dan rumi sekali untuk membantu mereka yang belum mahir membaca lafaz dalam bahasa Arab. 

Cara Pelaksanaan Puasa 6 Di Bulan Syawal

Jangan bimbang soal hari nak mula dan habiskan puasa enam. Mana-mana hari di dalam bulan Syawal pun dibenarkan berpuasa. 

Puasa enam hari di bulan Syawal boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli selain pada hari raya pertama. 

“Macam mana Mama Siti tahu boleh puasa enam selang-seli?”

Oh, Mama Siti rujuk portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menjawab persoalan ini. Kesimpulan itu diambil berdasarkan dua pendapat imam terdahulu. 

Salah satunya ialah dari Al-Imam Ibn Qudamah. Di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: 

“…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan sama ada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlak tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”

Ada Tak Dalil Sahih Puasa 6 Bulan Syawal Ni?

Kredit gambar: Freepik

Mazhab Hanafi, Syafi’i dan Hanbali sama-sama bersepakat menyatakan puasa enam hari di bulan Syawal ialah sunat yang sangat dituntut pelaksanaannya. 

Ketiga-tiga imam mazhab itu membuat kesimpulan berdasarkan hadis Rasulullah SAW melalui perawi iaitu sahabat baginda sendiri.  

Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, berpuasa enam di bulan Syawal bukanlah hal yang janggal di negara-negara asia tenggara seperti Brunei dan Indonesia. 

Kelebihan dan Hikmah Puasa 6 Bulan Syawal

Kredit gambar: Freepik

Jika Mama berpuasa enam hari di bulan Syawal, Mama bakal menerima ganjaran pahala seolah-olah melakukan ibadah itu sepanjang tahun. 

Sangat banyak peluang yang Allah SWT kurniakan kepada hambaNya untuk kita terus meningkatkan amal ibadat. 

Riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Selain itu, puasa enam pun ada menyimpan banyak hikmah yang disebalik penganjurannya. 

Pertama, menyempurnakan kekurangan dalam ibadat. 

Kredit gambar: The Walrus

Di sekolah rendah dulu, ustazah ada beritahu kami tentang tujuan wujudnya ibadat sunat. 

Ketika itu, barulah Mama Siti tahu rupa-rupanya amalan sunat itu adalah untuk melengkapkan lompong-lompong dalam ibadat wajib atau fardu.

Kedua, tanda kepada penerimaan puasa Ramadan. Kata sebahagian ulama; 

” Sesiapa yang beramal dengan amalan baik dan kemudian dia melakukan satu lagi amalan baik, maka itu ialah penerimaan amalan baik yang pertama. Sepertimana jika seseorang melakukan kebaikan kemudian dia melakukan kejahatan, maka itu ialah tanda amalan baiknya yang tadi tidak diterima.” 

Ketiga, menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. 

Kredit gambar: UK Islamic Mission

Mama ingat tak dalam surah Hud; ayat 6, Allah ada berfirman 

مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا وَيَعۡلَمُ مُسۡتَقَرَّهَا وَمُسۡتَوۡدَعَهَاۚ كُلّٞ فِي كِتَٰبٖ مُّبِينٖ

Maksudnya: “dan tiadalah suatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya” 

Apa yang kita ada hari ini datangnya dari Allah. Kalau Dia tak izinkan rezeki itu sampai kepada kita, tiadalah apa yang sedang kita nikmati sekarang. 

Keempat, mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pada akhirnya, di dunia ini kita sebenarnya hanya mengharapkan keredaan Allah SWT. 

Moga-moga dengan ibadat puasa sunat enam di bulan Syawal, Allah mengizinkan banyak hal-hal baik berlaku kepada diri kita di dunia dan di akhirat kelak. 

Dunia itu alat, bukan matlamat. Sentiasa jadikan frasa ayat ini sebagai pedoman agar kita menjadikan dunia sebagai tempat mencari bekalan akhirat.

Hukum Gabungkan Puasa 6 dengan Puasa Ganti

Kredit gambar: CTV News

Setiap tahun topik menggabungkan puasa ganti iaitu qada dengan puasa enam di bulan Syawal akan menjadi persoalan berbangkit. 

Demi menjernihkan kekeliruan ini, Mama Siti dapatkan rujukan dari dua ulama tanah air. Individu pertama ialah Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan individu kedua ialah penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus. 

Kedua-duanya ada menjelaskan perbezaan pendapat oleh imam-imam fikah terdahulu yang berpendapat boleh dan tidak boleh. 

Namun begitu, kedua-dua tokoh agamawan itu mengambil kesimpulan hukum menggabungkan puasa enam dengan puasa ganti (qada) adalah dibenarkan dan memperoleh ganjaran pahala kedua-duanya. 

Tetapi, terdapat tambahan bagi isu ini; Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ustaz Azhar Idrus, masing-masing menyatakan bahawa yang terbaik adalah dengan mengasingkan puasa enam dan puasa ganti. 

Perkara ini disokong oleh kaedah fikah iaitu; 

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا

Maksudnya: “Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).”

Kredit gambar: Freepik

Wah, Mama nampaknya berminat nak puasa enam tahun ni ya. Alhamdulillah, baguslah. Boleh geng dengan Mama Siti.

Sekarang Mama dah tahu beberapa perkara penting tentang puasa enam Syawal. Semoga dengan ilmu ini, puasa enam pada tahun ini jadi lebih bermakna.


Dapatkan lebih banyak informasi keagamaan dan amal ibadat di SINI!