KelabMama

PROSEDUR BERCERAI PASANGAN MUSLIM

Walaupun perceraian bukanlah matlamat dalam perkahwinan, namun realitinya ramai pasangan yang berhadapan dengan kes perceraian masih tidak tahu apakah yang perlu dilakukan apabila mengalami situasi tersebut.

 Jika telah nekad ingin bercerai anda boleh terus ke Mahkamah Syariah berhampiran (di mana lokasi anda tinggal). Contohnya, kalau tinggal di Putrajaya pergilah ke Mahkamah Syariah Putrajaya, jika di Shah Alam pergilah ke Mahkamah Rendah Shah Alam. Bagi tujuan pendaftaran kes, hanya Pemohon sama ada suami atau isteri perlu hadir ke Mahkamah memandangkan ia hanya untuk mendaftarkan kes. Dapatkan borang mohon untuk bercerai dan isi. Bawa bersama surat nikah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan dan lain-lain yang berkaitan jika nak pasti apa perkara perlu sila berhubung dahulu (telefon) mahkamah berkenaan.

Selepas hantar borang suami/isteri akan diberi tarikh panggilan ke mahkamah (sebutan/bicara) dalam tempoh 21 hari. Suami/isteri juga boleh dapatkan khidmat rundingan dari Pegawai Sulh. Apabila di perlukan (kalau perlu kena mohon hadir majlis sulh). Biasanya terus sebutan/bicara. Kalau suami setuju cerai biasanya kes ringkas dan diakhiri lafaz cerai, namun jika tidak mungkin isteri perlu pinda kes kepada mohon cerai taklik atau fasakh mengikut alasan yang berkaitan. Alasan taklik ikut lafaz taklik di belakang surat nikah, alasan fasakh lihat seksyen 52 Akta Keluarga.

Seksyen 52. Perintah Untuk Membubarkan Perkahwinan Atau Untuk Fasakh

(1)Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

[Pin. Akta A902:s.16]

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain:

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

[Pin. Akta A828:s.5]

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

(1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.

[Mas. Akta A902:s.16]

(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.

(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

 

SELAIN FASAKH

 Jika wanita memfailkan perceraian fasakh tetapi suami tidak bersetuju untuk menceraikan. Adakah terdapat pilihan lain selain daripada perceraian Fasakh?

 Di mahkamah syariah, banyak lagi pilihan perceraian yang jauh lebih efektif, efisien dan menjimatkan masa serta kos guaman. Perceraian sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak, mestilah berlaku dalam sebaik-baik keadaan dan tidak mendatangkan dharar kepada mana-mana pihak. Maka, perceraian di bawah Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) adalah kaedah perceraian yang paling efektif dan dapat memelihara aib kedua belah pihak (suami dan isteri).Dari segi prosedur, permohonan perceraian di bawah seksyen ini tidak melibatkan surat cara yang banyak mahupun saksi. Sebaik sahaja saman berjaya disampaikan kepada suami dan suami bersetuju untuk bercerai, maka mahkamah syariah akan mengarahkan suami melafazkan cerai di dalam mahkamah setelah mendapati perkahwinan tersebut pecah-belah. Mudah, cepat dan efisien jika kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.

   

SUAMI TIDAK BERSETUJU

Sekiranya suami tidak bersetuju dengan perceraian tersebut dan suami hadir ke mahkamah syariah, maka mahkamah boleh mengarahkan suatu jawatankuasa pendamai dilantik untuk mewakili pihak-pihak. Jawatankuasa pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama di pejabat agama Islam daerah sebagai pengerusi, seorang wakil suami dan seorang wakil isteri. Di peringkat jawatankuasa pendamai ini, mahkamah akan memberikan keutamaan kepada saudara dan ahli keluarga terdekat.

 Wakil-wakil mereka hendaklah berusaha berbincang dan berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh jawatankuasa ini dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut arahan mahkamah.Jawatankuasa pendamai ini hendaklah memanggil dan memberi peluang kepada suami dan isteri menyatakan pendapat dan memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan. Di peringkat ini tiada kelibat peguam syarie dibenarkan bertindak atau menghadiri sesi tersebut dan perbincangan adalah eksklusif di antara pihak-pihak, wakil pihak-pihak dan pengerusi sahaja. Sekiranya pihak-pihak berjaya didamaikan, maka permohonan perceraian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan kebebasan pihak-pihak untuk memfailkan semula permohonan yang sama. Bagaimanapun sekiranya pasangan gagal didamaikan atau suami enggan melafazkan cerai, maka mahkamah hendaklah merujuk kes tersebut kepada hakam. Mahkamah juga boleh melantik jawatankuasa pendamai yang baru jika mahkamah tidak berpuas hati dengan pengendalian  jawatankuasa yang sedia ada.

 

FUNGSI HAKAM, JAWATANKUASA PENDAMAI?

                Hakam diperuntukkan dengan jelas di bawah Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 di bawah akta yang sama. Hakam juga terdiri daripada kalangan saudara-mara terdekat iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pihak-pihak untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri tersebut. Pelantikan hakam dibuat setelah mahkamah berpuas hati perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak dalam tempoh perkahwinan tersebut selepas selesai urusan perdamaian di peringkat jawatankuasa pendamai gagal atau menemui jalan buntu.

                Hakam hendaklah berusaha mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipalnya (hakam suami daripada suami dan hakam isteri daripada isteri). Malah hakam suami boleh diberi kuasa melafazkan talak bagi pihak suami. Sesi perbincangan menerusi hakam ini juga tertakluk kepada arahan mahkamah dan hendaklah mengikut hukum syarak. Jika Hakam berpendapat pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian kerana sebab lain, Mahkamah boleh melantik hakam yang lain untuk proses yang sama.

                Jika hakam di pihak suami enggan melafazkan cerai tetapi meminta perceraian dibuat secara tebus talak dan hakam isteri bersetuju, mahkamah juga boleh mengarahkan perceraian tersebut dilakukan secara tebus talak. Kesemua prosiding ini termasuk hakam akan mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun untuk selesai sekiranya pihak-pihak memberikan kerjasama yang baik dan suami hadir ke mahkamah.

                Namun demikian, sekiranya pihak suami gagal menghadirkan diri dan tidak melantik sebarang hakam, maka prosiding ini tidak boleh diteruskan. Ketika itulah pilihan atau talian hayat yang lain boleh diteruskan sama ada melalui proses fasakh atau taklik. Uniknya, prosiding di bawah Seksyen 47 ini juga tidak memerlukan pihak-pihak untuk membuat pelantikan Peguam Syarie atau diwakili oleh peguam syarie melainkan pihak-pihak merasakan ia suatu keperluan. Malah tiada saksi yang akan dikemukakan di peringkat prosiding ini berbanding dengan tuntutan fasakh dan taklik yang bergantung kepada keterangan saksi untuk menguatkan kes.

 

CELIK UNDANG-UNDANG

                Apa yang penting adalah pelantikan serta pemilihan wakil baik di pihak jawatankuasa pendamai mahupun hakam mestilah mereka yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan keluarga atau kerabat terdekat tetapi juga mereka yang memahami hukum syarak dan bersedia menerima arahan Mahkamah. Kos yang terlibat di dalam permohonan ini juga hanyalah kos pemfailan sahaja dan jumlahnya di bawah RM100!

 

 

Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia