KelabMama

Preggophiles Mengancam Kehidupan Wanita Hamil

Antara saat-saat terindah yang sering dinantikan setiap wanita yang mendirikan rumah tangga ialah mengandungkan zuriat sendiri dan menantikan kelahiran si kecil. Sudah menjadi kebiasaan sesetengah wanita hamil memuat naik gambar ketika mereka hamil ke media sosial. Normal lah kan untuk berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan yang lain. Niat di hati hanya ingin kongsikan berita gembira, tapi tahukah Mama ada mata-mata liar yang memerhatikan anda dengan niat lain. 

Tahukah anda, dalam satu kajian terhadap kandungan pornografi atas talian, telah mendapati carian bahan tidak bermoral berkaitan wanita hamil telah meningkat sebanyak 20% sejak tahun 2014!

Berdasarkan laporan yang dikongsikan Fatherly.com, terdapat sekelompok manusia (biasanya lelaki) dikatakan mempunyai nafsu berahi yang aneh. Golongan ini dikatakan mudah terangsang melihat wanita hamil, atau lebih tepat lagi apabila mereka melihat baby bump. Kalau individu yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak dipanggil ‘Pedophiles‘, mereka ini dipanggil ‘Preggophiles’ atau ‘Maiesiophilia’. 

Lebih menggerunkan lagi apabila laman web yang sama turut mendedahkan bahawa carian kandungan lucah dengan perkataan ‘pregnant’ berada di kedudukan 107 paling popular di Amerika Syarikat!

Apakah punca-punca wujudnya individu ini?

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Journal of Sexual Medicine, berikut merupakan punca-punca wujudnya individu seperti ini:

  1. Pendedahan awal kepada proses kehamilan. 
  2. Anak yang lebih tua dalam sesebuah keluarga, yang pernah menyaksikan proses kehamilan ibu dan kelahiran adik-beradik lebih cenderung menjadi preggophiles. 
  3. Hormon testosteron juga mempengaruhi naluri berahi terhadap wanita hamil.

Ahli terapi ketagihan seks, Michael Aaron berkata, 

Kewujudan kelompok ini kami percaya adalah proses turun-temurun. Mungkin ada sesuatu yang berlaku sejak mereka kecil lagi sehingga mencetuskan rasa berahi pada wanita hamil,

Kami belum dapat melengkapkan kajian penuh kami, begitupun data-data menunjukkan bahawa lelaki mempunyai kelaziman yang lebih tinggi terhadap simbol-simbol yang boleh merangsang nafsu berahi. Ini termasuklah perut wanita hamil dan payu dara perempuan,

Michael Aaron

Selain itu, perubahan-perubahan fizikal pada wanita hamil juga antara perkara yang menarik perhatian golongan ini kerana bagi mereka, wanita hamil lebih cantik daripada wanita biasa. 

Preggophiles di Malaysia

Sumber: Harian Metro

Kalau Mama ingat, topik ini juga pernah menjadi satu itu hangat di negara kita. Menurut laporan Harian Metro pada 2018, terdapat lebih 100 halaman kumpulan yang bertindak mengumpul dan menyebarkan gambar wanita berpakaian seksi,, termasuk ibu hamil untuk dijadikan tatapan lelaki hidung belang yang tidak malu!

Preggophiles ini juga dikatakan telah menubuhkan kumpulan di aplikasi Telegram dan WhatsApp sebagai medium perkongsian video serta gambar ibu hamil sebagai objek pemuas nafsu. Walaupun ibu-ibu hamil tersebut menutup aurat dengan sempurna, bagi si preggophile, ia masih dapat memuaskan nafsu binatang mereka. Apa yang lebih menakutkan ialah, preggophiles ini sukar untuk dikesan.

Nasihat untuk Mama

KelabMama nak nasihatkan Mama agar berhati-hati ketika memuat naik sesuatu gambar. Untuk yang Muslim, mungkin anda berasa anda sudah tutup aurat dengan sempurna, namun jangan fikir anda selamat ya! Sentiasa berhati-hati dan adalah lebih baik untuk Mama kongsikan gambar tersebut dengan ahli keluarga terdekat sahaja. Takut menjadi mangsa mereka yang bernafsu binatang.