KelabMama

PNEUMOKOKAL ANCAM KANAK-KANAK. CEGAH SEBELUM TERLAMBAT!

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit radang paru-paru (pneumonia) membunuh lebih ramai kanak-kanak daripada penyakit lain, lebih tinggi berbanding AIDS, malaria dan demam campak (measles). Mengikut perangkaan, lebih dua juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia setiap tahun, menyumbang kepada hampir satu dalam lima kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun, di seluruh dunia. Bermula dengan demam biasa atau batuk serta bersin ringan, jangkitan yang mampu membawa maut ini menyerang kanak-kanak bawah umur lima tahun dan bayi kerana sistem imunisasi golongan ini yang belum cukup kuat. Ramai ibu bapa menyangka ia penyakit biasa seperti selesema dan boleh dirawat dengan ubat batuk serta paracetamol yang dibeli di farmasi hinggalah keadaan bertambah buruk. Ketika itu, baru mereka mendapatkan rawatan daripada doktor.

Penyakit pneumokokal adalah penyebab utama penyakit serius dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia. Malah, ramai kanak-kanak di dunia mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokal. Ia biasa ditemui dalam hidung dan tekak. Bakteria ini sangat mudah berjangkit apabila anda batuk, bersin, atau terkena rembesan pernafasan. Gejala jangkitan pneumokokus agak sama dengan selesema atau demam. Ini menyukarkan penyakit ini dikesan pada tahap yang lebih awal.

Jika bakteria ini masuk ke dalam saluran darah, ia boleh menyebabkan bakteremia (jangkitan darah). Bakteremia boleh menyebabkan kejutan septik, satu keadaan yang boleh mengancam nyawa. Bakteria boleh menyerang selaput otak dan menyebabkan inflamasi yang dinamakan meningitis. Meningitis mengakibatkan kesan yang paling teruk. Risiko kematian atau kerosakan otak akibat jangkitan ini adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak, terutama sekali yang berumur bawah lima tahun. Tanda-tanda meningitis termasuk pening kepala, muntah-muntah, sawan, demam panas dan dalam kes paling teruk, pesakit tidak sedarkan diri. Pneumokokus juga boleh menyebabkan otitis media (jangkitan pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (keradangan sinus). Jika penyakit ini menyebabkan otitis media, gegendang telinga akan bengkak dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada pesakit selain demam dan gangguan tidur.

KUMPULAN BERISIKO

PENYEBAB

DIAGNOSIS

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

VAKSIN SI KECIL

Cara terbaik untuk melindungi keluarga anda daripada penyakit pneumokokal adalah melalui vaksinasi. Menurut WHO, jangkitan pneumokokal adalah punca kematian daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Pneumokokus adalah punca utama kematian akibat pneumonia. Lebih 50 peratus kematian akibat pneumonia adalah disebabkan oleh pneumokokus. Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko tinggi mendapat jangkitan yang boleh membawa maut ini dan kajian yang diterbitkan tentang jangkitan pneumokokus menunjukkan kadar morbiditi (penyakit) dan mortaliti (kematian) adalah paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah dua tahun.

Vaksinasi menentang penyakit pneumokokal invasif (IPD) adalah strategi penting untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan morbiditi kerana ia boleh mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti dan mengurangkan penularan bakteria. Suntikan vaksin Pneumococcal walaupun bukan satu suntikan wajib kepada anak-anak kecil, sebenarnya perlu kerana dapat menolong mencegah rangkaian jangkitan-jangkitan lain. Justeru, langkah ini dapat mengurangkan penyakit berkenaan daripada terus merebak secara berbahaya kepada komuniti lain. Kadangkala kita tidak tahu tahap keseriusan kanak-kanak yang mengalami demam atau batuk yang berpanjangan kerana kemungkinan besar adalah penyakit yang lebih berbahaya daripada yang disangkakan.

Pengambilan vaksin pneumokokkal boleh diambil oleh bayi seawal usia dua bulan dan pengambilannya adalah selang masa 10 tahun. Untuk pesakit yang sudah sembuh dari penyakit ini juga boleh mengambil suntikan vaksin. Mereka yang sudah mendapat vaksin ini jika terkena jangkitan sama pada masa akan datang biasanya hanya jangkitan ringan kerana tubuh mereka sudah ada ‘kubu’ pertahanan daripada kuman berkenaan. Bagi mereka yang sudah dijangkiti pneumonia, ada kemungkinan mereka juga boleh mendapat jangkitan berulang sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan. Kanak-kanak yang berisiko tinggi seperti sejarah asma dalam keluarga dan kelahiran pramatang, selain pendedahan di tempat sesak dan ramai orang, tempat berhabuk dan asap rokok turut meningkatkan risiko jangkitan.

 

 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia