KelabMama

“Habiskan belajar dahulu,” Pesanan Hebat Khairul Aming Pada Anak Muda Buktikan Beliau Pempengaruh Sebenar

Siapa yang tak kenal Khairul Aming? Mama Siti, kalau teringin nak masak menu yang belum pernah cuba, Khairul Aming adalah salah seorang yang Mama Siti akan cari untuk belajar resepi. Resepi yang diberikan sangat mudah difahami, ringkas, kemas, dan sentiasa sedap!

Malam tadi Khairul Aming baru sahaja memenangi julukan “Creator of The Year” di TikTok Awards Malaysia 2023.

Kredit gambar: ohbulan.com

Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 31, berkata, walaupun ramai menjangkakan kemenangannya, tetapi ia masih lagi sesuatu yang tidak dijangka.

“Ia masih lagi menjadi kejutan sehingga saya menitiskan air mata. Saya berharap kemenangan ini akan membuka ruang buat lebih ramai pelapis di masa akan datang untuk tampil sebagai content creator.” katanya.

Katanya lagi, anugerah ini umpama hadiah buat ibu bapa dan pasukan Sambal Nyet yang diusahakannya.

“Terima kasih kepada mak, arwah ayah dan pasukan Sambal Nyet. Kalau ayah dapat tengok saya terima anugerah ini mesti dia berbangga sebab sudah lapan tahun saya bekerja keras.” katanya.

Walaupun sedang bergembira dengan pencapaian anugerah, Khairul Aming tidak lupa untuk mengingatkan pengikut-pengikut dan para Netizen untuk meneruskan pelajaran.

Khairul Aming Menyeru Pemuda Menamatkan Pelajaran

Ucapan kemenangan yang diberikan selepas dinobatkan sebagai “Creator Of The Year” di TikTok Awards Malaysia meninggalkan kesan kepada peminat dan pengguna-pengguna TikTok.

Ramai yang bersetuju dengan pesanan dititipkan beliau kepada anak-anak muda yang bercita-cita untuk menjadi pencipta kandungan (content creator).

Dalam ucapan ringkas malam tadi, Khairul Aming memberikan nasihat yang sangat jelas kepada anak muda bahawa biar setinggi langit sekalipun hasrat untuk menjadi personaliti media sosial, mereka perlu mengutamakan untuk menghabiskan pengajian terlebih dahulu.

“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya keluar nanti boleh jadi pencipta kandungan berkualiti. Content creator ini bukan sekadar viral sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan terutama untuk menyelesaikan masalah,”

kata Khairul Aming, pempengaruh (influencer) yang sentiasa meniadi perhatian khalayak netizen.

Apa makna di sebalik pesanan ini?

Trend menjadi content creator bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan pemuda pemudi di seluruh Malaysia. Kebanyakan mereka beranggapan menjadi content creator sebagai satu ‘kerja mudah’ yang boleh menjana pendapatan yang lumayan, tidak menyedari realiti tidak seindah mimpi.

Paling merisaukan, sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) pada 2021 mendapati seramai 180,680 atau 48.74% pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada tahun 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16% tidak berminat menyambung pelajaran.

Hal ini disokong pula oleh beberapa influencer media sosial yang turut ‘berkempen‘ mengatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya, dan dengan semudah “mengikut” jejak langkah mereka, boleh ‘menjamin’ kehidupan.

Mungkin ada kebenarannya di sebalik kejayaan beberapa pempengaruh media sosial yang telah melalui proses hidup yang pelbagai, membolehkan mereka mencapai ‘kejayaan‘ pada definisi mereka.

Hakikatnya, menjadi influencer ini turut datang bersama ‘pakej kebertanggungjawaban’ yang tinggi seiring dengan para Netizen yang mengikuti mereka.

Apa kata Khairul Aming?

Sebaik sahaja tamat siaran langsung TikTok Awards Malaysia, Astro AWANI berkesempatan bertemu dan menemubual Khairul Aming.

Secara peribadi, Khairul Aming yang berusia 33 tahun berpendapat, beliau risau akan trend yang wujud dalam kalangan pengguna TikTok yang lebih muda.

“Mereka ada keinginan untuk belajar, tetapi pada masa sama, mereka juga mahu cepat jadi viral. Saya terpaksa mengumpul kekuatan sebelum mengungkapkan mesej berkenaan sebentar tadi (ketika diumum sebagai pemenang).”

“Bagi saya, biarlah apa orang kata, yang penting saya mahu anak Malaysia yang lebih hebat mencipta kandungan yang menginspirasikan buat sema pengguna,” jelas Khairul Aming yang mempunyai jumlah pengikut seramai 3.7 juta orang di akaun Instagram.

Apa yang kita boleh belajar daripada Khairul Aming?

Menerusi ucapan beliau, kita harus sedar, untuk menjadi seorang content creator bukanlah satu perkara mudah dan memerlukan ilmu, skill, dan dedikasi yang tinggi.

Khairul Aming mengambil masa 8 tahun untuk menggapai kejayaan sekarang! Bukanlah sesuatu yang mudah dan ianya tidak menentukan kejayaan dalam jangka masa panjang.

Pembelajaran akademik bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan tentang bidang yang dipelajari, malah akan membina kematangan, pengetahuan-pengetahuan lain dan menajamkan kebolehan yang sedia ada.

Jadi, untuk anak-anak, dan adik-adik, jangan ingat akademik merupakan perkara yang tidak diperlukan. Kalau nak tambah pelbagai ilmu jangan lupa hidupkan notifikasi untuk pelbagai info menarik Mama Siti akan kongsikan.


Mama Siti kongsikan pelbagai info dan berita terkini di SINI.