KelabMama

Persiapan Untuk Hamil Khusus Untuk Wanita yang Baru Berkahwin

ingin mengandung

Melahirkan cahaya mata adalah satu keajaiban. Bagaimanapun, proses ini kemungkinan diiringi pelbagai kerumitan. Kita bersyukur kerana perkhidmatan kesihatan yang baik di negara kita telah meningkatkan peluang bayi untuk lahir dengan sihat dan normal. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa salah satu faktor utamanya ialah status kesihatan si ibu itu sendiri. Kebanyakan wanita tidak melalui proses yang sukar dan akan melahirkan bayi dengan normal dan sihat. Bagaimanapun, sesetengah wanita mempunyai faktor-faktor risiko yang mungkin akan mendatangkan masalah. Sehubungan itu pakar kesihatan mencadangkan agar anda berbincang dan mendapatkan kaunseling perubatan sebelum mengandung supaya faktor-faktor risiko ini dapat dikenal pasti dan dikawal.

RUJUK PADA YANG PAKAR

Kaunseling perubatan sebelum mengandung memberi peluang kepada anda berbincang dengan doktor tentang rancangan anda untuk menimang cahayamata. Ia juga merupakan masa yang baik untuk mendapatkan nasihat perubatan tentang sebarang gejala atau petanda masalah kesihatan yang anda alami. Jika anda menghidap penyakit seperti epilepsi, tekanan darah tinggi atau diabetes, rawatan anda mungkin perlu diubah sebelum mengandung. Jika anda mempunyai sakit jantung, anda mesti mendapatkan penjelasan doktor sama ada anda boleh mengandung atau tidak kerana ia mungkin menjejaskan kesihatan anda.

Doktor anda juga akan meneliti sejarah kesihatan anda dan keluarga anda bagi mengenal pasti sebarang masalah kesihatan secara keturunan yang boleh menjejaskan kandungan atau nyawa anda. Dengan mengamalkan gaya hidup yang positif dan kerjasama erat dengan doktor, anda boleh memberikan cahayamata anda permulaan yang baik. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian apabila membuat perancangan untuk menimang cahaya mata.

Seelok-eloknya wanita harus melahirkan anak sebelum berusia tiga puluhan. Walaupun anda masih boleh mengandung dan melahirkan cahaya mata yang sihat selepas umur tersebut, tahap risiko anda meningkat terutama selepas usia 35 tahun. Wanita berusia 35 tahun ke atas lebih cenderung mendapat tekanan darah tinggi, diabetis atau fibroid (ketumbuhan bukan barah) di dalam rahim. Bayi yang dikandung juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat sindrom Down dan lain-lain keganjilan kromosom. Jika anda berusia lebih 35 tahun, anda memerlukan perhatian perubatan yang lebih apabila mengandung.

Jika anda merokok, sekarang adalah masa untuk berhenti. Merokok boleh membahayakan bayi walaupun dia masih di dalam kandungan. Antara lain, merokok mengecutkan pembuluh darah yang seterusnya mengurangkan bekalan darah dan oksigen kepada bayi di dalam rahim. Ini meningkatkan risiko keguguran, kematian di dalam rahim, kelahiran tidak cukup bulan, berat badan yang rendah ketika lahir dan serebral palsi. Anda juga perlu tahu bahawa pengambilan alkohol itu sendiri (dan bukannya jumlah alkohol yang anda minum) boleh menyebabkan kerencatan mental bayi. Oleh itu, jika anda merancang untuk mengandung, hentikan pengambilan alkohol.

Bahagi berat badan anda (kg) dengan ketinggian ganda dua (meter2). Jawapan yang anda perolehi adalah indeks jisim tubuh anda (BMI). Jika anda terlebih berat badan (BMI 25 atau lebih) atau kurang berat badan (BMI di bawah 18.5), anda dinasihatkan supaya berusaha untuk mendapatkan berat badan yang sesuai (BMI 18.5-24) sebelum mengandung. Ibu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes cenderung untuk mendapat penyakit seperti diabetes dan hipertensi yang akan membahayakan nyawa ibu dan bayi.

Diabetes juga boleh mengakibatkan keganjilan struktur (terutama di bahagian saraf tunjang dan jantung) di dalam bayi, manakala tekanan darah tinggi boleh membantutkan tumbesaran fetus, menyebabkan bayi dilahirkan lebih kecil dari normal. Ibu yang berlebihan berat badan sebaliknya mungkin melahirkan bayi yang lebih besar dari normal. Ibu yang kurang berat badan pula boleh melahirkan bayi tidak cukup bulan atau bayi yang kurang berat badan yang mempunyai risiko tinggi untuk mengalami masalah-masalah lanjut semasa atau selepas dilahirkan.

Status pemakanan yang baik memastikan badan anda berupaya memberikan khasiat secukupnya kepada bayi di dalam kandungan. Jika anda tidak mengamalkan tabiat makan yang sihat, tukar gaya hidup anda. Berikan lebih perhatian kepada makanan yang kaya dengan zat besi dan asid folik, kerana mikro-nutrien ini amat penting. Zat besi penting untuk bekalan darah, dan pengambilannya perlu ditambah semasa mengandung.

Kekurangan zat besi semasa mengandung boleh menyebabkan anemia kepada si ibu yang boleh mengakibatkan kehilangan darah berlebihan semasa bersalin. Makanan yang kaya zat besi termasuklah limpa, daging tanpa lemak, bijirin sarapan pagi yang diperkaya dengan zat besi, kekacang kering (seperti dhall), produk berasaskan kacang soya dan buah-buahan kering. Asid folik pula memainkan peranan dalam membina sel-sel darah baru.

Kekurangan asid folik boleh menyebabkan kecacatan tiub neural (seperti spina bifida dan anenkefali) kepada bayi. Asid folik boleh didapati dengan memakan sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning, limpa, legum dan kekacang dan makanan diproses (seperti bijirin sarapan pagi) yang telah diperkaya dengan vitamin. Oleh kerana badan anda memerlukan mikro-nutrien ini dengan kadar yang tinggi, doktor anda mungkin akan memberikan anda asid folik tambahan seawal sebulan sebelum mengandung sehinggalah dua bulan kehamilan.

Selain pemakanan yang secukupnya, anda juga perlu memastikan badan anda bersedia dan boleh melalui proses mengandung, sakit melahirkan anak dan melahirkan anak. Doktor anda perlu mengetahui kiraan darah penuh, jenis darah dan status rhesus. Semua ini boleh diketahui dengan menjalankan ujian darah.

Darah yang diambil turut diuji bagi mengetahui tahap imuniti dan status jangkitan penyakit-penyakit seperti rubella, Hepatitis B, HIV dan sifilis. Jika ujian darah anda positif bagi penyakit-penyakit berkenaan, doktor anda akan memberi kaunseling dan rawatan yang sesuai.

Semua langkah di atas akan membantu menyediakan diri anda untuk mengandung. Di samping itu, anda juga perlu mendapatkan imunisasi. Minta imunisasi rubella dan Hepatitis B sekiranya anda tiada imuniti. Rubella boleh mengakibatkan pelbagai kecacatan kepada bayi termasuk pekak, buta, kecacatan jantung, terencat akal dan sebagainya. Hepatitis B boleh mengakibatkan kerosakan hepar, kegagalan hepar atau barah hepar.

Menimang cahayamata adalah satu saat yang amat bermakna di dalam kehidupan berumahtangga. Persediaan yang lengkap membantu anda memberikan permulaan yang baik kepada bayi.