KelabMama

Perkembangan Bayi 5 Bulan Dari Aspek Fizikal, Sensori dan Kognitif Yang Mama Harus Tahu

Sumber: berkeluarga.id

Satu Malaysia terkesan dengan pemergian seorang ibu yang berjuang untuk kelangsungan hidup anakandanya, Almarhumah Siti Sarah Raissuddin yang tewas dengan serangan Covid-19.

Semoga rohnya diampuni, diredhai Yang Maha Pengasih dan digolongkan ke dalam golongan orang-orang beriman. Mama Siti tak berniat untuk menulis tentang pemergian yang dicemburui itu, tetapi Mama Siti terkenangkan akan kehidupan yang bakal Shuib dan anak-anak Almarhumah lalui tanpa kehadiran isteri dan ibu tercinta. Subhanallah, hanya Allah Yang Maha Tahu apa yang mereka rasakan. 

Coretan hari ini, Mama Siti berbesar hati hendak berkongsi perihal perkembangan bayi 5 bulan buat manfaat semua ibu ayah di luar sana. Tempoh hari, Mama Siti ada kongsikan perkembangan bayi 3 bulan sebagai panduan ibu ayah.

Tinggi harapan Mama Siti agar coretan pengalaman yang tidak seberapa ini membantu sedikit sebanyak ibu ayah untuk memantau perkembangan si comel yang berubah dari bulan ke bulan.  

Melihatkan anak-anak yang semakin membesar, terasa terlalu pantas masa berlalu. Dari si kecil yang lemah tak berdaya hinggakan setiap perkara diiringi tangisan, rasa sekejap sangat mereka sudah pun belajar berlari dan memanjat. Itulah kitaran waktu yang sering kita, ibu ayah, terlepas pandang dalam mengisi masa yang hadir. 

Usia bayi 5 bulan adalah usia perantaraan untuk ibu dan anak di mana waktu yang ibu ayah perlu lebih bersedia untuk perubahan yang lebih besar dalam kehidupan bayi apabila menjengah usia 6 bulan nanti. 

Antara perkembangan bayi pada usia 5 bulan termasuklah: 

Perkembangan Fizikal 

Walaupun ukuran fizikal bayi bersifat individualistik, data yang dikumpulkan oleh World Health Organization (WHO) mungkin boleh dijadikan panduan dalam mengukur perkembangan si manja.  

Kebanyakan bayi berusia 5 bulan mempunyai panjang dalam lingkungan 70cm hingga 80 cm. Berat badan bayi pula tidaklah berubah secara mendadak dari umur 3 bulan ke 5 bulan.

Secara puratanya, bayi berusia 5 bulan berukuran seberat 5.6kg hingga 8.1kg. Purata ukur lilit kebanyakkan bayi yang berusia 5 bulan ialah di antara 40cm hingga 45cm. Kebiasaannya, bayi lelaki mempunyai fizikal yang lebih besar berbanding bayi perempuan. 

Kredit: sehatq.com

Data yang dikongsikan ini bukanlah refleksi kepada sihat atau tidak seseorang bayi. Jika bayi ibu ayah mempunyai masalah dalam tumbesaran fizikal, Mama Siti percaya, doktor pakar pasti akan dapat mengesannya. 

Perkembangan Motor 

Perkembangan motor bayi adalah tumbesaran dan kekuatan tulang dan otot bayi yang membolehkan bayi bergerak. Kebiasaannya, perkembangan motor bayi ini juga sudah boleh diramal mengikut usianya. 

Pada usia 5 bulan, bayi ibu ayah akan mula berpusing dan meniarap. Si peringkat awal, ibu ayah dinasihatkan untuk sentiasa memantau bayi, kerana lehernya mungkin masih belum mahir untuk menegakkan kepalanya hingga boleh membuatkan bayi tertumus ke lantai.

Pada waktu tidur malam pun, jika bayi tidak tidur di katil bayi atau masih berkongsi katil dengan ibu ayah, pastikan bayi tidak tidur sendirian dan terlalu dekat dengan hujung katil. Risau nanti, bayi akan tergolek jatuh semasa tidur tanpa kita sedari. 

Ibu ayah juga akan menyaksikan  bayi 5 bulan sudah mula menggerak-gerakkan otot kakinya dan bersedia untuk belajar menolak badannya semasa meniarap. 

Perkembangan Sensori 

Selari dengan perkembangan motor, perkembangan sensori bayi juga akan tambah berkembang mengikut usia. Bayi akan lebih peka dengan keadaan sekelilingnya daripada sentuhan, penglihatan, rasa, bau dan pendengaran. 

Bayi 5 bulan boleh melihat lebih jauh dari sebelum ini. Bayi sudah boleh menfokuskan anak mata tanpa menjulingkan mata mereka. Bayi juga sudah boleh membezakan warna-warna di sekelilingnya. 

Sumber: halodoc.com

Ketika usia 5 bulan, selari dengan kebolehan motor bayi yang lebih kuat, ibu ayah akan mendapati si manja sudah mula melihat sesuatu objek dengan lama dan akan cuba untuk menggapai objek tersebut perlahan-lahan.

Mungkin adalah baik untuk ibu ayah membelikan permainan yang berwarna-warni dan mempunyai tekstur berbeza untuk mengaktifkan deria sentuhan bayi.  

Perkembangan Kognitif 

Perkembangan kognitif bayi adalah cara otak bayi berfungsi dengan menghubungkan kemahiran fizikal dan sensori yang selari dengan usia mereka. Bayi memerlukan bantuan ibu ayah untuk mengaktifkan kemahiran kognitif mereka. 

Pada usia 5 bulan, ada bayi yang boleh mengikut mimik muka ibu ayah. Mereka juga sudah mula faham fungsi mulut dan bunyi serta sudah mula belajar untuk menghasilkan bunyi dan ‘bercakap’.

Bayi juga sudah mula faham sepatah dua perkataan yang biasa didengarinya berulang-kali seperti ‘ma-ma’, ‘pa-pa’ serta intonasi tertentu seperti ‘haip!’ ‘no!’ dan sebagainya. 

Tips Penjagaan Bayi 5 Bulan

Walaupun kebanyakan ibu bekerja sudah pun kembali bekerja di kala bayi berusia 5 bulan, ini bukanlah bererti hubungan intim yang telah ibu jalinkan semasa cuti berpantang akan menjadi lebih ‘renggang’.

Eratkanlah hubungan yang terjalin sejak dari dalam rahim lagi dengan bersungguh-sungguh sedaya upaya untuk memberi si manja susu badan. Ya, mungkin akan timbul banyak masalah dan kekangan, tetapi, Mama Siti yakin, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, InsyaAllah. 

Bayi ibu ayah yang meningkat ke usia 5 bulan akan menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling jika ibu ayah lebih banyak berinteraksi secara verbal dengannya. Jangan terlalu biarkan dia bergolek sendirian.

Biasakan berbual dan memanggil namanya dengan lebih kerap dan berulang kali. Bayi akan mula belajar untuk respon dan mencapai tangannya jika dia dapat mengidentifikasi namanya dipanggil dan siapa yang memanggil. Sambutlah tangan comel itu bila dia cuba mencapai. 

Namun demikian, pastikan nada dan intonasi yang ibu ayah gunakan dengan nada yang lembut dan bersesuaian. Jangan terlalu tinggi hingga boleh menakutkan si bayi.

Sumber: haibunda.com

Banyakkan senyum di hadapannya dan bergurau-senda serta mengagah-agah. Bayi 5 bulan sudah pandai respon pada agahan dan bahasa badan yang mesra. 

Pastikan bahan dan material yang berdekatan dengan bayi sentiasa di dalam keadaan bersih. Bayi sudah bijak untuk mencapai dan risau jika kotoran dan bakteria yang ada pada bahan-bahan yang dicapainya melekat pada jari-jemari halus itu dan boleh menyebabkan punca bayi mendapat jangkitan.

Mama Siti percaya, ibu ayah pasti akan lebih teruja apabila si bayi melangkaui usia 6 bulan nanti. Hargailah setiap saat sepenuhnya, kerana saat itu akan berlalu tanpa kita sedari. Bayi kecil itu tak berharap pada mainan ratusan ringgit, yang mereka dambakan ialah ibu ayah yang hadir dan duduk terbaring bersama mereka.