KelabMama

Perkembangan Bayi 3 Bulan Yang Wajib Mama Tahu

Kredit: berkeluarga.id

Setiap bayi melalui proses tumbesaran yang berbeza. Namun, trend dan coraknya  hampir sama dari satu bayi dengan yang lain. Contohnya, kebanyakan bayi berusia setahun, sudah mula belajar untuk berdiri dan berjalan. 

Papa mama haruslah cakna dan ambil tahu perihal perkembangan bayi masing-masing. Ini dapat membantu sebarang abnormaliti dapat dikesan dan dipantau dari peringkat awal lagi. 

Apabila bayi memasuki usia tiga bulan, pasti mama papa akan berasa sangat teruja. Maklumlah, waktu inilah bayi anda akan menunjukkan perubahan yang lebih ketara daripada sebelumnya.  

Si manja akan mengalami perubahan ketara dari segi rupa dan tubuh badan. Bayi akan mula melakukan pelbagai kemaharan-kemahiran lain seperti senyum lebar, menggenggam tangan dan sebagainya. Jika tidur mama papa banyak terganggu pada tiga bulan pertama kelahiran, mungkin ia akan berubah menjadi lebih positif dan tenang. 

Kredit: kumparan.com

Berikut, Mama Siti kongsikan perkembangan bayi yang berusia 3 bulan untuk rujukan mama papa. 

Perkembangan Bayi 3 Bulan

Perkembangan Fizikal 

Secara fizikalnya, mungkin mama mendapati berat bayi agak menurun di minggu pertama dan dua kelahiran. Namun demikian, perubahan ketara pasti akan berlaku apabila bayi menjangkau umur tiga bulan.

Merujuk data daripada  World Health Organization (WHO),  tumbesaran fizikal bayi boleh diukur mengikut panjang bayi, berat badannya dan ukur lilit kepala bayi. Kebanyakannya, bayi lelaki akan didapati lebih besar daripada bayi perempuan. 

Secara purata panjang bayi berusia 3 bulan ada di dalam lingkungan 56cm hingga 65cm. Kebanyakkan bayi 3 bulan berukuran seberat 4.5kg hingga 7kg. Mengikut norma, berat bayi bertambah sebanyak 200g sehari berbanding dengan berat kelahirannya. Purata ukur lilit kebanyakkan bayi yang berusia 3 bulan ialah di antara 37cm hingga 43cm. 

Mama tak perlu risau jika bayi mama tidak seperti data purata yang dikongsikan. Masih terlalu awal untuk menilai. Yang terbaik adalah mendapatkan nasihat pakar. 

Perkembangan Motor 

Mama papa pasti akan asyik melihat pergerakan-pergerakan si bayi apabila bayi menjangkau 3 bulan. Si comel yang tidak banyak bergerak sebelum ini akan mula belajar untuk mengerakkan bahagian-bahagian badannya yang tertentu.

Kredit: Mama Nana

Di usia 3 bulan, mama akan mendapati kepala, leher dan bahu si manja sudah semakin tegap dan kuat. Semasa menyusukan bayi, kepalanya sudah mula boleh diangkat sendiri. Ada juga bayi yang sudah boleh menggerakkan bahunya cenderung ke sebelah kiri atau kanan. 

Waktu menukar lampin mungkin akan sedikit mencabar berbanding sebelumnya. Si bayi sudah mula menggerak-gerakkan kaki kiri dan kanan dan cuba untuk menendang udara. Bayi berusia 3 bulan juga sudah mampu untuk menggerakkan kaki hingga menyebabkan mereka mampu bergerak ke hadapan dan kebelakang di posisi berbaring. Pastikan ibu lebih berhati-hati dan tidak meletakkan bayi terlalu rapat dengan hujung katil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini. 

Perkembangan Sensori 

Bayi yang berusia tiga bulan lebih peka dengan keadaan sekelilingnya. Sistem penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa akan mula berfungsi dengan aktifnya. 

Bayi sudah boleh nampak kelibat orang dan benda yang ada di sekelilingnya. Jika mama menggantungkan permainan sekurang-kurangnya 20cm daripada bayi, bayi mama sudah mampu untuk menggerakkan anak mata mengikut pergerakan alatan permainan yang digantung itu. 

Kredit: alodokter.com

Sistem pendengaran bayi juga sudah dapat mengesan bunyi sekeliling termasuklah agahan kecil papa mama, bunyi air paip mengalir, dan nada lagu lembut yang dialunkan.

Jika dibaringkan, mama akan menyaksikan si comel cuba menggerak-gerakkan telapaknya dan mendekatkan ke muka. Ini adalah interaksi perkembangan motor dan sensori yang akan bayi lalui semasa berusia 3 bulan. 

Perkembangan Kognitif 

Perkembangan kognitif adalah perkembangan yang berlaku di dalam otak bayi. Kemahiran kognitif membantu bayi untuk mengenal, mengingat, fokus dan memahami alam baru yang sedang mereka hadapi selepas alam rahim. Perkembangan kognitif yang sihat akan menyumbang kepada perkembangan motor dan sensori bayi.

Di samping itu juga, bayi berusia 3 bulan juga sudah mempamerkan emosi dan mengaktifkan kemahiran sosialnya. Si manja akan mula belajar untuk tersenyum, seronok apabila ada yang bermain dengannya dan menangis jika dibiarkan sendiri. Bayi sudah mula berkomunikasi dengan mimik muka dan pergerakan badan. 

Tips Penjagaan Bayi 3 Bulan

Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan bagi bayi yang berusia tiga bulan untuk mendapatkan imunisasi dos kedua vaksin yang melindungi daripada virus Difteria, Tetanus dan Pertusis (DTap) dan Polio. 

Di samping itu, ada tanda-tanda lain yang boleh mama papa ambil perhatian dalam memantau perkembangan bayi tercinta. Walaupun setiap bayi berbeza tahap perkembangannya, dapatkan pandangan pakar jika mama papa nampak tanda-tanda berikut pada bayi berusia 3 bulan:

Bayi di usia 3 bulan akan tidur lebih nyenyak berbanding semasa di dalam pantang. Semasa tidur, sel-sel otak bayi akan berhubung dan berkembang dengan aktifnya. Ambil peluang untuk berehat, mama. Ya, Mama Siti faham, bayi kecil memang agak meletihkan, tetapi, ketenangan di raut wajah kecil itu pasti mengatasi segalanya.