KelabMama

Ketahui Perkembangan Tumbesaran Bayi 2 Bulan Dari Segi Fizikal, Sensori, Kognitif Dan Lain-lain

Pejam celik, sedar tak sedar, bayi comel yang baru kita lahirkan itu sudah pun masuk bulan kedua hadir menceriakan hidup kita. Secara keseluruhannya, yang kelihatan dengan mata kasar tidak banyak yang berubah pada si bayi berbanding ketika dia berusia satu bulan. Malah, mungkin ada yang membuat kesimpulan yang bayi cuma mampu makan tidur makan tidur sahaja.Tetapi, Mama Siti yakin, ramai antara ibu ayah menjadi saksi betapa pantas masa berubah. 

Jadi, apakah perubahan-perubahan yang akan ibu ayah saksikan ketika bayi di peringkat umur 2 bulan ini? Berikut adalah perkembangan bayi 2 bulan Mama yang ingin Mama Siti kongsikan supaya dapat dimanfaatkan bersama-sama.

Peringkat Perkembangan Fizikal Bayi 2 Bulan

Berat dan tinggi bayi pasti akan bertambah kerana selera menyusunya bertambah sekurang-kurangnya 8 kali sehari. Waktu menyusu juga menjadi lebih panjang dan dianggarkan bayi akan menyusu antara 780 – 840ml di dalam masa 24 jam. Bayi ibu ayah juga akan lebih banyak berjaga di siang hari dan tidur lena di malam hari. Bayi terjaga di tengah malam kerana lapar minta disusu juga adalah perkara normal. 

Bayi juga akan kerap bertukar membuang air kecil berbanding membuang najis. Najis bayi pula lebih lembut dan sedikit berair di peringkat ini. Bagi bayi yang mengambil susu formula, najis bayi mungkin lebih keras.  

Dari sudut pandang perkembangan motor yang akan berlaku pada bayi 2 bulan termasuklah:

  1. Kebolehan mengangkat kepala dengan tegap.
  2. Mula menolak dengan lengan ketika dibaringkan dalam keadaan tertiarap.
  3. Pergerakan kaki dan tangan yang semakin aktif.
  4. Mula memasukkan jari ke mulut.

Peringkat Perkembangan Sensori & Kognitif Bayi 2 Bulan

Bayi berusia 2 bulan akan lebih peka dengan keadaan persekitarannya. Penglihatannya sudah semakin jelas dan ini dapat dipastikan apabila pandangan si manja Mama akan menjejaki dan mengikut susuk badan ibu ayah. Penglihatan bayi 2 bulan juga akan lebih cepat bergerak balas dengan pergerakan-pergerakan alatan mainan. 

Bayi Mama juga sudah mula mengenal orang-orang di sekelilingnya melalui suara, susuk tubuh dan bau.  

Deria pendengaran bayi masih lagi berkembang dan di usia 2 bulan ini, bayi akan lebih peka dengan bunyi yang kuat hingga membuatkan bayi terkejut dan boleh menangis. Mama dan Papa digalakkan menggunakan nada suara yang lembut dan belailah si manja kerana ini dapat menenangkan bayi anda. 

Peringkat Perkembangan Pertuturan & Bahasa Badan Bayi 2 Bulan

Selain daripada menangis, bayi sudah mula belajar untuk menghasilkan bunyi-bunyi vokal halus dari kotak suara mereka. Sama seperti di usia 1 bulan, bayi juga akan menangis jika memerlukan sesuatu, dan ia juga sudah belajar untuk menangis bagi meluahkan emosi takut, lapar, mengantuk atau tidak selesa. 

Bayi berusia 2 bulan juga sudah pandai senyum dan pastinya penat macammana pun ibu ayah, senyum si manja itu pasti menjadi penawar yang menenangkan. 

Menguap, menguak dan meregangkan badannya adalah antara tanda-tanda dalaman bayi terangsang pada keadaan sekelilingnya. 

Tips Penjagaan & Berinteraksi Dengan Bayi 2 Bulan

Bayi berusia 2 bulan ini masih sensitif pada kuman dan bakteria dan mudah mendapat jangkitan. Pastikan orang dewasa yang hendak merapi si bayi sentiasa dalam keadaan bersih dan tangan dibasuh bagi mengurangkan risiko jangkitan. 

Peluk, dukung dan belailah si manja sekerap yang mungkin. Waktu-waktu sebegini, bayi sangat memerlukan sentuhan kasih sayang dan berasa selamat. Berbuallah, menyanyi bersama dan bacalah buku-buku serta alunan-alunan merdu zikir dan Al-Quran sebagai halwa telinga bayi.

Percayalah, tiada istilah terlalu memanjakan anak ketika ibu ayah meluangkan masa yang banyak dengan bayi anda. 

Anak seusia 2 bulan ini masih belum boleh diberi makan selain dari susu. Pastinya susu ibulah susu yang terbaik untuk pertumbuhan yang sihat dan baik. Mama Papa sudah boleh memantau waktu menyusu anak, dan kejutlah dia dari tidur yang lena di tengah malam untuk disusui supaya badannya dapat membesar dengan sihat. 

Jangan terlalu biasakan anak tidur bersendirian di dalam buai, bouncer ataupun kerusi bayi, Hadkanlah masa mereka dalam penggunaan alat-alat ini. 

Yang juga harus dititikberatkan juga ialah rehat yang mencukupi untuk si ibu. Bayi berusia 2 bulan mungkin lebih cenderung untuk menjadi lebih cerewet, dan kerap menangis berbanding sebulan yang lalu. Sokongan dari Papa dan ahli keluarga yang lain pasti dapat membantu si ibu yang masih lagi berpantang dan dalam dilema antara letih dan resah apabila bayi mula meragam. Keadaan emosi yang tidak stabil pada ibu pastikan akan terkesan kepada bayi juga. 

Perkara Yang Mama Papa Harus Take Note Untuk Bayi 2 Bulan

Pastikan bayi Mama dibawa bertemu pakar untuk pemeriksaan rutin apabila memasuki usia 2 bulan. Doktor akan memeriksa tahap perkembangan fizikal bayi termasuklah melakukan pemeriksaan mata, degup jantung dan nadi, kekuatan peha dan pergerakan-pergerakan bayi. Pastikan imunisasi bayi juga lengkap diberi.

Ada banyak kes kematian bayi secara mendadak yang juga dikenali sebagai SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) berlaku ketika usia bayi antara 2 hingga 6 bulan. Kebanyakan punca kematian tidak dapat diketahui kerana ia melibatkan banyak faktor dan kemungkinan. 

Namun begitu, ibu ayah boleh memantau bayi anda dan segera dapatkan rawatan doktor sekiranya tanda-tanda berikut kelihatan:

  1. Cara pernafasan bayi yang tidak normal, atau lebih laju daripada biasa.
  2. Berlaku kekejangan ketika demam.
  3. Reaksi alahan yang melampau.
  4. Suhu badan yang tinggi, namun tangan dan kakinya sejuk.
  5. Bayi menjadi pendiam dan lesu walaupun suhu badan berada di tahap normal.
  6. Bayi tidak mahu menyusu.
  7. Bayi tidak bangun dari tidur walau dikejutkan, atau berhenti bernafas secara tiba-tiba.

Mama Siti rasa cukup untuk perkongsian Mama Siti kali ini. Mama Siti akhiri dengan madah untuk sama-sama kita renungi:

Hadirnya si anak di dalam hidup insan pastinya merubah segala-galanya. Ia memberi alasan kukuh untuk ibu ayah bangun dan bersedia menghadapi hari mendatang bersama-sama. Raikanlah waktu indah ini sebaik mungkin.