KelabMama

Perkembangan Tumbesaran & Milestone Bayi 1 Bulan

Tahniah buat Mama yang baru melahirkan bayi comel dan masih berpantang. Pasti Mama dan Papa bersyukur dengan kehadiran insan teristimewa setelah berada lebih kurang 9 bulan 10 hari di dalam rahim ibu. 

Mama Siti yakin semasa proses kehamilan, setiap bulan Mama dan Papa memantau tahap perkembangan bayi, kan? Namun, semangat dan rasa teruja itu masih belum terpadam apabila melihat tangan halus dan kulit licin gebu si comel yang kini berada di dalam dakapan. 

Alhamdulillah, kali ini Mama Siti ingin berkongsi dengan para ibu dan ayah perihal perkembangan bayi, bermula seawal 1 bulan. 

Ya, jangan terkejut, walaupun masih berusia 1 bulan, banyak proses perkembangan yang si manja akan lalui dan Mama dan Papalah yang akan menjadi saksi setiap adanya. 

Peringkat Perkembangan Fizikal Bayi 1 Bulan

Sejak dakapan pertama hinggalah memasuki bulan pertama kehidupan, bayi akan mengalami perubahan fizikal, walaupun tidak begitu ketara. 

Pakar kanak-kanak menyatakan berat bayi akan turun 5% – 7% pada minggu pertama kelahiran. Malah, ada juga kes yang mana bayi yang menyusu kehilangan berat badan sehingga 10%. Tetapi, Mama dan Papa jangan risau kerana berat bayi akan kembali semula di minggu kedua kelahiran dan akan meningkat sebanyak lebih 30g sehari selepas itu. 

Antara perkembangan motor bayi yang akan berlaku di peringkat ini termasuklah:

  1. Tangan comel bayi digenggam kemas, erat dan rapat. 
  2. Ada juga bayi yang mula menenangkan diri sendiri dengan menghisap jari ataupun genggaman penumbuk kecilnya.
  3. Kedua-dua kakinya akan mula digerakkan secara perlahan-lahan.
  4. Kepala akan terangkat sedikit apabila bayi didakap dan dibaringkan tertiarap di perut ibu. Bayi juga akan perlahan-lahan belajar untuk menegakkan kepala apabila Mama dan Papa cuba memberi sokongan pada kepalanya. 

Peringkat Perkembangan Sensori & Kognitif Bayi 1 Bulan

Seperti yang umum tahu, bayi memang sudah mula mendengar sejak dari dalam rahim ibu lagi. Maka, di bulan pertama ini, bayi akan lebih peka dengan bunyi sekeliling. Pendengarannya lebih jelas dan dia mungkin akan lebih mudah terkejut apabila mendengar bunyi yang agak kuat dari persekitaran. 

Deria bau dan rasa bayi juga sudah mula aktif sejak di dalam perut lagi. Di peringkat awal kelahiran ini, bayi akan lebih mengenali bau Mama dan Papa yang sentiasa ada bersamanya sepanjang waktu. Bau-bau tertentu ini membuatkan bayi berasa tenang apabila menghidunya. 

Bayi juga mampu fokus dengan objek-objek yang hampir dengannya. Penglihatan bayi masih kabur dan dia masih cuba untuk mengenali setiap warna, bentuk dan saiz objek yang kelihatan. Objek yang berwarna terang dan cerah lebih menarik perhatian bayi. 

Deria sentuhan di peringkat ini adalah yang paling kritikal sekali. Bayi amat mendambakan pelukan dan sentuhan lembut penuh kasih sayang di peringkat ini. Sentuhan kulit-ke-kulit menenangkan bayi dan membantu perkembangan positif untuk bayi secara keseluruhan.

Peringkat Perkembangan Pertuturan Bayi 1 Bulan

Seawal peringkat umur 1 bulan, bayi sudah mula ‘bersuara’ untuk berinteraksi dengan dunia barunya. Bayi akan menangis untuk berkomunikasi bagi menyatakan ketidakselesaannya. Dan di kala ‘mood’ bayi baik dan tenang, bayi juga sudah mampu mengeluarkan bunyi suara halus.

Selain dari menghasilkan bunyi suara, bayi juga akan menguap dan menggeliat yang menunjukkan tanda-tanda bayi tersimulasi dengan keadaan persekitaran dan dalam dirinya. Apabila didakap dan disentuh lembut, bayi akan rasa tenang dan diam sebagai tanda komunikasi yang dia berada dalam keadaan tenang dan selesa. 

Kredit: What to Expect

Tips Bermain & Berinteraksi Dengan Bayi 1 Bulan

Walaupun bayi masih belum mampu melakukan banyak perkara melainkan perkara-perkara asas seperti makan dan tidur, tidaklah bermakna Mama dan Papa tidak perlu berinteraksi dengan bayi. Malah, di peringkat seawal inilah Mama Papa perlu sentiasa berinteraksi dengan bayi untuk menghasilkan ikatan kukuh antara si manja dan Mama Papa di kemudian hari.

Mama Papa juga digalakkan untuk kerapa menyentuh dan memeluk si manja. Bayi sudah boleh merasakan sentuhan lembut Mama Papa dan berasa tenang. Dakap dan dukung lagi bayi selama mungkin.

Dakapan yang erat dan rapat membuatkan bayi berasa selamat seperti berada di dalam kandungan ibu. Jika mahu pergi berjalan-jalan, digalakkan Mama Papa menggunakan ‘sling’ bayi berbanding kerusi ‘carrier’ bayi. 

Elakkan daripada membiarkan bayi menangis terlalu lama dan kerap. Pujuklah semampu yang boleh dengan cara yang terbaik. Bayi tahu yang Mama sebenarnya sedang mencuba untuk beri penuh kasih sayang padanya dan dia cuba untuk memahami dan mengadapatasikan dirinya dengan dunia yang serba baharu untuknya ini. 

Kerap bercakap dengan menggunakan bahasa yang lembut dan menenangkan bagi si bayi. Bagi ibu bapa yang beragama Islam, alunkan zikir dan nasihat indah untuk halwa telinganya. Gunakan bahasa yang betul apabila berbicara, bagi membiasakan bayi untuk belajar bahasa bertutur yang betul di kemudian hari. 

Lihat ke dalam mata bayi semasa berbicara. Lontarkan ekspresi wajah yang pelbagai bagi membantu bayi menghubungkan bunyi dan bahasa yang ibu ayah gunakan dengan emosi daripada ekspresi wajah yang disertakan. 

Tanda Amaran Yang Mama Papa Perlu Risau Semasa Bayi 1 Bulan

Semakin hari, bayi akan lebih peka dengan keadaan sekelilingnya. Mama dan Papa juga akan mendapati perubahan-perubahan yang berlaku. Mama dan Papa dinasihatkan untuk memberi perhatian penuh kepada tanda-tanda yang memungkinkan bayi memerlukan bantuan dan nasihat pakar jika berlaku sesuatu yang tidak mengikut tahap perkembangannya.

Antara tanda-tanda yang Mama Papa perlu risau di peringkat ini termasuklah:

Sekiranya terdapat tanda-tanda tersebut pada si manja Mama, Mama Papa harus segera dapatkan nasihat pakar untuk pemeriksaan lanjut.


Sesungguhnya, anak itu adalah rezeki dan tanggungjawab untuk Mama Papa nikmati, hargai dan syukuri sebaik-baiknya. Selamat menempuh alam ibu bapa bersama bayi comel Mama. Jom baca perkembangan bayi 3 bulan pula!