KelabMama

Lagi Perkara Menarik Tentang Penubuhan Hari Malaysia Yang Mama Patut Ajar Pada Anak-anak

“Hari Jumaat nanti sekolah cuti ye, Mama?” soal si anak yang mungkin keliru setelah seminggu cuti sekolah, dan tak sampai beberapa hari bertemu kawan-kawan sekelas, cikgu buat pengumuman cuti lagi. 

“Ya, cuti Hari Malaysia,” jawab Mama, ringkas. 

“Hari Malaysia? Hari tu kan kita dah sambut Hari Malaysia? Kenapa ada dua kali Hari Malaysia?” soalnya yang menampakkan kekeliruan di wajahnya. 

Mama yakin, bukan anak bongsu Mama sahaja yang tak faham beza antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Walaupun anak-anak di ajar secara langsung di sekolah, mungkin mereka masih belum boleh menghayati sepenuhnya. 

Ini tips istimewa yang hendak Mama kongsikan dengan para ibu di luar sana:

Salah-satu perkara penting dalam mengajar sejarah kepada anak kecil ialah dengan mempersembahkan fakta-fakta menarik dan mudah difahami agar mereka berminat untuk tahu lebih lanjut lagi.

Jadi, kalau anak bertanya apa Hari Malaysia, Mama berbesar hati berkongsi 5 (lagi) fakta menarik tentang Hari Malaysia yang patut para ibu di luar sana sampaikan pada anak-anak. 

Fakta #1 Hari Malaysia bukan Hari Merdeka!

Orang dewasa mungkin faham perbezaan antara sambutan Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan Negara. Tetapi, perkara utama yang perlu kita ajar anak-anak ialah membezakan kedua-dua hari tersebut. 

Hari Kebangsaan disambut pada setiap 31hb Ogos, manakala Hari Malaysia pula pada 16hb September setiap tahun. 

Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan ialah hari di mana Tanah Melayu (iaitu negeri-negeri di Semenanjung Malaysia) bebas dari penjajahan British pada tahun 1957. Manakala, Hari Malaysia ialah hari  penubuhan Negara Malaysia yang terdiri daripada gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.

Fakta menarik: Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia, tetapi keluar daripada gabungan dan menjadi republik pada Ogos 1965!

Fakta #2 Bantahan penubuhan Malaysia dari negara-negara jiran

Sebenarnya, setiap perjalanan menuju kemerdekaan itu bukanlah suatu yang mudah. Para pemimpin, datuk-nenek dan moyang-moyang kita berjuang habis-habisan menuntut hak kebebasan untuk bangsa kita. Pahit ujian semua mereka tempuhi. 

Tahukah anda bahawa para pemimpin kita bukan sahaja berhadapan dengan pihak penjajah untuk menubuhkan gagasan Negara Malaysia ini? 

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Namun begitu, kerana mendapat bantahan dari negara Indonesia dan Filipina, Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963 pada pukul 7:30 pagi di Kuala Lumpur (Semenanjung Malaysia), Singapura, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Mama boleh baca artikel ini untuk kronologi pembentukan Hari Malaysia dengan lebih detail.

Kredit: Repict Blog

Fakta #3 Tiada cuti Hari Malaysia sehingga tahun 2010

Benar, sebelum tahun 2010, tiada cuti umum untuk seluruh rakyat Malaysia seperti Hari Kebangsaan. Hanya penduduk di Negeri Sabah sahaja yang akan bercuti pada 16 September sempena meraikan Hari Keputeraan Yang Di-Pertua Negeri Sabah. 

Namun, bermula pada tahun 2010, demi mengimarahkan semangat bangsa Malaysia, kerajaan telah mengumumkan cuti umum pada 16 September pada setiap tahun untuk seluruh negara. 

Fakta #4 Brunei ingin menyertai Malaysia

Pada awalnya, Kesultanan Brunei juga berminat dan menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia. Tetapi, disebabkan tentangan sistem penggiliran sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk sistem Raja Berperlembagaan meletakkan Sultan Brunei di tempat terakhir, serta isu masa depan royalti minyak asli, sebahagian rakyat Brunei menentang untuk bersatu. 

Fakta #5 Kebanggaan rakyat Malaysia

Walaupun di media sosial sering kita saksikan salah-faham antara kaum-kaum di Malaysia, sebagai rakyat Malaysia, didiklah anak-anak agar menjadi bangsa Malaysia bukanlah satu kekurangan, malah ia adalah satu keistimewaan. 

Kebanyakan para pelancong dan pelawat dari luar negara sangat kagum dengan keharmonian antara kaum yang wujud di Malaysia. Rakyat Malaysia ramai yang boleh berbahasa sekurang-kurangnya dua bahasa dan sangat tinggi toleransi sesama kita. 

Tahukah anda, selain daripada 3 kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, Malaysia merupakan tanah air kepada sebanyak kira kira 80 kaum etnik berbilang bangsa? Semuanya bersatu pada Hari Malaysia 16 September 1963, dan masih kekal bersatu sehingga hari ini. 

Marilah kita raikan Hari Malaysia tahun ini dengan sebenar-benarnya menjadi rakyat Malaysia selama 59 tahun dan moga kekal aman pada tahun-tahun mendatang. 

Tahniah Malaysia, Selamat Menyambut Hari Malaysia yang ke-59.