KelabMama

Perceraian: Anak-anak Bukan Mangsa! 12 Tips Kekal Berhubung Dengan Anak-Anak Setelah Berpisah

Perpisahan bukan perkara mudah kepada anak-anak dan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, Mama dan Papa hendaklah memastikan kesan perceraian tidak berlaku secara negatif terhadap anak-anak. 

Ikuti artikel ini untuk mengetahui tips kekal berhubung dengan anak-anak selepas perceraian. 

Kesan Perceraian Terhadap Anak-anak

Kredit gambar: Tembusu Law

Anak-anak dari keluarga yang bercerai juga turut mendapat tempias dari perceraian tersebut. Pertama sekali, perceraian memberi kesan terhadap emosi mereka dimana anak akan lebih sensitif dari biasa. 

Sedikit demi sedikit, anak juga akan mula berkurung di rumah dan menjauhkan diri dari orang sekeliling. Mereka malu jika ditanyakan tentang perceraian ibu bapanya, ditambah pula ada yang mengejek salah satu dari Mama atau Papa. 

Kesan perceraian juga berisiko mempengaruhi prestasi akademik anak-anak di sekolah, kolej dan universiti. Boleh jadi ini berlaku kerana perubahan dinamik dalam institusi keluarga dan kurangnya perhatian dari ibu dan bapanya. 

Tiga kesan perceraian yang Mama Siti kongsikan itu antara yang mengganggu anak-anak selepas perpisahan Mama dan Papa. Kerana itulah pentingnya kita menjaga kebajikan anak-anak selama proses perceraian hingga selesai. 

12 Tips Kekal Berhubung Dengan Anak-Anak Selepas Perceraian

#1 Jangan Culas Nafkah Anak

Kredit gambar: HarakahDaily

Mama Siti terpaksa letakkan tips ini di poin nombor satu kerana bab nafkah bukan hal main-main. Nafkah anak penting agar mereka tetap mendapatkan kehidupan yang baik selepas ibu bapanya berpisah.

Ianya juga demi menjaga kualiti pendidikan agar membesar menjadi individu yang berilmu. 

#2 Jangan Pisahkan Anak Dengan Datuk dan Nenek

Anak-anak juga ada hubungan yang rapat dengan datuk dan neneknya. Sekali sekala, bawa anak pulang ke kampung atau hadirkan datuk dan nenek dalam majlis-majlis tertentu bersama-sama si anak. 

#3 Manfaatkan Masa Sebaik Mungkin

Kredit gambar: The New Age Parents

Maksimumkan masa dengan anak-anak apabila tiba giliran berjumpa dengan bermain dengan aktiviti Super Kids dari Motherhood, mendengar mereka bercerita, membeli-belah dan banyak lagi. 

Sebenarnya anak lebih suka kalau ibu bapa mereka ada bersama-sama dalam satu masa walaupun sudah berpisah. Mama dan Papa cuba usahakan ya!

#4 Rumah Anda, Rumah Anak

Demi membuatkan anak rasa diraikan, Mama dan Papa sediakan sudut khas untuk anak dengan menghiaskannya seperti apa yang mereka inginkan. Sudut khas itu boleh jadi bilik, ruang dinding dan perincian yang buatkan mereka selesa. 

#5 Berkongsi Minat

Kredit gambar: Friends of Yates

Salah satu cara untuk kekal berhubung dengan anak selepas penceraian ialah melakukan aktiviti yang anak minat. Kaedah ini membantu Mama dan Papa berkomunikasi dengan lebih baik dan menikmati masa bersama-sama anak. 

#6 Lakukan Perubahan Positif

Semestinya anak juga terpaksa menerima perubahan dalam rutin hidupnya. Mama dan Papa hendaklah mulakan permulaan yang positif agar anak tidak rasa kekok menghadapi situasi sukar selepas perceraian. 

#7 Ingat Hari Istimewa

Ketahuilah bahawa anak akan ingat siapa yang hadir dalam hidupnya dalam peristiwa tertentu. Bapa yang selalu terlibat dalam hari-hari istimewa dalam hidup anak akan menjadikan mereka mempunyai lebih kawalan diri (self-control) dan yakin diri (self-esteem).

Hari istimewa tidak terbatas kepada sambutan hari lahir tetapi juga ketika anak menyertai pertandingan dan membuat persembahan di sekolah.  

#8 Hormati Bekas Pasangan

Kredit gambar: Raising Children Network

Pasangan Mama dan Papa mungkin sudah dianggap bekas pasangan tetapi anak-anak masih melihat kedua-duanya sebagai ibu dan bapa. 

Jadi, Mama dan Papa wajib menghormati antara satu sama lain agar menjadi contoh teladan buat anak-anak. 

#9 Terus Konsisten

Pentingnya berbincang dengan bekas pasangan tentang peraturan dalam mendidik anak untuk mengelakkan kekeliruan dalam diri anak-anak. 

Ingatlah bahawa kini Mama dan Papa sedang berkerjasama sebagai ‘co-parenting’ yang bertanggungjawab menggalas tugas membesarkan anak bersama-sama. 

#10 Tinggal Berdekatan

Kredit gambar: iProperty

Kebaikan tinggal berdekatan selepas bercerai ialah dapat mengurangkan kebimbangan anak terhadap kedua-dua ibu dan bapanya. 

Anak-anak boleh berjumpa dan menginap di rumah Mama dan Papa bila-bila masa yang mereka mahukan. 

#11 Buat Anak Selesa Dengan Orang Baru

Sampai masa, Mama dan Papa akan bertemu dengan orang baru untuk dijadikan pasangan hidup. Nasihat Mama Siti agar Mama selalu ambil perhatian terhadap reaksi anak terhadap orang-orang baru yang diperkenalkan kepadanya. 

Beri masa dan penjelasan tentang perkara ini. Katakan kepada mereka, Mama dan Papa tidak akan abaikan anak walaupun sudah berkahwin lain. 

#12 Terus Berusaha

Bukanlah semua kisah perceraian itu mudah dan seperti apa yang Mama Siti tuliskan. Ada banyak keadaan di mana salah satu dari ibu bapa tidak memberikan kerjasama selepas berpisah. 

Jangan putus asa! Mama dan Papa mungkin gagal menjadi pasangan yang baik tetapi nikmati peluang ini untuk jadi ibu bapa yang baik. 

Kredit gambar: Family Central

Kita bercerai dengan yakin ianya lebih baik dari hidup bersama-sama tetapi anak-anak masih perlukan Mama dan Papa sepanjang membesar.

Jadikan 12 tips kekal berhubung selepas perpisahan sebagai cara menjaga hubungan baik antara semua pihak.


Perbaiki insitusi kekeluargaan dengan doa untuk pasangan di SINI!