KelabMama

Apa Perbezaan Taska dan Tadika? Ini Mama Perlu Tahu

Setiap ibu bapa pasti nak yang terbaik untuk pendidikan awal anaknya. Terutamanya dalam pemilihan taska atau tadika yang bagus untuk si manja. Ditambah pula dengan lambakan pilihan yang ada mesti buatkan Mama dan Papa dalam dilema untuk menentukan perbezaan taska dan tadika.

Ada yang kata hantar ke tadika English medium supaya anak lebih pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Ada pula yang kata hantar je ke taska biasa kerana anak bukannya belajar sangat. Jadi yang mana satu pilihan Mama dan Papa? Taska atau tadika? Atau ada yang masih keliru dengan perbezaan taska dan tadika?

Kenapa dan bila perlu ke taska atau tadika?

Taska dan tadika adalah institusi sokongan untuk mama papa dalam proses mendidik anak yang semakin membesar. Banyak yang akan diperolehi daripada taska dan tadika. Anak akan mula diperkenalkan kepada asas nombor, abjad, bentuk dan banyak lagi. Tapi yang paling penting adalah mempelajari kemahiran bersosial dan kawalan emosi. Anak dapat belajar adab dan cara berkawan, berkongsi dan menyumbang kepada komuniti mereka. Skil ini penting untuk ditanam di dalam diri anak sejak kecil lagi.

Anak-anak boleh mula di hantar ke taska seawal umurnya 3 atau 4 tahun. Waktu yang sesuai untuk mama hantar anak ke taska atau tadika adalah mengikut kesediaan anak itu sendiri. Bukan sebab ikut trend ya.

kredit Berita Harian

Jika anak mama dah boleh melakukan perihal yang di senarai di bawah, mungkin dah tiba masanya untuk mama menghantar si manja ke taska:

#1 Anak sudah dilatih untuk ke tandas dan tak memakai lampin sepenuh masa.

#2 Anak boleh mengikut arahan yang diberikan kepadanya

#3 Anak boleh mengekspresikan dirinya dengan perkataan dan tahu apa yang dia mahu

#4 Anak boleh berdikari dan boleh berpisah dengan ibu bapa buat sementara waktu

#5 Anak boleh bergaul dengan kanak-kanak lain dengan tenang

Perbezaan Taska dan Tadika

Apakah itu Taska?

Sebenarnya taska dan tadika adalah dua institusi yang berbeza. Taska adalah singkat bagi nama Taman Asuhan Kanak-kanak. Dengan erti kata lain, ia bukan je menyediakan lebih dari pembelajaran formal sehari-harian. 

Taska adalah tempat atau pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak. Sebab itulah taska bukan je terbatas di satu bangunan khas, tetapi jika ada yang menyediakan pusat penjagaan di kawasan rumah persendirian juga tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan untuk pengurusan taska. 

kredit Kiddy123

Taska di Malaysia adalah diselenggara dan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Setiap pengurus taska wajib untuk menghadiri Kursus Asuhan Kanak-Kanak Asas (KAAK) sebagai syarat pendaftaran taska. 

Tiada modul khas yang dikhususkan untuk pembelajaran di taska. Kebanyakannya adalah atas inisiatif pihak taska sendiri. Mama boleh menghantar bayi sehingga anak berusia 4 tahun ke taska. 

Apa itu Tadika? 

Tadika adalah singkatan untuk Taman Didikan Kanak-kanak. Sesuai dengan namanya, tadika menyediakan platform untuk mendidik anak dan menyediakan anak sebelum melangkah ke alam sekolah. 

Berbeza dengan taska, tadika adalah diletakkan di bawah jagaan 3 kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; dan Jabatan Perpaduan Negara.

Tadika menjadi platform prasekolah untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Ia menyediakan aktiviti pembelajaran akademik dan ko-kurikulum yang khusus. Namun begitu, tiada apa-apa sekatan sama ada pembelajaran ingin dilaksanakan dalam apa-apa bahasa sekali pun, sama ada Bahasa Malaysia, Mandarin, India atau English.

kredit TVET JPK

KPM telah menetapkan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang sekurang-kurangnya perlu diikuti oleh pihak tadika. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemahiran dan fokus untuk pembangunan kemahiran sosial, intelek, fizikal, rohani dan nilai estetika kanak-kanak.

Oleh sebab ini jugalah, kelayakan untuk menjadi guru tadika taklah semudah penjaga taska. Kebanyakan guru yang mengajar di tadika terlatih dan mempunyai ijazah atau sarjana dalam pendidikan awal kanak-kanak. 

Di Malaysia, ada tadika yang menyediakan perkhidmatan taska di mana anak dijaga selepas tamat sesi pembelajaran sehingga Mama Papa tamat bekerja pada hari itu. 

Bagaimana hendak memilih yang terbaik untuk anak?

Memilih mana yang terbaik untuk anak, terutamanya bagi anak yang berumur antara 3 dan 4 tahun mungkin sesuatu yang mengelirukan. 

Sebenarnya, memilih tadika yang mana untuk si manja bukanlah sesuatu yang sukar. Sebelum membuat keputusan untuk memilih taska atau tadika mana yang terbaik untuk si manja, mungkin mama ingin memastikan perkara-perkara berikut terlebih dahulu:

#1 Objektif pembelajaran

Mama mungkin selesa dengan tak membebani si kecil dengan bahan-bahan ilmiah dan cukup sekadar dia mampu mengenali perkara asas seperti mengenal huruf dan nombor sahaja. Ada tadika yang fokus dalam pembelajaran dan ada yang lebih mengutamakan kemahiran lain seperti kemahiran sosial dan kemahiran motor. Jadi, mama mestilah tahu apa yang mama mahukan untuk si manja. Fahami modul dan kokurikulum yang disediakan oleh pihak tadika.

#2  Komuniti tadika

Semasa memilih tadika yang bersesuaian, mama mungkin akan lebih fokus pada sekolah dan sistem yang disediakan. Tapi mama juga hendaklah memberi perhatian pada komuniti tadika itu sendiri. Anak mama akan meluangkan masa yang lama di taska dan tadika. Jadi, mama ingin pastikan pusat taska atau tadika itu selesa dan sesuai untuk dijadikan ‘rumah’ untuk si manja.

#3 Cari guru yang memberi inspirasi

Sebelum memilih tadika untuk si anak, kenali tenaga pengajar yang akan mendidik anak kita. Cuba luangkan sedikit masa dengan bertanya beberapa soalan tentang cara dan prinsip yang diguna pakai oleh bakal cikgu anak Mama. Carilah guru yang berdedikasi dan mampu memberi inspirasi untuk anak agar terus memperkembangkan bakat yang ada pada diri mereka. 

kredit TVET JPK

#4 Seimbangkan pembelajaran akademik dan kokurikulum

Pengalaman terawal anak ke sekolah memberikan aras tanda untuk anak berkenaan keadaan sekolah secara keseluruhannya. Usahlah dibebani dengan terlalu banyak kerja sekolah atau pembelajaran akademik yang keterlaluan hingga anak tak suka ke sekolah. Secara tak langsung, kita sudah menanamkan pengalaman yang negatif di dalam minda dan pencarian ilmu sudah tak menjadi sesuatu yang dia mahu lakukan tetapi terpaksa dan tak ikhlas. Belajar seharusnya menjadi sesuatu yang menggembirakan.

#5 Lawat kawasan taska dan tadika

Sebelum meletakkan anak di mana-mana tadika atau taska, luangkan sebanyak mana masa yang diperlukan untuk melawat dan melihat sendiri cara pengurusan tadika tersebut. Ambil tahu cara pengurusan pelajar, waktu makan, bermain dan sebagainya. Fahami tindakan yang akan diambil oleh pihak tadika jika anak mempunyai masalah di dalam pembelajaran, sosial dan sebagainya. 

kredit TVS Sarawak

Semoga membantu!

BACA JUGA PILIH TADIKA UNTUK DIDIK ANAK BUKAN SEBAB NAK POPULARITI

Pesanan Mama Siti

Insyaallah, Mama Siti yakin, kita semua mahu yang terbaik untuk si manja kita. Mama Siti percaya, mama semua pasti mampu membuat perbezaan taska dan tadika yang sesuai, selamat dan bagus untuk anak mama.