KelabMama

PERANGAI ANAK USIA 2 TAHUN MENJENGKELKAN

Ada sesuatu mengenai anak berusia 2 tahun hingga 3 tahun ini yang anda perlu tahu. Mereka hidup di dalam dunia mereka sendiri. Mereka belum betul-betul faham dunia orang dewasa. Mereka kadangkala nampak berperangai buruk, campak barang, makan bersepah merata-rata, tendang dan jerit jika mereka tidak dapat apa yang mereka kehendaki.

Oleh itu bila orang dewasa tidak faham, mereka menuduh anak-anak kecil yang belum faham dunia ini dengan perlbagai tuduhan kepada ibu bapa mereka, seperti ‘tidak pandai mengajar anak’. Malah ada juga ibu bapa yang kerana tidak ada ilmu mengenai perkembangan anak-anak marah berlebihan akan anak-anak ini sehingga ada yang sudah memukul si kecil.

Lantaran itu anak-anak ini semakin keliru dan semakin masuk ke dalam ‘dunia’ dia. Jadilah anak ini membesar dengan keadaan begitu walaupun sudah berusia 4 atau 5 tahun masih di dalam dunia yang sepatutnya hanya untuk anak yang berusia 2  hingga 3 tahun. Fahamilah jika anak pada usia ini nampak macam berperagai buruk… ingat itu bukan perangai dia, itu adalah dia sedang mempelajari dunia dan bagaimana untuk berkelakuan baik.

Maka tunjukkan kepadanya dengan sabar. Jika dia menjerit, ambil tangan dan letak pada bibirnya memberi tanda tidak perlu menjerit. Jika ada masa bawa dia keluar untuk dia boleh bermain dan menjerit. Jika dia makan bersepah, maka letakkan tempat yang membolehkan dia makan di kawasan itu sahaja. Letak di kerusi baby atau sepertinya. Jika dia menendang, ambil lembut kakinya dan beritahu bahawa tidak perlu menendang jika mahukan sesuatu. Ajar dia untuk mengatakan ya atau tidak. Dan belajarlah bertanya seperti meminta izin sebelum dia melakukan sesuatu kepadanya.

Bila anak-anak kecil ini sudah belajar mengatakan ya atau tidak, sebagai tanda mereka boleh memilih serta ibu bapa menghormati perasaannya, maka situasi anak-anak itu menjerit, menendang, makan bersepah dan sebagainya akan cepat berhenti dan anda akan melihat anak-anak berusia 4 hingga 6 tahun yang mudah dibimbing.