KelabMama

Peranan & Tanggungjawab Sebagai Seorang Pengasuh

Pertambahan jumlah ibu yang bekerja terutamanya di pusat bandar telah menyebabkan permintaan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak taska semakin meningkat.  Pun begitu, pilihannya tetap ada. Ibu bapa juga boleh memilih untuk menghantar anak-anak atau bayi mereka ke rumah pengasuh.  Apa pun alasannya, yang pasti setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Bagi yang mempunyai ahli keluarga atau saudara mara yang sudi mengasuh anak anda, ia mungkin mendapat ketenangan hati dan fikiran apabila meninggalkan anak di bawah jagaan individu yang dikenali.

Namun, bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke rumah pengasuh yang baru dikenali, pastinya persoalan sama ada anak mereka diasuh dengan baik akan berlegar-legar di fikiran.  Ibu bapa pasti berasa senang hati sekiranya semua pengasuh mempunyai ilmu untuk mengasuh secukupnya. Bagi pengasuh ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengasuh yang amanah.

Peranan Penting Pengasuh

Seseorang pengasuh perlu sedar bahawa peranan mereka sama penting kerana mereka antara individu terdekat dengan kanak-kanak sepanjang ketiadaan ibu bapa mereka. Malah, masa kualiti mereka bersama kanak-kanak yang dijaga kadang kala lebih panjang berbanding kanak-kanak itu bersama ibu bapa. Kanak-kanak mempunyai pelbagai kerenah, kehendak dan perangai yang perlu diberi perhatian. Justeru, paling penting bagi seorang pengasuh itu adalah tidak hilang fokus sepanjang melaksanakan tanggungjawab mereka.

#Amanah Daripada Ibu Bapa Lain

Mereka perlu tahu bahawa mereka telah diamanahkan oleh ibu bapa untuk mengasuh dan menjaga seorang anak kecil. Seorang pengasuh mesti mendidik anak dari semua aspek termasuk fizikal, jiwa dan sebagainya. Pengasuh seharusnya memahami dengan baik beberapa ciri yang ada pada mereka. Kanak-kanak adalah amatur, kita tidak boleh anggap mereka tidak boleh buat salah. Walaupun mereka sering melakukan kesalahan, adalah penting untuk pengasuh dan ibu bapa memberi peluang kepada mereka kerana kita perlu ingat, kemahiran tidak akan lahir tanpa pengalaman.

Ibu bapa dan pengasuh perlu tahu bahawa setiap kanak-kanak berfikiran egosentrik, maknanya mereka suka lihat dari perspektif orang lain. Usia yang muda membuatkan pengalaman mereka terhad, mereka akan belajar menerusi pemerhatian. Lagi muda seseorang anak itu lagi sukar dia memahami perspektif orang lain. Kesimpulannya asuhan itu penting bagi menjadikan mereka lebih bertanggungjawab, matang, berdisiplin dan bersifat memahami.