KelabMama

Peranan Ibu Bapa Yang Penting Dalam Mendidik Anak. Mama Papa Paling Dekat dengan Yang Mana?

Sumber: Canva

Ibu bapa memainkan peranan untuk membesarkan anak dengan menjadi seorang yang berjaya dan berbudi bahasa. Anak-anak adalah satu anugerah dan tanggungjawab yang diberikan kepada ibu bapa. Amatlah berharga apabila ibu bapa memainkan peranan untuk menjadi contoh dan teladan yang baik untuk anak-anak mereka.

Mama Siti ingat lagi masa pertama kali mendapat berita kehamilan dan terus risau memikirkan bagaimana cabaran menjadi seorang ibu bapa. Ye, tak senang Mama. Tapi sangat worth it!

Kenapa penting sangat membesarkan anak yang bijak dan berbudi bahasa? Ini adalah kerana anak melambangkan didikan ibu bapa apabila mereka berada di sekolah ataupun diluar bersama masyarakat.

Sumber: istock

Sebagai ibu bapa, Mama dan Papa perlu pertimbangkan bahawa anak-anak mempunyai keunikan mereka sendiri dan harus sabar dengan setiap dugaan. Ini akan menyebabkan kematangan emosi antara ibu bapa dan anak-anak dan seterusnya melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan dihormati.

“Setiap anak adalah seorang seniman. Masalahnya sekarang bagaimana tetap menjadi seorang seniman apabila sudah dewasa.”

– Pablo Picasso.

Adakah wujudnya panduan yang sempurna untuk mendidik anak-anak? Semestinya terdapat pelbagai cara dan pendapat tentang membesarkan anak.

Terdapat juga pelbagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan anak-anak. Akan tetapi, anak-anak mempunyai ciri-ciri dan keunikan mereka tersendiri. Oleh sebab itu, Mama dan Papa perlu melaraskan didikan mengikut keperluan anak-anak. Jangan ikut apa yang Mama dan Papa nak je tau!

Sumber: istock

Senarai Peranan Ibu Bapa untuk Membesarkan Anak

Dalam membantu kecemerlangan anak-anak, Mama dan Papa seharusnya memberi didikan yang betul dan secukupnya. Ini adalah untuk memastikan perkembangan fizikal dan mental mereka membesar dengan sempurna.

Dibawah merupakan peranan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak yang boleh dijadikan panduan Mama dan Papa, terutamanya yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

#1 Menerapkan nilai-nilai murni

Bermula dengan tempat tinggal yang selamat dan sihat, nilai-nilai murni menjadi teladan yang harus diterapkan pada anak-anak yang sedang membesar. Keluarga yang penuh dengan nilai murni dan bahagia menyumbang kepada persekitaran yang selamat.

Hubungan Mama dan Papa dengan anak-anak sangat memberi kesan dan memainkan peranan utama kepada pembesaran anak-anak dari segi mental dan fizikal. Menjaga percakapan, baik hati, menghormati, berani, dan berdikari adalah nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seorang anak yang bijak dan berbudi bahasa.

#2 Mengajar mendengar arahan

Selepas itu, untuk mendidik anak-anak untuk mendengar arahan, Mama dan Papa hendaklah mula membimbing mereka dari kecil supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan arahan yang diberi.

Ia akan menghasilkan anak yang berdikari dan bijak untuk membuat keputusan. Mendengar arahan bukan sahaja berlaku dia rumah, malah ia akan berlaku dimana-mana sahaja tidak mengira masa.

Apabila berlaku kecemasan juga, mereka harus mendengar arahan dan bertindak dengan cermat dan pantas.

#3 Memberi sokongan moral

Sumber: everypixel

Selain itu, Mama dan Papa juga berperanan untuk memberi sokongan moral untuk anak-anak. Ini dapat mengeratkan hubungan antara Mama, Papa, dan anak-anak.

Apabila mereka menceritakan hari mereka dan sentiasa meluangkan masa bersama Mama dan Papa, secara tidak langsung Mama dan Papa dapat mengenali anak-anak dengan lebih mendalam. Mama dan Papa sendiri akan rasa lebih dekat dan tenang dengan mereka.

#4 Menyediakan pendidikan yang sewajarkan

Pendidikan secara berterusan dapat membantu anak-anak menjadi orang yang terpelajar dan secara tidak langsung menjadi bijak dan berbudi bahasa.

Semasa berada di sekolah, guru-guru menjadi contoh kepada anak-anak akan menerapkan apa yang diajar di sekolah akan tercermin di rumah dan persekitaran. Jadi, Mama dan Papa harus sentisa ingatkan anak-anak untuk perhatikan dengan siapa mereka berkawan dan apa sahaja yang berada disekeliling mereka.

#5 Menegur secara berhemah

Adab bersama Mama dan Papa perlu ditegur dengan cara yang berhemah. Mama dan Papa boleh menegur dengan tenang dan berfikir secara rasional.

Jika mereka ada melakuka kesalahan, Mama dan Papa tanyakan tentang situasi tersebut dengan tenang dan berwaspada. Beri ruang untuk anak-anak menyuarakan pendapat ataupun alasan mereka sebelum membuat keputusan melulu.

#6 Menyumbang kepada perkembangan emosi

Masalah emosi tidak kerap dibincangkan apabila anak-anak sudah besar. Seharusnya, Mama dan Papa perlu memantau emosi anak-anak supaya mereka membesar dengan mental yang lebih sihat.

Kebanyakkan ibu bapa lebih mementingkan kesihatan fizikal kadang mereka terlupa untuk fokus pada emosi anak-anak. Rajinlah bertanyakan adakah mereka berasa gembira dan selesa dengan persekitaran mereka, terutamanya sejak bermulanya pandemik ini.

Kadang-kadang mereka tidak mahu menyusahkan Mama dan Papa dengan perasaan mereka, sebab itu pentingnya untuk Mama dan Papa mewujudkan ruang yang selamat agar anak-anak dapat meluahkan perasaan mereka.

Beritahu anak-anak untuk percaya kepada Mama dan Papa dan kongsikan apa sahaja yang mereka tidak selesa. Ini dapat mengurangkan masalah sosial seperti pengambilan bahan yang membahayakan diri serta mendatangkan keburukan pada mereka.

#7 Memberi kasih sayang mencukupi

Antara peranan yang bermakna untuk Mama dan Papa dan anak-anak adalah memberi kasih sayang yang mencukupi. Seluruh ahli keluarga berperanan untuk meluahkan dan mengucapkan kasih sayang secara lisan. Ini dapat melahirkan persekitaran yang harmoni dan anak pun boleh membesar menjadi seorang yang penyayang.

Penting untuk menunjuk contoh supaya dapat diikuti oleh anak-anak mereka supaya menjadi lebih sensitif dengan persekitaran mereka. Kasih sayang dapat memberi kesan yang postif kepada perkembangan emosi anak-anak.

#8 Memantau aktiviti anak-anak

Sumber: istock

Ibu bapa bertanggungjawab untuk memantau anak-anak mereka. Sewajarnya Mama dan Papa hendaklah tahu gerak geri mereka dimana sahaja. Ini dapat mengelakkan mereka daripada terikut dengan gegala sosial yang tidak baik.

Kadang-kadang anak-anak ni mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan selalunya tidak berakhir dengan baik. Oleh sebab itu, perlu untuk Mama dan Papa memantau, memberi info dan menasihati dengan tidak menganggu privasi anak-anak.

#9 Meluangkan masa bersama

Masa itu emas dan meluangkan masa bersama anak-anak adalah sesuatu yang sangat digalakkan untuk memastikan anak-anak kita membesar dengan bijak dan berbudi bahasa.

Terdapat pelbagai keistimewaan apabila dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Mengenali antara satu sama lain adalah amat penting untuk hubungan yang erat bersama keluarga.

Selain daripada itu, anak-anak sentiasa melalui perubahan semasa pembesaran, oleh itu, Mama dan Papa harus mementingkan hubungan yang erat antara keluarga. Justeru menjadi keluarga yang bahagia.

Sumber: freepik

Ternyata bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama untuk mendidik anak anak. Akan tetapi, suasana harmoni di rumah dan persekitaran dapat mengekalkan budi bahasa mereka yang berpanjangan.

Sekiranya tidak membimbing anak-anak untuk menjadi bijak dan berbudi bahasa, maka secara amnya, anak-anak mungkin sudah lupakan didikan yang telah diterapkan sejak kecil.

Luangkan masa bersama anak-anak sejak mereka kecil sebelum mereka menjadi dewasa dan mempunyai keluarga dan hidup mereka tersendiri. Alah Mama, bising dan ‘kucar-kacir’ telatah anak-anak semasa kecil tu kejap je. Bila mereka dah besar nanti, kita juga yang akan rindukan suasana tersebut.