KelabMama

PENYANYI ILYKA BANGGA PUNYA ANAK CEMERLANG & PINTAR

ILYKA MUNCUL DENGAN SINGLE TERBARU

 

Penyayi yang pernah popular dengan lagu berjudul Di Usung Duka pada awal tahun 90an, Ilyka kini tampil dengan dua single terbaru iaitu Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku, khas buat peminat yang sudah lama menanti kemunculannya.

 

                Kelab Mama bertemu dengan Ilyka baru-baru ini, dia yang kali terakhir hadir dengan single berjudul Sistematik sekitar enam tahun lalu ciptaan Ajai, berkongsi perihal semangat baharu untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. Penampilannya yang lebih segar serta penuh gaya, wajahnya bersolek cantik, malah fesyen yang digayakan bersesuaian sebagai status seorang selebriti bergelar isteri dan juga ibu.

 

                Membuka bicara, Ilyka memberitahu bahawa kedua-dua single terbarunya itu merupakan ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Indonesia, Tengku Shafick yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain. Kedua-dua singlenya itu dirakamkan di Jakarta, Indonesia, Oktober lalu dan kini beliau giat menjalankan promosi dan undangan. Menjalin kerjasama dengan Cloudworks Record, Ilyka atau nama sebenarnya Datin Zuraila Mohd Yassin kini merancang mengembalikan kedudukannya dalam arena seni suara tanah air mengharapkan kehadiran buah tangan baru itu dapat mengubati kerinduan peminat.

 

                Menurut Ilyka, sebelum ini beliau tidak pernah berhenti menyanyi kerana ada melakukan persembahan jika diundang. Bagaimanapun, penglibatan dalam bidang nyanyian lebih tertumpu kepada acara-acara korporat selain memberi fokus utama kepada keluarga serta anak yang masih kecil dan suami tersayang, Datuk Ahmad Azizi Ali. Namun, puteri tunggalnya Arisya Ahmad Azizi kini sudah remaja dan bersekolah asrama di salah sebuat sekolah terbaik di Malaysia. Justeru, beliau sudah boleh fokus menyanyi kembali kerana ada banyak masa terluang.  Setiap minggu juga jika tiada apa-apa undangan nyanyian beliau akan berkonvoi bersama suami dengan kumpulan Harley Owners Groups (HOG).

 

DIDIK ANAK MINAT BUKU

 

                Turut bersama ketika sesi temubual Kelab Mama bersama Ilyka ini adalah puteri tunggal kesayangannya, Arisya yang kini sduah berusia 14 tahun. Arisya bersekolah di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang merupakan sekolah buat pelajar yang cemerlang. Memang tidak syak lagi, setelah team Kelab Mama mengorek cerita daripada Ilyka, kesimpulannya yang boleh diberikan adalah Ilyka beruntung dianugerahkan seorang anak yang bijak dan cerdik. Kata Ilyka, anaknya itu dibesarkan dan dididik seperti kanak-kanak lain. Tapi semuanya bermula apabila Arisya sangat gemar menonton Disney Channel, membaca dan membelek buku bergambar sejak kecil.

                Membaca adalah jambatan ilmu. Tidak mengira usia, tabiat membaca membantu seseorang menambah ilmu pengetahuan dan keyakinan diri. Benar kata pepatah, minat membaca bukan terhad kepada orang dewasa sahaja, malah kanak-kanak juga perlu dipupuk minat untuk mencintai buku dan membaca seawal usia mereka masih muda.

 

                Ilyka mengakui, cara suaminya yang menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian secara tidak langsung telah membentuk anaknya sebagai individu yang gemar meluangkan masa lapang dengan membaca. Penyanyi itu sangat yakin kanak-kanak yang dipupuk minat membaca dari usia muda akan membantu meningkatkan daya kreativiti dan intelektual mereka.

 

                “Arisya diperkenalkan dengan buku sejak kecil lagi. Walaupun masih kecil dan belum faham apa-apa tetapi dia telah dibiasakan dengan buku-buku bergambar dan kerap bercerita dengannya. Apabila memasuki usia tiga tahun setengah dia sudah boleh membaca. Sekarang, tanpa disuruh masa lapangnya banyak dihabiskan dengan membaca buku kegemarannya. Tidak dinafikan, disebabkan Arisya sangat gemar membaca pada waktu lapang, tahap pengetahuan dan daya intelektualnya sangat baik. Kami umpamakannya seperti Kamus Bergerak, banyak info pengetahuan yang dia tahu daripada amalan membacanya itu. Jenis bacaan pula kami sebagai ibu bapanya biarkan Arisya memilih sendiri mengikut minatnya. Biasanya saya akan membawa anak ke kedai buku dan biarkan dia memilih buku kesukaannya kadangkala hingga berjam lamanya,” jelas Ilyka.

 

WAKILI ASIAN ENGLISH OLYMPICS

 

                Bicara mengenai anak Ilyka tidak terhenti sampai situ sahaja. Menurut penyanyi ini, anaknya itu berkebolehan dalam bermain alat muzik dan juga aktif dalam berbahasa. Selain boleh bertutur dengan baik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, Arisya juga boleh menguasai Bahasa Mandarin walaupun masih dalam proses pembelajaran. Minat Arisya dalam berbahasa dan menulis melayakkannya mewakili negara ke Asian English Olympics pada 9 hingga 13 Februari 2017 ini di Jakarta, Indonesia. Terdapat pelbagai kategori dipertandingankan antaranya Debate, Speech, Spelling Bee, Short Story Writing, Storytelling, Newscasting dan Scrabble. Ilyka sendiri akan menemani anaknya itu ke Jakarta untuk memberi sokongan dan dorongan.

 

                “Arisya sudah biasa dipilih mewakili negara untuk bertanding atau sebagai pertukaran pelajar. Pada umur 8 tahun lagi, dia pernah dipilih dalam program pertukaran pelajar ke Korea. Terkejut juga saya, sebab dia masih kecil. Saya benarkan dia turut serta tapi dalam masa yang sama saya pun ikut terbang ke Korea. Saya tidak ganggu pun aktiviti mereka, cuma ingin mengetahui dengan lebih dekat apa yang anak saya lakukan ketika program ini diadakan.  Tak sangka saya, anak sekecil itu sudah pandai berdikari. Sebab itu, masa hari pertama menghantar Arisya duduk di asrama Kolej Tunku Kurshiah, sikit pun dia tak ada tunjuk rasa sedih. Tetapi saya pula yang menangis dan sedih untuk melepaskan dia,” ujar Ilyka tertawa terkenang kembali detik tersebut.

 

CARA ILYKA DALAM MENDIDIK ANAK

 

 

 

 Untuk mendengarkan single terbaru Ilyka boleh klik di sini