KelabMama

Pakar Berganding Bahu Menyelaras Perjalanan Pesakit Demi Penjagaan Kanser Payudara yang Lebih Bersepadu

Picaso Breast Centre

Bagi seorang wanita yang mengesan ketulan pada payudara, hari-hari selepas itu mungkin melibatkan janji temu berasingan di klinik, pusat pengimejan, makmal dan hospital, sedangkan beliau masih cuba memahami kemungkinan diagnosis serta kesannya.

Ketika Malaysia berusaha memastikan lebih banyak kes kanser payudara didiagnosis pada peringkat lebih awal, tumpuan kini turut diberikan kepada apa yang berlaku selepas seseorang wanita mula mendapatkan rawatan dalam sistem kesihatan: seberapa cepat maklumat sampai kepadanya, sejauh mana pilihannya diterangkan dengan jelas dan sejauh mana pakar perubatan yang terlibat dalam rawatannya bekerjasama.

Hampir satu daripada setiap dua kes kanser payudara di Malaysia didiagnosis pada peringkat tiga atau empat antara 2012 hingga 2016.1 Perbezaan ini memberi kesan besar. Data nasional menunjukkan kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 88 peratus bagi kanser payudara peringkat satu, berbanding 23 peratus bagi peringkat empat.2 Diagnosis pada peringkat lebih awal kekal amat penting, namun wanita juga memerlukan laluan penjagaan yang jelas dan terselaras, daripada pemeriksaan lanjut hingga rawatan serta penjagaan susulan selepas rawatan.

Picaso Breast Centre ditubuhkan sebagai salah satu langkah praktikal bagi menangani cabaran ini. Ia menghimpunkan klinik payudara dan perkhidmatan pengimejan di aras yang sama, manakala patologi, pembedahan, onkologi dan penjagaan sokongan disepadukan melalui penilaian multidisiplin. Daripada menerima pandangan berasingan secara berturutan dan perlu membawa maklumat dari satu janji temu ke janji temu seterusnya, pesakit boleh menerima cadangan rawatan yang dibentuk secara bersama oleh pasukan berkenaan.

Keputusan untuk Membina Model Berteraskan Pesakit

Model ini lahir daripada kebimbangan bersama dalam kalangan pakar yang menyaksikan bagaimana laluan penjagaan yang tidak bersepadu boleh memanjangkan ketidakpastian. Beberapa daripada mereka meninggalkan amalan perubatan sedia ada untuk bekerjasama di sebuah pusat yang direka berteraskan perjalanan pesakit, bukannya mengikut struktur jabatan masing-masing.

“Seorang wanita yang menemui ketulan boleh menghabiskan masa berbulan-bulan dirujuk antara klinik, pusat pengimejan, makmal dan hospital. Setiap peralihan itu menjadi titik di mana wanita yang sedang ketakutan boleh tercicir daripada laluan penjagaan dan tidak kembali mendapatkan rawatan. Model ini menyelaraskan keseluruhan proses agar pesakit tidak lagi perlu melalui peralihan sedemikian.” Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har, Pakar Perunding Bedah Payudara, Picaso Breast Centre.

Sejak dibuka pada 2024, pasukan multidisiplin Pusat ini terdiri daripada pakar bedah payudara Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har, Dr Ng Char Hong, Dr Harjit Kaur dan Dr Normayah Kitan; pakar radiologi payudara Dr Farhana Fadzli dan Dr Maninderpal Kaur; pakar patologi anatomi Dr Lee Bang Rom; serta pakar onkologi klinikal Dr Mastura Md Yusof, Dr Tan Chih Kiang dan Dr Christina Lai Nye Bing.

Kepakaran Terselaras Mengubah Perjalanan Pesakit

Dalam mesyuarat multidisiplin yang diadakan secara berkala, pasukan meneliti hasil pengimejan, keputusan biopsi dan sejarah perubatan setiap pesakit sebelum bersetuju mengenai cadangan klinikal. Ini membolehkan persoalan berkaitan diagnosis, pembedahan, rekonstruksi dan rawatan dipertimbangkan bersama, bukan satu demi satu.

“Pesakit menerima satu pelan yang jelas daripada pasukan yang telah mencapai persetujuan. Kerjasama berpasukan membolehkan perkara ini dilakukan setiap minggu, bukan sekali-sekala. Konsistensi inilah yang benar-benar membawa perubahan kepada tempoh menunggu seseorang wanita.” Dr Ng Char Hong, Pakar Perunding Bedah Payudara dan Rekonstruksi Payudara.

Dengan mengurangkan peralihan antara perkhidmatan dan menyelaraskan keputusan lebih awal, model ini dirangka untuk memendekkan tempoh menunggu serta mengurangkan beban pesakit mengurus beberapa janji temu. Ia juga membolehkan pasukan onkologi terus terlibat daripada perancangan rawatan hingga penjagaan susulan selepas rawatan, sekali gus menyokong kesinambungan penjagaan melangkaui fasa rawatan aktif.

Penjagaan Diperibadikan Melangkaui Diagnosis

Penjagaan bersepadu turut membuka ruang untuk keputusan yang mengambil kira biologi kanser serta perkara yang penting kepada setiap pesakit. Kanser payudara bukanlah satu penyakit yang seragam, dan pendekatan rawatan berbeza mengikut subjenis, peringkat serta keperluan individu.

“Pembedahan onkoplastik payudara menggabungkan pembedahan kanser dengan teknik pembedahan rekonstruktif bagi mengekalkan fungsi serta penampilan payudara. Selain merawat kanser, kami turut mempertimbangkan bagaimana rawatan memberi kesan kepada keyakinan diri, identiti dan kesejahteraan emosi seseorang wanita.” Dr Harjit Kaur, Pakar Perunding Bedah Onkoplastik Payudara dan Endokrin.

Inside Her Story Menghidupkan Perjalanan Pesakit

Persoalan ini diterjemahkan secara nyata menerusi “Inside Her Story”, sebuah acara media imersif yang dianjurkan baru-baru ini oleh Picaso Breast Centre. Stesen yang dikendalikan oleh pakar membawa pengunjung menelusuri perjalanan emosi dan klinikal pesakit, daripada gejala awal kepada diagnosis, perancangan multidisiplin, rawatan dan kehidupan selepas rawatan. Sebuah video yang menjadi nadi acara menampilkan wanita Malaysia berkongsi pengalaman mereka dalam menjalani rawatan kanser payudara serta kehidupan selepas rawatan, dalam kata-kata mereka sendiri.

Beberapa wanita yang pernah melalui pengalaman kanser payudara dan potretnya dipamerkan pada acara itu turut hadir, sekali gus menjadikan pengalaman sebenar mereka sebagai asas perbincangan. Kisah mereka mencerminkan gagasan utama Pusat ini: pasukan penjagaan kesihatan wajar memikul lebih banyak tanggungjawab penyelarasan supaya pesakit tidak perlu menanggung beban itu sendiri.

Daripada Satu model kepada Perubahan Sistem yang Lebih Luas

Pada 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia menerbitkan Roadmap Towards Downstaging of Breast Cancer in Malaysia 2025–2035, yang menetapkan hala tuju sepuluh tahun untuk mengurangkan kadar diagnosis pada peringkat lewat.3 Pelan hala tuju itu mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa pengesanan lebih awal perlu disokong oleh laluan penjagaan yang membantu wanita melalui diagnosis, rawatan dan kehidupan selepas rawatan tanpa tercicir antara perkhidmatan.

Model Picaso merupakan salah satu contoh bagaimana penyatuan perkhidmatan di satu lokasi dan penilaian multidisiplin yang konsisten dapat memudahkan sebahagian daripada perjalanan tersebut. Namun, cabaran yang lebih luas memerlukan kerjasama antara penyedia penjagaan kesihatan, penggubal dasar, kumpulan pesakit dan pihak industri.

Penyertaan Roche Malaysia dalam “Inside Her Story” mengetengahkan nilai inovasi penjagaan kesihatan, dengan tumpuan kepada bagaimana rawatan termaju dan laluan penjagaan yang diperkemas dapat menjimatkan masa serta meningkatkan kualiti hidup pesakit.

“Penjagaan kanser payudara telah melalui kemajuan besar. Kemajuan sains kini membolehkan kami memberi tumpuan kepada kualiti hidup dan mengembalikan masa kepada pesakit, termasuk mengurangkan tempoh rawatan yang dahulunya mengambil masa berjam-jam kepada tempoh yang jauh lebih singkat. Dengan memperkemas laluan penjagaan, kami memastikan inovasi bukan sekadar merawat penyakit, malah meringankan beban keluarga serta mengembalikan masa, ketenangan fikiran dan rasa normal kepada wanita untuk meneruskan kehidupan mereka.” Puan Deepti Saraf, Pengurus Besar, Roche Malaysia dan Naib Presiden, Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA).

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysia National Cancer Registry Report 2012–2016.
  2. Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan), 2018.
  3. Kementerian Kesihatan Malaysia, Roadmap Towards Downstaging of Breast Cancer in Malaysia 2025–2035, 2025.

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.