KelabMama

Peningkatan Alahan dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia: Panduan untuk Ibu Bapa

mother should introduce allergenic food carefully

Di Malaysia, di tengah-tengah kehidupan bandar yang dinamik, terdapat peningkatan kes alahan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. Apa yang dahulunya dianggap sebagai masalah kecil kini telah menjadi masalah kesihatan yang ketara, dengan pelbagai pencetus seperti hama habuk dan tindak balas makanan yang teruk. Menurut anggaran, seorang daripada lima kanak-kanak di Malaysia mungkin mengalami alahan1, sekali gus menekankan keperluan segera bagi ibu bapa untuk memahami, mengurus, dan mencegah keadaan ini.

“Alahan bukan sekadar bersin atau ruam pada kulit. Ia boleh memberi kesan mendalam terhadap kualiti hidup seseorang kanak-kanak,” kongsi Dr. Noor Zehan Abdul Rahim, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Pernafasan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Dr. Noor Zehan Abdul Rahim

“Kehidupan di bandar mendedahkan kanak-kanak kepada alergen yang lebih tinggi seperti hama habuk, asap, dan pencemaran. Walaupun ibu bapa tidak boleh mengawal segala-galanya, mereka boleh mengambil langkah untuk menjadikan rumah mereka tempat perlindungan yang lebih selamat.”

Alahan Paling Lazim di Malaysia dan Kenal Pasti Gejalanya

Hama habuk merupakan perengsa paling lazim untuk alahan pernafasan di Malaysia. Ia membiak dalam keadaan lembap dan bersembunyi di dalam tilam, permaidani dan barangan perabot lembut. Bulu haiwan peliharaan juga menjadi antara punca utama. “Haiwan peliharaan hipoalergenik juga boleh mencetuskan tindak balas pada kanak-kanak yang sensitif,” jelas Dr. Noor Zehan.

Selain itu, walaupun ia tidak kerap terjadi berbanding di negara-negara Barat, alahan makanan terhadap kacang tanah, makanan laut, dan susu juga boleh berlaku. Debunga dan kulapuk juga merupakan pencetus alahan, terutamanya di kawasan bandar yang lembap.

Simptom alahan berbeza-beza dan selalunya muncul antara umur 2 hingga 3 tahun. Walau bagaimanapun, alahan makanan boleh berlaku seawal 6 bulan, manakala alahan pernafasan seperti demam alergi biasanya bermula sekitar umur lima atau enam tahun. Alahan pernafasan boleh menyebabkan bersin, batuk, berdehit atau hidung tersumbat.

Rinitis alergi, alahan kanak-kanak yang paling lazim2, boleh menyebabkan bersin, hidung berair dan tersumbat. Tindak balas kulit seperti ruam atau ekzema mungkin disebabkan alahan kepada alam sekitar atau pemakanan, manakala muntah atau cirit-birit pula menandakan alahan terhadap makanan.

“Ibu bapa perlu perhatikan jika ada simptom yang berulang,” nasihat Dr. Noor Zehan. “Jika anak kerap menunjukkan tindak balas selepas mengambil sesuatu makanan atau berada dalam persekitaran tertentu, ia perlu disiasat dengan lebih lanjut.” Beliau mengesyorkan menyimpan diari simptom untuk membantu mengenal pasti corak dan pencetus alahan.

Mengabaikan Alahan Boleh Beri Kesan Berpanjangan

Alahan yang tidak dirawat boleh memberi risko yang jauh melangkaui ketidakselesaan sementara. Rinitis alergi yang berterusan boleh menyebabkan sinusitis kronik atau asma yang boleh mengganggu tidur, fokus dan aktiviti harian anak-anak. Kadar asma dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang menyaksikan peningkatan daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus bagi kanak-kanak berusia enam

hingga tujuh tahun dan daripada 9 peratus kepada 13 peratus bagi kanak-kanak berusia 13 hingga 14 tahun3 adalah amat membimbangkan.

“Asma yang disebabkan oleh alahan yang tidak dirawat boleh mengubah kehidupan jika tidak diuruskan dengan betul,” kata Dr. Noor Zehan. “Amat menyedihkan untuk melihat kanak-kanak bergelut dengan sesuatu yang boleh dicegah atau dikawal.”

Pendekatan Ibu Bapa

Walaupun alahan adakalanya membebankan, Dr Noor Zehan menggariskan beberapa langkah mudah yang efektif sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengurangkan pendedahan kepada alergen dan menguruskan simptom, lantas membawa perubahan yang besar. Antaranya ialah:

Trend dan Mitos Alahan

Terdapat banyak salah faham mengenai alahan, termasuk kepercayaan bahawa kanak-kanak akan sembuh daripadanya secara semula jadi. “Walaupun sesetengah kanak-kanak berjaya mengatasi alahan, namun kebanyakan alahan berterusan hingga dewasa, lantas memberi kesan kepada kualiti hidup jika tidak diuruskan dengan betul,” jelas Dr Noor Zehan.

Satu lagi mitos ialah mengelakkan pencetus seperti minuman sejuk boleh mencegah terjadinya masalah pernafasan. “Dengan pengurusan yang betul, kanak-kanak yang menghidap asma atau rinitis alergi boleh menjalani aktiviti normal tanpa sebarang kekangan yang tidak perlu,” ujar beliau.

Ibu bapa mungkin risau sekiranya anak mereka akan terlalu bergantung kepada inhaler, tetapi Dr. Noor Zehan menepis kebimbangan ini. “Inhaler tidak menyebabkan ketagihan. Ia adalah alat penting yang boleh membantu kanak-kanak bernafas dengan lebih mudah dan sihat. Apabila keadaan bertambah baik, pergantungan kepada ubat boleh dikurangkan secara beransur-ansur,” terangnya.

Selain itu, pandemik juga telah mempengaruhi trend alahan. Perintah kawalan pergerakan telah mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan buat sementara waktu, melegakan simptom pernafasan, namun ia juga telah mengehadkan peluang untuk membina imuniti. “Pendedahan yang berkurangan bermakna kanak-kanak tidak berpeluang membina imuniti yang penting, menjadikan mereka lebih mudah terdedah selepas pandemik,” jelas Dr Noor Zehan.

Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk mencari keseimbangan. “Perkenalkan semula anak anda secara beransur-ansur kepada pelbagai persekitaran sambil mengekalkan kebersihan yang baik. Ini membantu membina semula ketahanan badan mereka dan membolehkan anda mengenal pasti punca alahan.”

Menguruskan alahan kanak-kanak memerlukan kerjasama antara ibu bapa dan penyedia penjagaan kesihatan. Pemeriksaan berkala dengan pakar pediatrik adalah penting untuk mendapatkan pengesanan dan rawatan awal.

“Tahun-tahun awal adalah penting untuk kesihatan jangka panjang,” kata Dr. Noor Zehan. “Sentiasa mencari maklumat, ambil tindakan, dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perubatan. Setiap langkah yang anda ambil sekarang akan membantu anak anda menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.”

Rujukan

  1. Subramaniam, S. (2014, November 29). Allergies and what we need to know about them. Scientific Malaysian Magazine. Retrieved from Scientific Malaysian Allergies and What We Need to Know About Them | Scientific Malaysian Magazine
  2. Subramaniam, S. (2014, November 29). Allergies and what we need to know about them. Scientific Malaysian Magazine. Retrieved from Scientific Malaysian Allergies and What We Need to Know About Them | Scientific Malaysian Magazine
  3. Dinglasan, J. L., Tang, L. Y., Chong, M. C., & Al Raimi, A. M. (2022). Asthma prevalence and the relationship between level of knowledge and quality of life among asthmatic schoolchildren in Malaysia. Saudi Medical Journal, 43(1), 113-116. https://doi.org/10.15537/smj.2022.43.1.20210211

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan pelbagai lagi info dan tips yang berkaitan dengan penjagaan si manja di SINI!