KelabMama

Penggunaan Pendakap Gigi Untuk Anak

Memiliki barisan gigi yang cantik dan sihat merupakan satu aset yang tidak ternilai kerana ia bukan sahaja mengekalkan kesihatan mulut tetapi ia juga memberikan keyakinan diri. Perkara yang sering dikaitkan dengan kesihatan oral ialah masalah yang berkaitan dengan gigi, selalunya masalah yang dikaitkan dengan gigi ialah keadaan yang tidak teratur. Ini bukanlah satu masalah baharu atau pun luar biasa kerana ia biasa dihadapi oleh ramai individu.

Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan bahagian pergigian mendapati lebih kurang 35 peratus mereka yang berumur antara 12 hingga 15 tahun mengalami masalah gigi yang tidak teratur, berlapis, dan jongang. Jika dilihat dari segi kesihatan pergigian, gigi yang tidak teratur ini boleh mendatangkan beberapa masalah lain seperti mengganggu fungsi perngunyahan dan percakapan. Selain itu, bagi mereka yang mengalami masalah gigi berlapis akan menghadapi masalah penjagaan kerana tidak semua permukaan akan sampai sekiranya diberus dan untuk jangka panjang gigi ini akan berlubang. Kesan yang paling ketara akan dihadapi oleh mereka yang mempunyai masalah gigi tidak teratur ini adalah dari sudut rupa paras (kecantikan).

 

UMUR IDEAL GUNA PENDAKAP GIGI

Umur yang paling ideal untuk kanak-kanak adalah antara 12 hingga 13 tahun kerana pada waktu ini kanak-kanak sedang membesar dan kesemua gigi kekal baru tumbuh. Menjangkakan pemakaian pendakap gigi tersebut antara dua hingga tiga tahun, bagaimanapun dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu  agar pesakit mendapatkan rawatan gigi untuk mengetahui apa masalah sebenar yang mereka hadapi.

 

FUNGSI PENDAKAP GIGI

Pendakap gigi lazimnya dipakai untuk merawat keadaan maloklusi (susunan dan gigitan) yang tidak ideal. Ini bertujuan menyusun semula gigitan demi memelihara kesihatan gigi supaya berfungsi dengan baik. Susunan itu juga mampu menggerakkan gigi dengan baik agar barisan gigi atas bertemu gigi bawah (bukan bertemu sebaris tetapi pada kedudukan yang betul) dengan baik bagi menghasilkan penjajaran (alignment) yang betul.

Mereka yang memerlukan pendakap gigi adalah individu yang mempunyai tiga masalah iaitu jongang gigi barisan atas atau bawah, masalah susunan gigi tidak rata atau gigi senget, dan masalah kombinasi antara jongang serta susunan tidak rata. Bagaimanapun pemakaian jenis pendakap gigi masih bergantung kepada kesesuaian kes dan kehendak pengguna.

Pesakit lazimnya tidak selesa memakai pendakap gigi pada waktu-waktu tertentu dan kebiasaannya empat hingga lima jam selepas pemakaian sehingga beberapa hari selepas dipasang. Persediaan mental dan fizikal merupakan aspek penting sebelum mendapatkan rawatan pendakap gigi kerana ia memerlukan komitmen masa, penjagaan kebersihan, diet, dan implikasi kos. Pengetahuan dan persediaan mental membolehkan penyesuaian terhadap pendakap gigi berlaku dengan lebih mudah dan lancar. Begitu juga dengan persediaan fizikal, rawatan pendakap gigi memerlukan penjagaan mulut yang lebih baik seperti penggunaan berus khas, bahan kumur berfluorida, dan penjagaan diet yang lebih sesuai.

 

JENIS PENDAKAP GIGI

Lebih 80 peratus pemakai pendakap gigi memilih untuk pemakaian tetap dan ia mengambil masa lebih kurang dua tahun. Mereka yang memiliki masalah serius hanya boleh memilih pendakap gigi jenis ini. Jenis pemakaian tetap turut memiliki pendakap invisible (tidak kelihatan) berwarna putih buat mereka yang tidak mahu pendakap kelihatan terlalu jelas. Kos rawatan di klinik swasta bagi pendakap pemakaian tetap lebih RM 6,000 dan bagi jenis invisible melebihi RM 9,000.

Bagi mereka yang mengalami sedikit masalah boleh memakai pendakap gigi boleh tanggal untuk tempoh lebih kurang enam hingga 12 bulan. Pendakap gigi dipakai sepanjang masa cuma boleh ditanggalkan ketika makan dan sewaktu membersihkan gigi. Kos rawatan juga sama seperti pemakaian tetap.

Juga termasuk dalam jenis pemakaian tetap cuma tidak kelihatan. Ia menggunakan bahan yang sama tetapi dipasang dari bahagian dalam. Kos rawatan agak mahal iaitu melebihi RM 30,000.

 

TAHAP JONGANG

Secara umum terdapat dua keadaan jongang iaitu gigi dan rahang mencembung ke dalam atau ke luar. Keadaan tersebut diistilahkan sebagai poor bite dan deep bite. Tahap keadaan gigi-gigi sebelah atas dan sebelah bawah yang mempunyai hubungan yang tidak normal ini dibahagikan kepada maloklusi kelas I, II dan III.

Merupakan satu keadaan gigi atas berselisih dengan gigi bawah pada paras normal iaitu dua hingga empat mm tetapi gigi tidak teratur, sesak ataupun jarang. Ia tidak melibatkan rahang dan ramai yang mengalaminya.

Mandibular retrognathism atau gigitan berlebihan (over bite) diletakkan sebagai jongang kelas II. Ini menjadikan rahang atas dan gigi berselisih dengan rahang dan gigi bawah dengan jarak yang agak besar seperti pelakon komedi Os. Jongang jenis ini bertambah teruk jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas atau bibir atas seseorang itu agak pendek dan tidak dapat mengawal posisi gigi atas.

Kelas III atau prognathism pula berlaku apabila gigi bawah lebih menonjol daripada gigi atas. Dalam kes seperti ini, pesakit selalunya mempunyai tulang rahang bawah yang besar atau tulang rahang atas yang pendek. Perbezaan saiz dan struktur rahang juga mempengaruhi pembentukan gigi serta kecembungan rahang.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan